Ponteng sekolah salah, ponteng solat Jumaat tak salah?
Penyelaras undang-undang bagi kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dilaporkan menzahirkan rasa tidak senang terhadap hukuman yang dikenakan terhadap sekumpulan lelaki di Terengganu atas kesalahan ponteng solat Jumaat dan menganggapnya sebagai berlebih-lebihan. Zaid menekankan bahawa ponteng solat Jumaat sebagai ‘perkara peribadi yang negara tidak patut campur tangan atau tadbir’ [Malaysiakini, 4/12/2019].
Pastinya rasa tidak senang LFL terhadap hukuman tersebut didorong oleh pemikiran liberal (bebas) yang menjadi asas kepada pemikiran LFL, sesuai dengan namanya. Golongan liberal sering menggunakan alasan hak asasi manusia (HAM) sebagai sandaran dalam menyatakan pendirian mereka. Mereka menjunjung tinggi kebebasan individu (personal freedom) yang merupakan sebahagian daripada teras idea-idea kebebasan dalam demokrasi. Bagi mereka cakupan peranan agama itu merupakan urusan antara individu dengan Tuhannya semata-mata. Negara tidak berhak untuk mencampuri urusan individu, apatah lagi hendak memaksa individu mematuhi ketetapan agama dalam ruang lingkup peribadi ini.
Pemikiran sebegini lahir daripada akidah sekularisme yang berasal dari Barat, sebuah akidah yang memisahkan agama daripada kehidupan. Bagi Barat, agama tidak boleh masuk campur dalam urusan kehidupan. Manusia boleh berbuat dan boleh tidak berbuat semahunya tanpa ada sekatan daripada agama. Manakala dalam ruang lingkup peribadi, seperti seseorang yang mahu berpakaian atau tidak, mahu bertatu atau tidak, mahu merubah jantina, mahu bercium, berkhalwat atau berzina, mahu menyembah Tuhan atau tidak, mahu solat atau tidak, mahu menukar agama sesuka hati, mahu menggugurkan kandungan, mahu bunuh diri dan sebagainya, maka hal ini terpulang kepada individu dan negara tidak boleh masuk campur. Dengan kata lain, negara tidak boleh menyekat kebebasan individu seumpama ini melalui undang-undang. Inilah akidah sekularisme dan inilah “akidah” yang dianut oleh golongan liberal!
Hak asasi manusia (HAM) merupakan produk dan agenda halus Barat untuk menjauhkan umat Islam daripada Islam. Perlu difahami bahawa setiap perbuatan seseorang Muslim itu wajib terikat dengan hukum syarak, bukannya bebas melakukan apa sahaja atas nama HAM. Hatta dalam masalah ibadah mahdhoh sekalipun, setiap Muslim terikat dengan hukum dan peraturan Islam. Perbuatan meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran merupakan suatu bentuk jarimah (kesalahan) yang dikategorikan di bawah ta’zir dan boleh dikenakan hukuman (uqubat) kerana melanggar hak Allah (swt).
Meninggalkan solat adalah kemaksiatan kepada Allah (swt) dan setiap pelaku maksiat wajib dihukum. Menurut Abdurrahman al-Maliki dalam kitabnya, Nidzamul Uqubat, orang yang meninggalkan solat boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun sebagai bentuk ta’zir ke atasnya. Manakala orang yang solat sebahagian waktu dan meninggalkan sebahagian waktu pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun. Ta’zir adalah bentuk hukuman yang tidak ditentukan had (batas)nya oleh Islam, dan tergantung kepada Qadhi untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan berat-ringannya kesalahan tersebut.
Walaupun Malaysia adalah sebuah negara sekular dan sebahagian besar hukum Allah tidak dilaksanakan, namun kumpulan liberal tetap sahaja tidak berpuas hati jika ada walau secebis hukum yang mereka lihat sebagai Islami dilaksanakan. Mereka boleh menerima sekiranya murid-murid sekolah dihukum jika ponteng sekolah, atau jika pekerja dihukum kerana ponteng kerja. Namun mereka sama sekali tidak boleh menerima jika orang Islam dihukum kerana ponteng solat. Apabila melibatkan hukuman Islam sahaja, mereka akan meroyan dengan mengatakannya berlebihan, kejam, tidak adil, ruang lingkup peribadi dan sebagainya. Aneh sungguh golongan liberal ini!
Cara berfikir Barat yang dibawa oleh kumpulan LFL ini jelas menunjukkan tiga perkara. Pertama: kejahilan mereka tentang Islam, atau kedua: kebencian mereka terhadap Islam, atau ketiga: kedua-duanya sekali. Agaknya apa pendapat orang liberal jika isteri/suami mereka berzina (suka sama suka) dengan orang lain atas alasan kebebasan individu yang dijamin di bawah hak asasi manusia?
Umar Hussein
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia