Sosialis Ditentang, Kapitalis Ditatang
Pengisytiharan harta merupakan salah satu uslub / pendekatan yang bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya salah guna kuasa. Isu ini menjadi hangat apabila usul mengenainya dibangkitkan di Dewan Rakyat tidak lama dahulu.
Terdapat juga pihak yang mengaitkan pengisytiharan harta sebagai sebahagian daripada teori sosialis dan komunis yang ditolak oleh umat Islam. Sedangkan konsep “pengisytiharan harta” itu sendiri dapat dilihat diamalkan ketika zaman Rasulullah SAW dan juga Khulafa ar-Rasyidin. Hal ini dijelaskan oleh Sdr Dzikri Asmawi dalam Diskusi Umum berjudul “Sosialis Ditentang, Kapitalis Ditatang” baru-baru ini.
Namun, Sdr Dzikri kemudiannya menjelaskan bahawa terdapat isu yang lebih utama dalam hal ini yang menjangkaui persoalan perisytiharan harta itu sendiri, iaitu penerapan sistem kapitalisme yang berleluasa pada hari ini. Kebanyakan umat Islam menolak idea sosialis-komunis, namun malangnya tanpa disedari kapitalisme ditatang dan dianggap sebagai suatu yang normal. Sedangkan kapitalisme itu sendiri rosak secara sistemik.
Beliau turut memetik sebuah buku berjudul “The Corruption of Capitalism: Why Rentiers Thrive and Work Does Not Pay” oleh Guy Standing yang memaparkan kepincangan yang wujud dalam idea “pasaran bebas” dalam sistem ekonomi kapitalis itu sendiri.
“Sistem kapitalisme ini bukanlah sesuatu yang manusiawi dan menepati fitrah, sebaliknya merupakan suatu sistem yang diatur demi kepentingan pihak-pihak tertentu,” ujar beliau.
“Kita dah sedia maklum, sosialis orang dah lama tolak… Tetapi kita lupa bahawa kita masih lagi menjunjung sistem kapitalisme, menerima pakai idea kapitalis,” menurutnya lagi.
Beliau kemudiannya membentangkan konsep sistem ekonomi Islam yang secara umumnya membahaskan aspek kepemilikan, cara mendapatkan harta di bawah kepemilikan individu, dan juga pengagihan kekayaan. Dalam Islam, kepemilikan terbahagi kepada tiga iaitu kepemilikan individu, kepemilikan umum, dan kepemilikan negara. Beliau juga menegaskan bahawa pasaran yang syarie adalah pasaran nyata, bukannya financial market seperti yang wujud dalam sistem kapitalis.
Sdr Dzikir menutup majlis dengan menjelaskan peranan yang perlu dimainkan oleh umat Islam. Beliau menyeru umat Islam untuk menolak idea kapitalisme sepertimana kita menolak sistem sosialisme-komunisme, membongkar kepincangannya, sekali gus kembali mempelajari serta memperjuangkan sistem Khilafah yang menerapkan Islam secara kaffah.