Ulama Wajib Ingatkan Najib Agar Menerapkan Islam!

najib-ulamaGolongan ulama tidak boleh fanatik, taksub melulu – Najib

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Golongan ulama tidak boleh bersikap fanatik, berpihak kepada parti politik tertentu serta taksub secara melulu sehingga terlalu mudah menjatuhkan hukuman terhadap orang lain tanpa usul periksa. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai barisan hadapan, golongan ulama perlu melupakan perbezaan politik dan bersatu mempertahankan akidah serta maruah umat Islam daripada sebarang bentuk pencerobohan. “Kita amat sedih apabila ada segelintir ulama sanggup menegakkan hujah yang bercanggah dengan al-Quran dan sunah, semata-mata mahu mempertahan ideologi politik kepartian, hatta dalam isu mengerjakan haji ke tanah suci Mekah. “Sedangkan golongan ini iaitu ulama dan umara yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam di sini, hari ini.  Majlis tersebut dihadiri kira-kira 2,000 ulama, umara dan imam dan serentak dengan itu turut diumumkan Tokoh Imam Kebangsaan yang dianugerah kepada Imam Besar Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah, Sheikh Roslan Abdul Halim.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyeru golongan ulama, umara, imam dan seluruh umat Islam agar berwaspada dengan penyebaran fahaman pluralisme serta liberalisme yang mengugat akidah umat Islam. Katanya, ada pihak tertentu di negara ini cuba mengambil kesempatan dengan ‘menangguk di air yang keruh’ untuk memisahkan orang muslim daripada ajaran Islam iaitu dengan meracuni fikiran mereka mengenai pluralisme dan liberalisme. “Ini sudah memadai untuk mereka, tidak semestinya sehingga menukar agama. Sebab itu kita mesti sentiasa berwaspada terhadap apa jua perancangan dan tindakan pihak berkenaan dalam mengancam akidah kita,” katanya. Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan membendung dan menolak sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk menganjurkan apa jua program yang bersifat songsang dengan fitrah manusia.  Tegas beliau, setiap kebebasan ada batasnya dan segala pandangan yang dikeluarkan oleh setiap individu tidak boleh lari daripada kerangka perundangan yang dibenarkan atau bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. “Pada saat ini, umat Islam sedang diasak secara fizikal dan mental dari segenap penjuru dan kita tidak seharusnya hilang fokus. Sebagai manusia, seseorang itu wajar diberi kebebasan, tetapi ia ada batasnya,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia 17/12/11

Najib Ingatkan Ulama Jangan Fanatik…Ulama Pula Wajib Ingatkan Najib Agar Menerapkan Islam. Itu Baru Betul!

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kunci kecemerlangan dan kejayaan di dalam sesebuah peradaban adalah terletak kepada  para ilmuan dan juga pemerintah. Ulama adalah ikon yang senantiasa memberikan santapan dalam bentuk pemikiran dan konsep kepada umat, yang menyebabkan umat itu menjadi kelompok yang bangkit dan cerdik sehingga terangkat martabatnya di tengah-tengah kehidupan ini. Ilmu yang disampaikan oleh para ulama ini seumpama minyak yang menghidupkan enjin sesebuah kereta. Manakala peranan umara (pemerintah) merupakan peneraju utama dalam memacu sebuah kebangkitan dan peradaban yang ada. Ini kerana, umara’lah yang akan memainkan peranan dalam menentukan gagasan yang disampaikan oleh para ulama itu berhasil sepenuhnya untuk difahami dan diamalkan oleh rakyat yang dipimpinnya. Mungkin gambaran mudah yang boleh dibayangkan adalah seperti sebuah kereta yang akan hanya dapat berfungsi dengan baik jika enjin dan pemandunya baik dan cekap. Jadi tidak hairanlah jika Rasulullah SAW bersabda: “Terdapat dua golongan dari umatku, apabila keduanya baik, maka manusia pun menjadi baik dan jika keduanya rosak maka rosaklah semuanya, yakni golongan penguasa dan ulama” (HR. Ibnu ‘Abdil Barr dan Abu Naim dengan sanad yang lemah).

