Pandangan Para Ulama Sunni Tentang Wajibnya Melantik Seorang Imam / Khalifah (Siri 4)

3. Allah (swt) tidak akan mentaklifkan (membebankan) sesuatu melebihi isthitha’ah (kemampuan) hamba-Nya

Setelah kita simpulkan bahawa nashbul (melantik) Khalifah adalah fardhu kifayah atas kaum Muslimin, pembahasan berikutnya adalah mengenai isthitha’ah (kemampuan). Adalah suatu yang ma’ruf (dikenal) bahawa isthitha’ah kaum Muslimin itu berbeza antara satu dengan yang lain dari aspek pemahaman, tenaga mahupun harta. Keberagaman ini kadang kala dijadikan hujah oleh sebahagian kaum Muslimin untuk menyatakan bahawa kaum Muslimin sekarang ini tidak mampu melaksanakan kewajipan menegakkan Khilafah. Benarkah?

Ada pun dari segi pengertian isthitha’ah, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا (البقرة :286)

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” [Al-Baqarah (2): 286]

Imam al-Hafidz Abu al-Fida’ Ismail Ibn Katsir dalam Tafsir al-Qur’an al-Adzim menjelaskan:

وقوله “لا يكلف الله نفسا إلا وسعها” أي لا يكلَّف أحد فوق طاقته …

Dan firman-Nya “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” bermaksud bahawa tidak dibebankan pada seseorang itu melebihi kemampuannya…” [Imam al-Hafidz Abu al-Fida’ Ismail Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-Adzim, Juz I hal 737].

Imam al-Qurthubi dalam Tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, menjelaskan secara lebih panjang sebagai berikut:

التكليف هو الأمر بما يشق عليه وتكلفت الأمر تجشمته; حكاه الجوهري. والوسع: الطاقة والجدة. وهذا خبر جزم. نص الله تعالى على أنه لا يكلف العباد من وقت نزول الآية عبادة من أعمال القلب أو الجوارح إلا وهي في وسع المكلف وفي مقتضى إدراكه وبنيته; وبهذا انكشفت الكربة عن المسلمين في تأولهم أمر الخواطر.

Taklif itu adalah perintah untuk hal-hal yang memberatkan padanya dan (ungkapan) suatu perintah itu membebani ertinya bahawa perkara tersebut telah membebaninya. Itulah yang dikemukakan oleh al-Jauhari. Sedangkan al-wus’u adalah kemampuan dan kesungguhan. Ini adalah informasi yang sifatnya pasti. Allah Ta’ala menegaskan bahawa Allah tidak mentaklifkan hamba sejak turunnya ayat tersebut dengan ibadah baik yang merupakan aktiviti hati atau anggota tubuh kecuali dalam batas kemampuan seorang Mukallaf dan dalam lingkup pengetahuan serta niatnya. Dengan ayat ini terangkatlah kesusahan atas kaum Muslimin dalam menjelaskan hal-hal yang membahayakan [Imam al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Juz III hal 429].

Imam al-Baidhawi, dalam kitab tafsirnya, menjelaskan:

{ لاَ يُكَلّفُ الله نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا } إلا ما تسعه قدرتها فضلاً ورحمةً ، أو ما دون مدى طاقتها بحيث يتسع فيه طوقها ويتيسر عليها كقوله تعالى : { يُرِيدُ الله بِكُمُ اليسر وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ العسر } وهو يدل على عدم وقوع التكليف بالمحال …

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” iaitu (bermaksud) kecuali apa yang dalam cakupan kemampuannya, sebagai bentuk keutamaan dan merupakan rahmat (Allah), atau dengan pengertian lain apa yang tidak melebihi jangkauan kemampuan manusia, dalam erti bahawa taklif tersebut berada dalam lingkup kemampuan manusia serta memudahkannya, sebagaimana firman Allah يُرِيدُ الله بِكُمُ اليسر وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ العس (“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”) yang menunjukkan bahawa taklif itu tidak jatuh pada hal yang mustahil (dilakukan)…” [Al-Imam Nashiruddin Abu al-Khair Abdullah bin Umar bin Muhammad al-Baidhawi, Anwar at-Tanzil wa Asrar at-Ta’wil, Juz I hal 316].

Dalam tafsir Lubab at-Ta’wil fi Ma’ani at-Tanzil yang lebih dikenal dengan Tafsir al-Khazin dinukil riwayat jawapan Imam Sufyan ibn Uyainah ketika ditanya mengenai pengertian ayat di atas. Beliau berkata:

قال : إلاّ يسرها ولم يكلفها فوق طاقتها وهذا قول حسن ، لأن الوسع ما دون الطاقة وقيل معناه أن الله تعالى لا يكلف نفساً إلاّ وسعها فلا يتعبدها بما لا تطيق .

