Laporan Aktiviti Kempen Road To Khilafah 2.0
28 Muharram 1442/ 16 September 2020
Johor Bahru :- Ruang cuti di pertengahan minggu sempena Hari Malaysia telah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para pemuda pemikul dakwah di selatan tanah air ini dengan melakukan street dakwah bersempena dengan Kempen Road to Khilafah 2.0 yang dilancarkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia.
Kempen yang bertujuan untuk memberi kesedaran umum tentang sistem politik Islam, Khilafah ini akan dijalankan sepanjang September hingga Disember tahun ini. Penerangan berkaitan manhaj yang telah diambil oleh Rasulullah SAW dan para khalifah sesudah Baginda serta tahapan dakwah yang dilalui dalam membentuk Daulah Islam pertama di Madinah, telah disampaikan oleh sekitar 10 orang pemuda secara santai kepada orang ramai yang berkunjung ke taman rekreasi awam di Johor Bahru ini.
Perkongsian berkaitan sejarah khilafah di alam Melayu juga telah menarik perhatian serta respon yang amat positif daripada umat Islam yang berkunjung ke taman tersebut. Ternyata idea tentang daulah khilafah sebagai sebuah entiti politik umat Islam sedunia telah didengari ramai. Penerangan tentang perlunya umat Islam memiliki sebuah daulah yang akan menerapkan syariat Allah SWT secara kaffah juga telah mendapat respon positif daripada orang ramai serta diakui sebagai sistem yang sepatutnya diterapkan ke dalam masyarakat.