Kenapa pemimpin zalim dan korup masih boleh bertahan?
Dalam percaturan politik hari ini, para pemimpin dan politikus, sama ada yang jelas terpalit dengan korupsi atau tidak, sedang bersungguh-sungguh merebut atau mempertahankan jawatan masing-masing. Para pemimpin ini, walaupun ramai yang zalim dan telah terbukti korup, dan sudah tidak layak untuk dijadikan pemimpin, namun ternyata mereka masih lagi mampu bertahan di takhta mereka dan juga dalam arena politik.
Mereka mencuri berbilion-bilion duit rakyat, mereka hidup dalam kemewahan yang luar biasa, mereka angkuh dan sombong, mereka mementingkan diri sendiri serta kroni, mereka menzalimi rakyat, mereka bermuka-muka, tidak berprinsip, tidak pernah tetap pendirian, melompat ke sana ke mari mengikut di mana adanya kepentingan, kredibiliti mereka di tahap yang paling buruk, akhlak dan harga diri mereka juga sangat rendah, mereka tidak pernah menerapkan Islam, dan banyak lagi keburukan lainnya yang mereka lakukan, namun mereka tetap dapat bertahan sehingga kini. Mengapakah hal ini boleh terjadi?
Faktor Sistem
Sejak merdeka hingga kini, apatah lagi generasi yang lahir pasca merdeka, umat Islam hanya disuap dengan sistem demokrasi sebagai sistem yang mengatur kehidupan. Siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan sistem demokrasi dianggap tidak bersetuju dengan negara, dianggap sebagai penderhaka, dianggap sebagai radikal, ekstremis dan sampai ke tahap dianggap sebagai teroris, selain bermacam-macam anggapan negatif lainnya. Apatah lagi dengan adanya parti Islam dan ulama yang turut berjuang dan membolehkan demokrasi, semua ini telah membentuk cara berfikir rakyat bahawa demokrasi adalah satu-satunya sistem yang benar dan baik. Cara berfikir ini sudah berkarat dalam tubuh umat sehingga tidak mudah untuk dibuang. Walhal sistem demokrasi inilah yang telah merosakkan umat dan negara.
Di bawah sistem demokrasi, dan berdasarkan undang-undang serta pendapat umum (public opinion), pemimpin yang boleh dipilih oleh rakyat hanyalah pemimpin yang berjuang dan berpegang kepada demokrasi, Sekorup mana sekalipun pemimpin berkenaan, tetapi selama mana ia mengambil demokrasi, maka ia tetap boleh bertanding dan dipilih, khususnya dalam pilihanraya, walau seribu kali sekalipun. Dengan sistem dan undang-undang sedia ada ini, rakyat tidak diberi pilihan kecuali memilih mereka yang bertanding dalam pilihanraya untuk dijadikan pemimpin. Biarpun jika semua calon yang bertanding dalam pilihanraya adalah korup, rakyat telah dibius dengan kaedah dan ilusi untuk memilih calon yang kurang korup (lesser of two evils) di antara keduanya. Hasilnya, pemimpin korup tetap menang, bezanya cuma korup besar atau korup kecil.
Demokrasi membenarkan siapa sahaja untuk bertanding dalam pilihanraya selama mana seseorang itu berduit dan mematuhi peraturan. Jadi, seorang yang zalim atau korup, dan berduit boleh bertanding, dan tidak ada bezanya dengan seorang yang zalim atau samseng, semuanya boleh bertanding dalam pilihanraya sistem demokrasi. Begitulah bagaimana sebuah sistem dan undang-undang yang ada membolehkan mereka yang korup untuk terus berkuasa.
Faktor Pemimpin
Dalam sejarah dunia, memang terdapat ramai pemimpin yang zalim dan korup, dan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka dengan sangat lama. Siapa tidak kenal Firaun, yang walaupun zalim, namun ia berkuasa di Mesir sejak Nabi Musa lahir lagi sehinggalah Allah (swt) membinasakannya melalui tangan Nabi Musa setelah dewasa. Jadi, tidak hairanlah apabila Husni Mubarak digelar sebagai Firaun Moden, kerana kezaliman diktator tersebut, dan dia juga memerintah Mesir dengan sangat lama. Begitu juga dengan diktator-diktator lain dalam dunia Islam seperti Muammar Gaddafi, Saddam Hussein, Hafiz al-Asad dan anaknya Basyar al-Asad, Ali Abdullah Salleh, Ben Ali, Pervez Musharaf, Sheikh Hasina, Islam Karimov dan ramai lagi. Ada antara mereka yang telah menghadap Tuhannya, dan ada yang masih tegar melawan Tuhannya hingga sekarang! Ini belum lagi mengambil kira pemimpin korup lainnya yang kelihatan baik di mata dunia.
Kebanyakan pemimpin zalim ini mampu bertahan lama walaupun dibenci oleh rakyat. Kenapa? Kerana mereka menggunakan segala kekuasaan dan kekuatan mereka, baik tentera atau polis, yang taat secara membabi buta kepada mereka, untuk menghapuskan siapa sahaja yang melawan mereka. Mereka menggunakan undang-undang zalim yang mereka gubal, dalam rangka menyekat rakyat dan menutup mulut pengkritik-pengkritik mereka. Memandangkan kesemua polis, tentera, dan agensi-agensi kerajaan berada di bawah cengkaman dan telunjuk mereka, ramai dalam kalangan rakyat terpaksa pasrah dan hanya segelintir sahaja yang berani mempertaruhkan nyawa untuk memuhasabah mereka, yang selalunya berakhir di tirai besi atau di tali gantung. Oleh kerana itu, pemimpin zalim dan korup ini terus bertahan.
Manakala di sudut lain, para pemimpin korup ini menanamkan pemikiran yang rosak lagi merosakkan dalam masyarakat seperti ketuanan bangsa, nasionalisme dan patriotisme dan bermacam-macam slogan, yang menjadikan rakyat menyokong mereka, kerana menganggap merekalah hero bangsa dan tanahair. Untuk menjadikan lakonan mereka real, maka mereka senantiasa memainkan isu-isu tersebut, mencipta retorik, dan benar-benar menolong bangsa mereka dengan sedikit pertolongan, melebihkan bangsa mereka daripada yang lain, agar dilihat sebagai penyelamat bagi memastikan rakyat sentiasa menyokong mereka. Pertolongan mereka dari segi kebendaan atau material kepada rakyat biasanya berjaya memperdaya rakyat untuk terus menyokong mereka, apatah lagi apabila rakyat dapat merasai sedikit kesenangan dengan bantuan tersebut setelah sekian lama hidup dalam kesusahan.
Selain itu, terdapat pemimpin yang berjaya menonjolkan imej Islam sehingga ia disukai oleh rakyat padahal mereka hakikatnya adalah para penunggang agama. Mereka melaungkan slogan Islam dalam pelbagai bentuk dan cara, tetapi hakikatnya ia hanyalah tin kosong untuk menarik para pendengarnya. Kebolehan mereka dalam ilmu agama berjaya memukau rakyat sehingga rakyat bertaut kepada mereka. Mereka mungkin tidak sekorup golongan yang pertama di atas, tetapi apabila mereka berada di tampuk kekuasaan, mereka bukan sahaja membahagi-bahagi ghanimah kepada kelompok mereka sahaja, tetapi lebih buruk, mereka memerintah bukan dengan hukum Allah (swt), dan mereka mendukung pemerintahan yang zalim dan korup, menyebabkan pemerintah korup dapat terus bertahan.
Selain realiti yang kita saksikan sejak dulu hingga kini, khususnya sejak kejatuhan Daulah Khilafah pada 1924, sesungguhnya kedudukan pemimpin yang zalim dan korup yang dapat bertahan lama di tampuk pemerintahan sudah pun dijelaskan oleh Allah (swt). Firman-Nya:
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak” [Ibrahim (14): 42]
Inilah perkara yang tidak disedari oleh pemimpin yang zalim dan korup ini. Mereka berusaha untuk mengekalkan takhta mereka, dan kalau boleh mereka ingin berkuasa sampai mati. Mereka fikir bahawa semakin lama mereka berada di kerusi pemerintahan, mereka semakin bahagia kerana semakin banyak nikmat yang mereka dapat. Sedangkan Allah (swt) berkehendak sebaliknya, yakni Allah (swt) sebenarnya memberi tangguh kepada mereka, untuk Dia mengazab mereka dengan yang azab yang paling pedih.
Faktor Ulama
Antara faktor penting kenapa pemimpin yang zalim dan korup boleh terus berkuasa ialah kerana adanya ulama yang mendukung mereka. Pemimpin zalim dan korup ini biasanya mempunyai menteri agama, mufti-mufti dan ramai lagi golongan agamawan yang berada di sekeliling mereka. Tidak ada tujuan lantik untuk pemimpin ini melantik mereka kecuali untuk menghalalkan segala tindakan haram mereka, dan untuk memperindah segala polisi dan keburukan mereka. Para ulama ini adalah terdiri daripada mereka yang mencintai dunia, sebab itulah mereka sanggup untuk bersekongkol dengan pemimpin yang zalim lagi korup ini. Benarlah sabda Rasulullah (saw):
وَيْلٌ ِلأُمَّتِيْ مِنْ عُلَمَاءِ السُّوْءِ يِتَّخِذُوْنَ هَذَا الْعِلْمَ تِجَارَةً يَبِيْعُوْنَهَا مِنْ أُمَرَاءِ زَمَانِهِمْ رِبْحاً ِللأَنْفُسِهِمْ لاَ أَرْبَحَ اللهُ تِجَارَتَهُمْ
“Kebinasaan bagi umatku (datang) dari ulama su’, mereka menjadikan ilmu sebagai barang dagangan yang mereka jual kepada para penguasa zaman mereka untuk mendapatkan keuntungan bagi diri mereka sendiri. Allah tidak akan memberikan keuntungan dalam perniagaan mereka itu” [HR al-Hakim].