Kecuali Allah akan memudahkannya dan Allah tidak mentaklifkannya melebihi kemampuannya dan ini adalah ungkapan yang bagus. Ini kerana (kata) al-wus’u itu adalah (bermaksud) apa yang tidak melebihi kemampuan.  (Selanjutnya Imam Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Umar asy-Syaihi yang lebih dikenal dengan al-Khazin menjelaskan) Juga dikatakan bahawa pengertian لا يكلف الله نفساً إلاّ وسعها bermaksud Allah tidak memerintahkan manusia untuk beribadah dengan hal-hal yang di luar kemampuannya [Imam al-Khazin, Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Umar, asy-Syaihi, Lubab at-Ta’wil fi Ma’ani at-Tanzil, Juz I hal 330].

Para Mufassirin tersohor di atas telah memaparkan secara jelas akan pengertian Surah al-baqarah ayat 286. Benar, bahawa Allah (swt) telah menegaskan dengan nas yang terang bahawa Dia (swt) tidak akan mentaklifkan pada hamba-Nya perkara di luar kemampuan hamba-Nya, yakni Allah (swt) tidak akan mentaklifkan sesuatu yang tidak boleh (mustahil) dilakukan oleh manusia. Ini sekali gus bermaksud bahawa apa sahaja yang ditaklifkan oleh Allah (swt) berupa perintah-perintah dan larangan-larangan-Nya, baik di dalam al-Quran mahupun as-Sunnah, maka semuanya adalah mampu dilakukan oleh manusia. Bahkan pada Surah at-Taghabun (64) ayat 16, Allah (swt) memerintahkan kita untuk bertakwa semampu kita. Firman-Nya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ (التغابن: 16)

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah semampu-mampu kamu”

Imam al-Hafidz Ibnu Katsir menjelaskan:

وقوله تعالى “فاتقوا الله ما استطعتم” أي جهدكم وطاقتكم كما ثبت في الصحيحين عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “إذا أمرتكم بأمر فائتوا منه ما استطعتم وما نهيتكم عنه فاجتنبوه”

“Dan firman-Nya:

فاتقوا الله ما استطعتم

Firman Allah “Maka bertakwalah kamu kepada Allah semampu-mampu kamu” maksudnya adalah dengan kesungguhan dan kemampuan kalian, sebagaimana yang telah ditetapkan dalam dua kitab shahih dari Abi Hurairah (ra). Dia berkata, bahawa Rasulullah (saw) bersabda, ‘Apabila aku perintahkan kalian dengan suatu, perintah maka tunaikan semampu-mampu kalian, manakala perkara yang aku larang untuk kalian, maka jauhilah’“ [Imam al-Hafidz Abu al-Fida’ Ismail Ibnu Katsir dalam Tafsir al-Qur’an al-Adzim, Juz II hal 87].

Inilah yang ditegaskan Allah (swt) kepada kita bahawa Dia (swt) tidak mentaklifkan kepada kita suatu perkara yang di luar batas kemampuan kita. Maka menjawab kepada pertanyaan, adakah nashbul khalifah li tathbiqi syari’atillah (melantik Khalifah untuk menegakkan syariat Allah) yang merupakan kewajipan itu, berada di luar batas kemampuan kita? Memang, kalau kewajipan tersebut hanya dilaksanakan oleh individu-individu kaum Muslimin sahaja, tentu berada di luar batas kemampuan mereka. Atas dasar itulah wajib adanya jamaah (parti) Islam yang berusaha menerapkan syariah dan menegakkan Khilafah dan setiap individu Muslim wajib bersamanya atau mendukungnya dengan penuh kemampuan. Ini dari satu sisi.

Dari sisi lain, oleh kerana kewajipan nashbul Khalifah itu adalah fardhu kifayah, maka ia terbeban kepada semua Muslim secara umumnya, yang bererti selama mana kewajipan tersebut masih belum terlaksana, maka kewajipan tersebut tetap wajib diusahakan oleh setiap Muslim yang Mukallaf, dan siapa sahaja yang tidak berusaha akan berdosa, sehinggalah kewajipan tersebut tertunai.

Jadi, nashbul khalifah adalah kewajipan kita semua. Siapa sahaja yang tidak bersungguh-sungguh dengan penuh kemampuan untuk melakukannya, tanpa adanya udzur syarie, maka ia termasuk kategori orang yang telah menelantarkan kewajipan yang dibebankan oleh Allah (swt) kepadanya. Maka apatah lagi orang yang hanya berpeluk tubuh, dan lebih buruk jika ia termasuk orang-orang yang menentang kewajipan tersebut.

Khulashatul qaul (kesimpulannya), nashbul khalifah adalah fardhu atas seluruh kaum Muslimin, dan siapa sahaja yang mengabaikan hal tersebut tanpa udzur syarie adalah berdosa.

Wallahu a’lam bi ash-shawab.

[Disunting daripada: http://hizb-indonesia.info/2012/04/25/maqalah-ulama-ulama-sunni-tentang-wajibnya-nashbul-khalifah/]