Pada zaman keemasan Islam, umat Islam tidak terlalu sulit menemukan ulama yang sejati. Di era sahabat, misalnya, Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali, Aisyah, Zaid bin Tsabit, Abu Hurairah, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Abdullah bin Mas’ud, Muadz bin Jabal dan ramai lagi adalah para ulama besar.  Pada peringkat awal Islam, mereka menjadi tauladan dan rujukan kaum Muslim dalam menyelesaikan permasalahan mereka. Pada masa tâbi‘în, ulama yang sangat masyhur adalah tujuh fuqaha’ Madinah: Said bin Musayyab, Urwah bin Zubair, Qasim bin Muhammad, Kharijah bin Zaid, Abu Bakar bin Abdirrahman bin Haris bin Hisyam, Sulaiman bin Yasar, Ubaidillah bin Utbah bin Mas‘ud, dan Nafi’, maulanya Abdullah bin Umar ra.  Di Kufah pula, fuqaha’ yang mahsyur  adalah Alqamah bin Mas‘ud, Ibrahim an-Nakha’i, Syaikh Himad bin Abi Sulaiman, syaikhnya Abu Hanifah. Fuqaha’ dari kalangan penduduk Bashrah adalah Hasan Bashri.  Di kalangan tâbi‘în yang juga terkenal sebagai ulama masyhur adalah Ikrimah Maula Ibnu Abbas, Atha’ bin Abi Rabi’ah, Thawus bin Kisan, Muhammad bin Sirin, Aswad bin Yazid, Masruq bin al-A’raj, al-Qamah an-Nakha’i, asy-Sya’bi, Syuraikh, Said bin Jabir, Makhul ad-Dimasyqi, dan Abu Idris al-Khaulani.

Mereka semua adalah para alim dan memberi sumbangan yang sangat besar bukan sekadar dalam bidang keilmuan, bahkan dalam memandu umat ke arah yang diredhai Allah SWT. Begitu juga umara’ di zaman kecemerlangan Islam, kita akan dapati bahawa para umara’ di era tersebut, bukanlah pemerintah yang cetek ilmunya, bahkan mereka merupakan para ilmuan dan politikus yang hebat. Mereka  menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat dengan penyelesaian yang datang dari pemikiran dan thaqafah Islam. Ini boleh kita telusuri di zaman kemuncak Islam sejak era Rasulullah SAW sehinggalah kepada zaman Khilafah Uthmaniyyah yang terakhir di Turki.

Berbeza dengan keadaan kita pada hari kini, di mana kita dapat melihat bagaimana para pemimpin di dunia umat Islam secara amnya termasuklah Najib, yang tidak menerapkan sistem Islam dan sekadar pandai bermain kata-kata untuk kepentingan peribadi dan kelompoknya demi meraih undi.  Apa yang lebih malang adalah terdapat di sekelilingnya para ulama’ upahan dan murahan yang hanya bercakap demi kepentingan politik pemimpin yang membelanya sahaja. Para ulama ini dijadikan mata tombak oleh para pemerintah sekular sedia ada untuk membenarkan apa sahaja yang mereka lakukan. Jika terdapat individu atau kelompok yang ikhlas, yang mahu memuhasabah pemerintah yang ada, maka golongan ini dikatakan sebagai sesat, pengganas, ekstremis dan sebagainya
Oleh itu, dalam perkara ini kami ingin menyatakan beberapa hal: 

Pertama, Najib harus sedar bahawa kekuasaan yang dipegang ketika ini akan menjadi fitnah yang besar dan akan menjerumuskannya ke dalam siksaan yang amat pedih, kecuali jika beliau berusaha untuk menerapkan Islam sepenuhnya (kaffah) dalam kehidupan dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan dan panduan. Najib harus menjauhi sikap mencintai dunia (hubbud dunya), dan takut hanyalah kepada Allah SWT semata-mata. Janganlah dihalang golongan yang berdakwah dan menyerukan manusia ke jalan kebenaran dan kebaikan.

Kedua, para ulama’ perlulah menyedarkan umat dan pemerintah agar segera bangkit memahami Islam seutuhnya. Pemahaman tersebut perlu diterapkan dan dijadikan sebuah pegangan dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara. Para ulama’ yang dekat dengan pemerintah  pada hari ini perlu insaf dan kembali ke dalam saf yang benar, dan tidak mudah ‘dibeli’ dengan harga yang sangat murah sehingga menjadi kuda tunggangan parti-parti politik sekular. Ingatlah bahawasanya siksaan Allah amatlah pedih jika kalian ingkar. Namun jika kalian melakukan sebaliknya, maka Allah pasti membeli pengorbanan kalian di dunia ini dengan ganjaran yang besar di akhirat kelak.

Ketiga, umat Islam seluruhnya perlulah sedar, bahawa tanggungjawab untuk meninggikan syiar Islam bukan hanya terletak di atas bahu para ulama’ dan umara’ sahaja. Namun ia juga terletak di bahu semua manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya. Ketahuilah bahawa tanggungjawab untuk melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar tidak akan pernah berhenti sesaat pun sehinggalah kita dipanggil untuk menghadap Allah SWT kelak di hari pembalasan. Wallahu’alam