Kesetaraan Gender: Pembela Atau Perosak

Oleh: Syamsiyah Jamil (Aktivis MHTM)

Pendahuluan

Gagasan kesetaraan gender adalah sebuah usaha untuk menyetarakan wanita sebaris dengan lelaki. Gagasan ini muncul daripada sebuah sangkaan bahawa wanita adalah kaum kelas kedua yang selalu dibelenggu kemiskinan, kemunduran, penindasan dan sebagainya. Itu semua dianggap terjadi kerana beratnya beban yang dipikul oleh seorang wanita sebagai isteri dan ibu sehingga merencatkan kemajuan dirinya sendiri. Mereka dilabel sebagai golongan yang tidak membantu produktiviti negara. Mereka juga diprovokasi untuk berlumba mengejar kedudukan dan menuntut hak yang setara dengan kaum lelaki.

Sehubungan dengan itu, sebagai sebuah organisasi antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengambil inisiatif untuk mengeluarkan wanita daripada segala bentuk penindasan dan diskriminasi. Ia dimulai dengan memasukkan isu tersebut dalam Piagam PBB, menetapkan Deklarasi tentang Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita pada tahun 1967 dan kemudian menetapkan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita atau Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) pada tahun 1979.

Pencapaian Malaysia dalam Merealisasikan CEDAW

Malaysia, sebagai salah sebuah negara yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tidak terkecuali daripada meratifikasi CEDAW. Terakhir pada 19-24 Februari 2018, Malaysia telah menghantar delegasinya untuk membentangkan laporan berkala ketiga dan kelima untuk konvensyen ini. Secara keseluruhanya, laporan itu memaparkan peningkatan yang berterusan dalam tiga aspek yang menjadi keutamaan iaitu bidang tenaga kerja, pendidikan dan politik. Wanita Malaysia telah menyertai pelbagai bidang pekerjaan dan dilantik ke jawatan tinggi agensi kerajaan dan swasta serta memiliki kadar literasi yang tinggi. Namun penglibatan wanita dalam politik masih rendah.

Jabatan Perangkaan Malaysia pula telah mengeluarkan Penerbitan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih, Malaysia, 2019 pada 25 November 2019 yang membentangkan statistik berkaitan gender di Malaysia bagi tahun 2016 hingga 2018. Domain kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menunjukkan KPTB wanita lebih rendah berbanding lelaki iaitu 55.2% berbanding 80.4%. Domain kadar literasi menunjukkan kadar literasi wanita (96.3%) kurang 0.9% berbanding lelaki (97.2%).

Malangnya, domain penguasaan politik menunjukkan hanya 14.4% kerusi di Parlimen dikuasai wanita dan peratusan wanita dalam jemaah menteri juga lebih rendah berbanding lelaki iaitu 17.9% berbanding 82.1%. Berdasarkan Kenyatan Media Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertajuk Prestasi Parti Politik dan Calon Wanita dalam Pilihanraya Umum ke-14 (28 April 2018), hanya 72 orang wanita iaitu 10.48% dari 687 calon mewakili pelbagai parti politik di kerusi Parlimen dan hanya 167 calon wanita (10.15%) dari 1,646 calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lebih teruk lagi, pada 8 Februari 2019, mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, Parlimen Malaysia baru sahaja membincangkan terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta cadangan rangka kerjanya bagi tahun 2019. Itu hanya berlaku setelah hampir 25 tahun Malaysia meratifikasi CEDAW. Tidak cukup dengan itu, sehingga bulan Mac 2019, Malaysia masih belum mewujudkan undang-undang kesetaraan gender dan hukuman bagi gangguan seksual sehingga Jawatankuasa CEDAW, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan kumpulan memperjuangkan hak wanita menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang tersebut.

Semua ini menunjukkan bahawa Malaysia masih lagi gagal dalam usahanya untuk mencapai pematuhan kepada prinsip-prinsip asas CEDAW seperti kebanyakan negara-negara lain. Persoalannya, adakah usaha untuk mematuhi CEDAW ini benar-benar menghapuskan diskriminasi terhadap wanita atau malah terus menghumban pelbagai jenis masalah dan dilema dalam kehidupan wanita serta masyarakat?

Kesan Buruk Terhadap Wanita dan Masyarakat

Kesetaraan gender sebenarnya sudah lama menimbulkan pelbagai kesan buruk dan terus menjadi dilema pada wanita dan seluruh masyarakat. Sekurang-kurangnya ada tiga kesan buruk iaitu keruntuhan institusi rumahtangga, kerosakan akhlak remaja dan membarahnya perjuangan golongan feminisme.

Pertama, gagasan kesetaraan gender telah membentuk wanita untuk menjadi lebih mandiri daripada sudut kewangan dan membuat keputusan. Dalam sebuah rumahtangga, tanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal, makan minum dan pakaian serta pemimpin dalam membuat keputusan adalah kewajipan suami. Namun, apabila wanita lebih mandiri, secara tidak langsungnya isteri telah mengambil alih kewajipan tersebut sama ada dia melakukannya dengan rela hati atau tidak.

Maka, tidak hairanlah jika faktor kewangan menjadi isu utama yang menyebabkan tiadanya persefahaman dalam rumahtangga. Berdasarkan Statistik Tribunal Perkahwinan 2013-31 Mei 2019, sebanyak 17,359 kes perceraian didaftarkan membabitkan faktor kewangan. Wanita yang bekerjaya juga mudah merasa lebih mampu untuk menanggung hidupnya sendiri dan anak-anaknya sehingga menganggap perceraian adalah jalan penyelesaian walaupun melibatkan masalah yang remeh temeh.

Berdasarkan Siaran Akhbar Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian 2019 bertarikh 27 November 2019 pula, bilangan perceraian meningkat 0.1 peratus daripada 50,314 (2017) kepada 50,356 (2018). Manakala bilangan perceraian Orang Islam yang direkodkan pada 2018 adalah 40,269, meningkat 1.4 peratus berbanding 39,709 (2017).

Kedua, gagasan kesetaraan gender telah menyebabkan wanita menjadikan pekerjaan sebagai fokus utama dalam hidupnya. Terlebih lagi apabila kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan agar wanita tetap boleh keluar rumah bekerja dan bersaing dengan lelaki. Kesannya, pengurusan dan pendidikan anak-anak di rumah terabai. Anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan bimbingan ibu bapa inilah dengan mudahnya terjebak dengan masalah jenayah dan sosial.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kesalahan jenayah dalam kalangan remaja terutama pelajar di Malaysia berada pada tahap membimbangkan. Statistik tangkapan pelajar dalam jenayah, indeks pada 2017 merekodkan seramai 1,722 pelajar ditahan manakala 2018 pula 1,286 pelajar ditahan. Menurutnya, bagi kategori jenayah kekerasan pada 2017, seramai 611 pelajar ditahan berbanding 471 pada 2018 dan bagi kategori jenayah harta benda pula pada 2017 seramai 1,111 ditahan berbanding 815 pelajar pada tahun sebelumnya. (Berita Harian Online, 11/11/2019).

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggarkan secara purata, 4,000 remaja perempuan hamil bawah 18 tahun dilaporkan setiap tahun. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata dari tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 79,302 kes remaja perempuan hamil bawah 18 tahun telah dilaporkan. (Astroawani.com, 22/10/2018)

Ketiga, gerakan feminisme semakin berani mengambil tindakan yang melampaui batas dengan menuntut agar beberapa hukum syarak Islam diubah dengan alasan mencapai kesetaraan gender. Antaranya adalah isteri juga mempunyai hak untuk menceraikan suami tanpa melalui proses tuntutan ke mahkamah dan perempuan yang diceraikan dapat berkahwin semula tanpa harus menunggu tempoh iddah. Mereka juga menuntut persamaan hak  antara lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka dengan masing-masing memperoleh satu bahagian.

Muhammad Ariffin bin Ismail, Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam tulisannya yang bertajuk Implikasi Fahaman Persaman Gender Terhadap Agama, mengatakan bahawa gerakan feminisme dan persamaan gender Barat yang berasaskan kepada pemikiran liberal dan sekular merosakkan ajaran Islam dan dapat menghancurkan sistem kehidupan beragama.

Kesimpulan

Walaupun Malaysia dilihat berusaha bersungguh-sungguh memperkasakan wanita dalam aspek ekonomi, pendidikan dan politik, tetapi sebenarnya telah gagal memelihara dan melindungi wanita dalam bidang domestik, sosial dan agamanya. CEDAW bukan sekadar tidak mampu melindungi wanita daripada diskriminasi malah menjadikan wanita sebagai bahan eksploitasi demi kepentingan pihak-pihak tertentu dengan mengatasnamakan kesetaraan gender. CEDAW juga hanyalah salah satu strategi penjajahan PBB terhadap pemikiran umat Islam.

Oleh itu, umat Islam perlu melihat masalah ini dengan menggunakan kaca mata Islam iaitu dengan mengkaji akar permasalahan dan mencari penyelesaian yang selari dengan aqidah Islam. Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu,…” [TMQ al-Maaidah (5):49].

Rujukan

  1. https://selangorkini.my/2019/03/percepat-gubal-undang-undang-kesaksamaan-gender-gangguan-seksual/
  2. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/berita/kes/2019/11/627250/jenayah-dalam-kalangan-pelajar-masih-membimbangkan/amp
  3. https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/4-000-remaja-bawah-18-tahun-hamil-setahun-188916%3famp=1
  4. https://muftiwp.gov.my/ms/sumber/media/penerbitan/suara-pemikir/2155-gerakan-feminisme-persamaan-gender-dan-pemahaman-agama-bahagian-1