Punca Kejatuhan Nilai Ringggit
Berita:
KUALA LUMPUR 24 Mei – Ringgit menghampiri kerugian bagi empat minggu berturut-turut susulan penurunan harga dalam minyak mentah yang memburukkan unjuran kewangan Malaysia. Petang ini, ringgit ditutup pada paras RM4.1900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ringgit memulakan dagangan pagi pada RM4.1905 berbanding dolar AS daripada RM4.1910 ketika ditutup semalam.
Sumber: utusan.com.my
Komentar:
Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) merupakan salah satu punca utama yang mendorong kepada kenaikkan kos sara hidup. Turun naik nilai ringgit berbanding dolar AS ini sangat dipengaruhi dengan faktor seperti harga minyak mentah dunia. Manakala dasar kerajaan AS yang mengukuhkan dolarnya merupakan faktor external (luaran) yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan Malaysia. Hal ini demikian kerana nilai ringgit ditentukan berdasarkan permintaan – penawaran dalam pasaran tukaran mata wang asing yang sangat dipengaruhi oleh dua faktor tersebut.
Kejatuhan harga minyak mentah dunia akan menyebabkan Malaysia kehilangan pendapatan yang banyak daripada hasil eksport minyak mentah, seterusnya berpotensi mengalami defisit pada akaun semasanya. Seterusnya akan menjejaskan keyakinan pasaran terhadap kemampuan ekonomi Malaysia. Keadaan ini sudah pasti menyebabkan permintaan nilai ringgit akan berkurangan. Dasar AS yang menaikkan kadar faedah dalam sistem kewangannya menyebabkan berlakunya capital inflow dari negara-negara lain ke dalam negaranya. Ini menyebabkan nilai dolar akan mengukuh disebabkan permintaannya yang tinggi.
Oleh itu, walaupun pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia seperti menarik pelaburan asing, mengurangkan import sumber makanan, mengalakkan rakyat Malaysia bekerja dalam sektor yang dikuasai oleh perkerja asing dan sebagainya, ia cuma penyelesaian jangka pendek yang hanya dapat mengurangkan tekanan daripada nilai ringgit terus jatuh. Sebabnya, faktor external seperti yang dijelaskan di atas lebih kuat pengaruhnya ditambah pula dengan faktor aktiviti spekulasi oleh para pedagang mata wang asing. Kekuatan para pedagang mata wang asing dalam menentukan nilai mata wang dapat dilihat dalam krisis Kewangan Asia yang berlaku pada tahun 1997 yang telah memberi kesan yang sangat negatif kepada ekonomi Asia termasuklah Malaysia.
Hakikatnya, ketidakadilan dan penindasan oleh negara-negara kuasa besar ekonomi dunia terhadap negara-negara lain seperti Malaysia dalam menentukan nilai mata wang disebabkan sifat mata wang itu sendiri. Nilai mata wang yang ada pada hari tidak disandarkan pada sebarang komoditi berharga seperti emas dan perak, sebaliknya nilainya hanya bersandarkan pada keyakinan (fiat money). Sistem mata wang sebegini telah di ‘design’ oleh AS sejak tahun 1971 lagi dan dipaksakan pelaksanaannya ke atas seluruh negara.
Maka, selagi sistem mata wang ciptaan AS ini terus digunakan, maka selagi itulah AS akan terus bermaharajalela menindas ekonomi dan menyedut dengan mudah kekayaan negara-negara lain seperti Malaysia. Lebih menyedihkan, ia turut menyebabkan kehidupan rakyat di negara ini akan terus dibelenggu oleh tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi. Keadaan sedemikian hanya akan dapat diakhiri jika nilai mata wang dikembalikan kepada sandaran komoditi yang berharga iaitu emas dan perak. Wallahualam.
Mus’ab
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia