Susulan kemenangan Biden, Amerika ibarat retak menanti belah

Setelah sekian lama menunggu, Biden akhirnya diisytiharkan menang sebagai Presiden Amerika, suatu yang pastinya menghampakan Trump. Trump kemudiannya mendakwa Biden telah mencuri kemenangannya dalam pilihan raya. Tatkala ahli-ahli politik kanan dari parti Republikan menjauhkan diri daripada usaha Trump untuk mengekalkan jawatannya, Biden telah berjanji untuk “menjadi presiden yang tidak memecah belah, tetapi berusaha untuk menyatukan” [1]. Apakah mesej perpaduan dan pemulihan Biden ini akan dipedulikan?

Dalam ucapannya di markas kempennya, Biden berucap di hadapan sekumpulan penyokongnya dan berkata, “Demi mencipta kemajuan, kita hendaklah berhenti daripada memperlakukan seteru (politik) kita sebagai musuh. Mereka bukan musuh kita. Mereka adalah warga Amerika”. [2] “Inilah saatnya untuk pemulihan di Amerika” tambahnya lagi. Biden juga berjanji untuk “bekerja dengan sepenuh hati demi keyakinan semua. (iaitu) demi memenangi keyakinan semua orang”. [3]

Apabila kata-kata melangit Biden ini dibandingkan dengan sikap para penyokong parti Republikan – yang berbondong-bondong telah mengundi demagog mereka, Trump – kita akan mendapati bahawa pemulihan bangsa Amerika tidak lain hanya tinggal kenangan yang saban hari semakin pudar. Rata-rata para penyokong Trump menghindari fakta berasaskan sains mengenai COVID-19, mendukung ketuanan kulit putih, memandang gerakan ‘Black Lives Matter’ sebagai masalah yang menggugat undang-undang dan ketenteraman, serta sangat mempercayai teori konspirasi. Di samping itu, hampir 50% pendukung Republikan mempercayai Qanon, yang mengangkat Trump sebagai penyelamat dalam membongkar serta memerangi komplot rahsia yang keji berkaitan jaringan pemerdagangan seks kanak-kanak yang didakwa dikendalikan oleh ahli politik dan selebriti parti Demokrat. [4]

Namun, apa yang menjadi pendorong utama buat para pengundi Republikan ialah keinginan mereka untuk melindungi nilai-nilai Kristian yang mendalam daripada serangan nilai-nilai liberal yang diperjuangkan oleh Demokrat. Para mubaligh Kristian merangkumi 20% daripada keseluruhan pengundi di Amerika Syarikat dan mempunyai pengaruh yang signifikan di negeri-negeri Barat Tengah AS dan juga negeri-negeri yang menjadi rebutan kedua-dua pihak (swing states). Hasil tinjauan menunjukkan bahawa 75% orang mubaligh berkulit putih memilih Trump pada tahun ini, berbanding 81% empat tahun lalu. Boleh dikatakan kesemua golongan ini teguh bersama Trump ekoran tindakan pelantikan Hakim Mahkamah Agung lalu. [5] Jurang yang mendalam antara kaum konservatif dan liberal bukanlah perkara baru, bahkan begitu ketara semenjak tahun 1980-an lagi, sehinggakan Demokrat dan Republikan tidak lagi dapat bekerjasama di Washington — politik di negara tersebut terpecah mengikut “garis sesar” ideologi pihak masing-masing.

Dalam Amerika pasca-Trump, COVID-19 pasti akan memacu lebih lagi bibit perpecahan antara golongan konservatif dan liberal, di saat ketaksamaan (inequality) terus meresapi segenap aspek masyarakat Amerika. Jika dilihat dari aspek ketaksamaan ekonomi sahaja pun, boleh membuatkan negeri-negeri liberal seperti California dan negeri-negeri di Pantai Timur mempersoalkan, apakah sumbangan cukai mereka kepada kerajaan Persekutuan, yang kemudiannya digunakan bagi membantu negeri-negeri Republikan yang terbeban hutang, akan memberanikan mereka untuk mendakwa bahawa semua ini adalah hasil ketinggian nilai-nilai konservatif berbanding nilai-nilai liberal.

Berlatarbelakangkan situasi sebegini, sukar untuk melihat bagaimana kemenangan Biden akan mampu memulihkan AS. Biden, seperti para pendahulunya, pastinya akan berusaha untuk memastikan ketuanan liberalisme di dalam dan di luar negara, dan tindakan ini berkemungkinan akan menimbulkan pertembungan dahsyat antara kaum konservatif dan liberal – sekali gus berpotensi menyebabkan keretakan politik dan masyarakat Amerika yang berkekalan. Tanpa syak lagi, ini akan menyebabkan penguncupan dari segi keunggulan Amerika di seluruh dunia, dan memberi peluang kepada kuasa-kuasa besar lain untuk mengambil kesempatan terhadap keadaan domestik Amerika ini.

Sekiranya trend seperti ini berlarutan, maka sokongan Amerika terhadap para penguasa kuku besi dalam dunia Islam semakin lemah, sekali gus akan mendorong mereka yang berusaha ke arah penubuhan semula Khilafah untuk melipatgandakan usaha mereka dalam mendirikan negara Islam. Namun masih ramai pihak dalam dunia Islam yang bukan hanya gagal untuk melihat implikasi kemenangan Biden ini, bahkan turut gagal dalam melihatnya sebagai peluang ke arah kembalinya kekuasaan Islam.

[Diterjemah dan diolah daripada penulisan Abdul Majeed Bhatti untuk Maktab I’lamiy Pusat Hizbut Tahrir]

 

Rujukan

[1, 2, 3] https://www.nbcnews.com/politics/2020-election/clinching-victory-president-elect-biden-declares-time-heal-america-n1247013

[4] https://www.usatoday.com/story/news/politics/2020/10/22/qanon-poll-finds-half-trump-supporters-believe-baseless-claims/3725567001/

[5] https://www.theguardian.com/us-news/2020/nov/06/white-evangelical-christians-supported-trump