Wahai para ulama! Muhasabahlah Najib untuk terap Islam

gambar-multaqaPara ulama, pemimpin politik dan tokoh-tokoh Islam termasuk cendekiawan dari Universiti Al-Azhar yang bersidang sempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 sebulat suara meluluskan resolusi menyeru UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama demi perpaduan ummah. Sungguh sayang apabila Multaqa sebesar itu yang julung kali diadakan, hanya memfokuskan perpaduan dan kerjasama di antara dua parti politik terbesar di Malaysia sahaja dengan mengesampingkan gerakan-gerakan Islam lain dan tidak membincangkan isu sebenar umat Islam yang perlu diselesaikan segera secara tuntas.

Kita tidak nafikan kewajipan dan kebaikan untuk bersatu padu, tetapi apabila penekanan hanya diberikan kepada kabilah-kabilah tertentu sahaja, maka kita sudah boleh baca akan agendanya, apatah lagi apabila seruan perpaduan itu muncul sekarang, di saat parti pemerintah kelemasan dengan pelbagai masalah.

Ulama merupakan orang-orang yang wajar dimuliakan dan dihormati kerana ketakwaannya kepada Allah SWT, ketinggian ilmunya, keluhuran budi pekertinya, kezuhudannya dan yang lebih penting, kerja-kerjanya yang mewarisi kerja-kerja para Nabi. Atas dasar ini, ulama sebenarnya merupakan para pejuang Islam, merupakan singa-singa Allah, sebagaimana para Nabi, berani menyatakan kebenaran di mana sahaja, apatah lagi di hadapan pemerintah yang zalim dan sanggup mati dalam usaha menegakkan kebenaran. Inilah ulama.

Di sepanjang sejarah Islam, berapa ramai ulama yang syahid di tangan pemerintah yang zalim hanya kerana pendapat atau fatwa mereka bertentangan dengan kehendak pemerintah. Malah imam muktabar yang empat pun tidak terlepas daripada kezaliman pemerintah di zamannya. Namun mereka tetap teguh dan berani mengatakan kebenaran, sehingga nyawa mereka telah menjadi galang gantinya. Para ulama yang ihklas tersebut semuanya berjuang untuk Islam dan untuk kebaikan umat dan mereka menentang pemerintah yang zalim sehingga mereka gugur sebagai permata umat dan tempat mereka di sisi Allah lebih mulia lagi Insya Allah. Inilah sifat dan sikap ulama yang sebenar.

Namun, kita menyaksikan pada hari ini, mereka yang bergelar ulama lebih senang untuk mendekati pemerintah dan mengikut sahaja kemahuan pemerintah. Malah berapa ramai daripada mereka yang sanggup bekerja dengan pemerintah dengan bayaran yang lumayan, sehingga apa sahaja pendapat dan fatwa yang mereka keluarkan, sentiasa selari dengan apa yang majikan mereka mahukan. Hasilnya, ulama yang sepatutnya berjuang untuk menegakkan Islam dan untuk kepentingan umat, akhirnya berjuang untuk kepentingan pemerintah. Hal ini sungguh menyedihkan kita.

Sesungguhnya masalah utama yang melanda umat sekarang bukanlah masalah parti-parti politik yang tidak bersatu, sehingga ia perlu disatukan. Bukan sama sekali! Sesungguhnya masalah utama yang dihadapi oleh umat Islam sekarang ialah kerana tidak diterapkan hukum Allah SWT di dalam kehidupan, sebaliknya digantikan dengan penerapan sistem kufur demokrasi dan lain-lain sistem yang datangnya dari Barat dan dari akal-akal manusia!

Penerapan hukum kufur inilah, yang telah mencampakkan hukum Allah dari pemerintahan negara, menyebabkan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia, menghadapi masalah yang tidak pernah berkesudahan. Persoalannya, siapakah yang menerapkan segala hukum ini, jika bukan pemerintah? Siapakah yang menentukan undang-undang, peraturan, polisi, halal dan haram dalam negara ini, jika bukan pemerintah? Riba, judi, arak, cukai, disko, pesta maksiat dan banyak lagi keharaman lainnya, adalah dihalalkan di Malaysia oleh pemerintah. Manakala berdakwah, mengkritik pemerintah, berdemonstrasi, berusaha untuk menegakkan Islam secara kaffah tanpa melalui jalan demokrasi dan seumpamanya, semua ini adalah diharamkan, kecuali jika mendapat izin dari pemerintah!

Inilah masalah besar umat Islam, yakni mempunyai pemerintah yang tidak menerapkan hukum Allah. Masalah umat Islam bukanlah kerana mempunyai dua parti politk yang tidak sehaluan sehingga perlu dijadikan fokus oleh para ulama untuk menyatukannya!

Para ulama sepatutnya, malah sewajibnya menegur atau memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan apa yang diturunkan oleh Allah. Muhasabah ini wajib dilakukan secara berterusan oleh para ulama, malah para ulama sepatutnya berada di barisan hadapan umat di dalam memuhasabah pemerintah! Berhukum selain daripada apa yang Allah turunkan merupakan sebuah kezaliman yang nyata dan para ulama bertugas untuk melenyapkan kezaliman ini. Inilah tugas para ulama, yang mewarisi tugas para Nabi yakni memuhasabah pemerintah dan bukannya menuruti kehendak pemerintah.

Jadi, sedarlah wahai para ulama! Bahawa apa yang kalian wajib lakukan sekarang ialah memuhasabah Najib selaku Perdana Menteri dan orang yang paling berkuasa di Malaysia, dan juga lain-lain pemerintah Muslim, untuk menerapkan Islam secara kaffah. Ingatlah bahawa masalah utama umat Islam bukanlah soal menyatu padukan dua parti politik yang jika kalian berjaya lakukan sekalipun, kalian sebenarnya telah meninggalkan kewajipan kalian yang lebih besar yakni memastikan yang hukum Allah SWT diterapkan secara kaffah di muka bumi ini.

Wallahu a’lam.