Inilah di antara ciri-ciri ulama su’ yang diterangkan oleh Rasulullah (saw) yakni ulama yang menjadikan ilmu yang ada padanya sebagai perniagaan yang diniagakan dengan penguasa yang mereka dampingi, untuk mendapatkan keuntungan duniawi. Mereka tidak beramal dengan ilmu mereka, sebaliknya mereka menggunakan ilmu tersebut mengikut hawa untuk meraih manfaat di sisi penguasa. Anas meriwayatkan:
الْعُلَمَاءُ أَمَنَاءُ الرُّسُلِ مَا لَمْ يُخَالِطُوْا السُّلْطَانَ وَ يُدَاخِلُوْا الدُّنْيَا فَاِذَا خَالَطُوْا السُّلْطَانَ وَ دَاخَلُوْا الدُّنْيَا فَقَدْ خَانُوْا الرُّسُلَ فَاحْذَرُوْهُمْ وَفِيْ رِوَايَةٍ لِلْحَاكِمِ فَاعْتَزِلُوْهُمْ
“Ulama adalah kepercayaan para Rasul selama mereka tidak bergaul dengan penguasa dan tidak asyik dengan dunia. Jika mereka bergaul dengan penguasa dan asyik dengan dunia maka mereka telah mengkhianati para Rasul. Kerana itu, jauhilah mereka” [HR al-Hakim].
Hadis di atas menjelaskan bahawa di antara ulama su’ itu adalah ulama salathin (ulama pendamping penguasa), yang tidak melakukan amar makruf nahi mungkar atau memuhasabah penguasa, sebaliknya ‘membantu’ penguasa dalam kezaliman mereka. Ulama inilah yang menutup dan memperindah segala tindakan jahat penguasa sehingga ramai daripada kalangan umat Islam yang “boleh menerima”, malah ada yang membenarkan, kezaliman penguasa hasil tindak-tanduk ulama ini.
Menurut adz-Dzahabi, ulama su’ adalah ulama yang memperindah kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh penguasa; ulama yang menterbalikkan kebatilan menjadi kebenaran untuk penguasa; atau ulama yang diam sahaja (di hadapan penguasa) padahal ia mampu menjelaskan kebenaran [Sayr al-A’lam an-Nubala’, VII/125, Muassasah ar-Risalah, Beirut, cet. IX. 1413].
Oleh kerana adanya ulama salathin seumpama inilah yang menjadikan pemimpin yang zalim dan korup terus bertahan di kerusi kekuasaan.
Faktor Individu Rakyat
Kita sedar dan faham bahawa umat Islam telah lama diperintah dan didominasi oleh sistem kapitalisme, iaitu sejak berakhirnya kekhilafahan Islam. Mahu tidak mahu, pemikiran kapitalis telah tertancap pada umat, sehingga umat menjadikan “manfaat”, bukannya halal-haram sebagai tolok ukur dalam kehidupan. Pemikiran kapitalis yang mendominasi umat ini bukannya mudah untuk dibuang. Ia menjadikan umat bersifat individualistik dan cintakan kebendaan sehingga menjadikan untung-rugi duniawi sebagai kejaran dan ukuran kebahagiaan.
Inilah penyakit yang disebut oleh Rasulullah (saw) sebagai “wahn” yang menyebabkan umat ini terus hanyut dengan dunia dan mempertahankan pemimpin yang boleh memberi manfaat kebendaan kepada mereka, walau sekorup mana pemimpin itu sekalipun. Di samping itu, sikap takutkan mati menyebabkan umat ini terus membiarkan pemimpin yang zalim kerana tidak berani untuk memuhasabah atau menjatuhkan mereka, dan tidak berani untuk berjuang menegakkan Islam kerana takutkan ancaman daripada pemerintah.
Sejak diperintah dengan sistem demokrasi-sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan, sebahagian umat Islam menjadi sukar untuk menerima penerapan Islam secara kaffah. Apatah lagi apabila hukum-hukum Islam diserang dengan begitu hebat oleh Barat, dan para ulama pula menjadi defensif sehingga meletakkan Islam di kandang salah. Hasilnya, umat Islam tidak nampak bahawa Islam adalah suatu sistem yang praktikal dan sempurna, yang sesuai di sepanjang zaman dan wajib diterapkan tanpa kompromi. Ini yang membuatkan umat ini terus mendukung pemimpin yang tidak menerapkan Islam, kerana merasakan yang Islam tidak mampu untuk diterapkan dan tidak yakin bahawa Islam boleh menyelesaikan semua masalah.
Faktor ini sebenarnya merupakan faktor yang paling penting kerana umat itu sendiri yang tidak mahu berubah. Sedangkan jika mereka mahu berubah, maka insya Allah perubahan itu akan pasti berlaku dengan izin Allah (swt). Pemimpin yang zalim dan korup tidak akan dapat berbuat apa-apa sekiranya umat ini sudah mahu berubah, sudah membuang segala penyakit wahn yang ada pada dirinya, dan sudah mula memperjuangkan Islam untuk dijadikan cara hidup, sistem dan undang-undang negara.
Jadi, umat ini perlu sedar dan berubah jika kita ingin menamatkan pemerintahan dan pemerintah yang zalim lagi korup. Firman-Nya:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [Ar-Ra’d (13): 11]
Wallahu a’lam.