Kerajaan minoriti dalam demokrasi, sebuah pembohongan nyata

Siri drama perebutan kuasa dan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan masih berterusan, dan belum menampakkan tanda-tanda penyelesaian. Dalam perkembangan terbaru yang sungguh melucukan, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata yang Umno negeri bersedia menjadi pembangkang. Kemudiannya menyusul kenyataan daripada Presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang Umno akan terus menyokong Menteri Besar, Aminuddin Harun, dan katanya lagi 12 daripada 14 ADUN Umno menolak untuk menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri itu.

Kenyataan tersebut jelas bercanggah, dan hal ini membawa isyarat perpecahan sebenarnya bukan sahaja berlaku dalam gabungan pemerintahan di Negeri Sembilan, tetapi dalam Umno itu sendiri.

Sebenarnya banyak isyarat politik yang boleh dibaca melalui krisis ini yang sudah pun melibatkan Putrajaya. Penarikan sokongan kesemua 14 Adun Umno terhadap Menteri Besar daripada Pakatan Harapan tentunya tidak berlaku tiba-tiba, dan tentunya bukan isu remeh. Tidak mungkin Jalaluddin dan kesemua 13 rakan sepakatnya tidak tahu bahawa tindakan mereka akan menggoncang singgahsana kuasa di Putrajaya. Ia bukan isu pemerintahan negeri semata-mata, tetapi satu isyarat untuk pemerintahan pusat.

Apa pun perancangan, isyarat dan bukti-bukti yang terzahir daripada krisis ini, ia bukanlah suatu yang baru dan bukan juga suatu yang pelik, kerana politik kotor di Malaysia telah sekian lama menyaksikan pelbagai kemelut, yang kesemuanya terhasil dari satu sebab sahaja iaitu ketamakan dan perebutan kuasa pihak-pihak yang terlibat. Jika bukan kerana kuasa, sudah tentu semua ini tidak terjadi.

Jika benar tidak mahukan kuasa, kenapa Umno Negeri Sembilan terus mengisytiharkan bahawa mereka telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sebaik sahaja lima orang Adun PN menyatakan sokongan kepada mereka? Jika benar sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, dan tidak mahukan kuasa, ya letak sahaja semua jawatan dalam parti dan kerajaan, termasuk sebagai wakil rakyat, dan pilih sahaja untuk menjadi rakyat. Selesai. Di pihak Menteri Besar pula, bila sudah tahu kehilangan sokongan majoriti, kenapa masih terus ingin memegang kuasa? Ya, kerana kuasa adalah segala-galanya.

Drama masih lagi berlangsung. Jadi, biarlah pihak yang merancang terus merancang, kerana kita sememangnya tidak akan dapat menyekat perancangan mereka. Namun, mereka perlu ingat bahawa rakyat sedang menonton dan menilai drama ini.

Mitos Kerajaan Majoriti Di Bawah Demokrasi

Ala kulli hal, ada satu perkara yang menarik untuk diberi perhatian dalam kemelut kali ini memandangkan ia kali pertama berlaku dalam sejarah Malaysia, malah mungkin sejarah dunia. Negeri Sembilan kini diperintah dan ditadbir oleh sebuah kerajaan minoriti! Dengan penarikan sokongan oleh Umno, PH kini hanya memiliki 17 kerusi (daripada 36 kerusi) Dewan Undangan Negeri (DUN). Manakala 19 kerusi lagi sudah tidak lagi menyokong Menteri Besar.

Secara demokrasi (dan juga perundangan), tidak dibenarkan mana-mana kerajaan untuk memerintah apabila sudah kehilangan majoriti. Ini merupakan asas dalam sistem dan negara demokrasi.

Kita tentu ingat yang kerajaan PH kali pertama dahulu, di bawah pimpinan Dr. Mahathir, segera meletak jawatan apabila telah kehilangan majoriti, dan itu berlaku di peringkat pusat. Kenapa kerajaan PH sekarang, padahal di peringkat negeri, masih berdegil dan menyatakan mereka masih kerajaan yang sah walaupun telah kehilangan majoriti? Dasar apa yang dipegang, undang-undang mana yang dipegang dan prinsip mana yang dipegang kali ini, yang membezakannya dengan kerajaan PH yang dahulu?

Menteri Besar sendiri mengakui bahawa mereka sekarang ialah sebuah “kerajaan minoriti”. Persoalannya, sejak bila wujud, atau dibolehkan wujudnya sebuah “kerajaan minoriti” dalam pemerintahan demokrasi? Kenapa mereka yang berkuasa itu tidak meletak jawatan sahaja, dan pulangkan balik mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan berdasarkan suara majoriti sesuai dengan hukum demokrasi? Ya, jawapannya kembali kepada “kuasa” yang merupakan segala-galanya.

Krisis ini hakikatnya telah membongkar dan menelanjangkan lagi satu pembohongan besar yang selama ini disucikan oleh para penganut dan pemuja sistem demokrasi, iaitu rule by majority (pemerintahan oleh majoriti).

Selama ini, rakyat didoktrin dengan prinsip dan laungan palsu bahawa demokrasi adalah sistem yang paling baik dan adil kerana kononnya ia berdasarkan prinsip “pemerintahan majoriti”. Kononnya majoriti sokongan di dalam dewan-lah yang menentukan siapa yang layak memerintah, dan kononnya majoriti rakyatlah yang menentukan siapa yang berhak memerintah!

Namun, realiti krisis di Negeri Sembilan pada hari ini telah membuktikan pembohongan terbesar demokrasi sejak kewujudannya di negara ini, bahkan mungkin sejak kewujudannya di dunia. Parti-parti dan politikus demokrasi yang selama ini menjulang tinggi demokrasi sebagai sebuah pemerintahan majoriti, kini setelah kehilangan majoriti, dogma tersebut nampaknya sudah tidak terpakai, dikhianati dan dipijak-pijak oleh mereka sendiri.

Krisis ini juga menjadi bukti nyata betapa sistem dan undang-undang ciptaan akal manusia (sistem sekular-demokrasi) penuh dengan kepentingan, kelemahan dan kelompangan. Ia boleh diputar belit pada bila-bila masa mengikut kepentingan dan hawa nafsu parti politik dan politikus yang berkuasa, asalkan mereka kekal di atas kerusi empuk kekuasaan.

Sejak dahulu, demokrasi sebenarnya bukanlah pemerintahan majoriti, apatah lagi pemerintahan rakyat. Sebaliknya ia adalah alat manipulasi golongan elit kapitalis dan politikus pragmatik untuk menghalalkan nafsu serakah mereka dalam rangka membolot kuasa dan kekayaan negara. Pemerintahan majoriti dalam demokrasi hanyalah sebuah mitos, kerana realitinya bukan majoriti rakyat yang membuat keputusan atau menentukan nasib mereka, sebaliknya sebilangan kecil elit kekuasaan-lah yang menentukan segala-galanya mengikut hawa nafsu mereka.

Ketidakstabilan politik yang berlaku pada hari ini, yang telah memangsakan rakyat, semuanya kerana ketamakan dan perebutan kuasa pihak atasan – kawan bertukar menjadi lawan dan lawan bertukar menjadi kawan, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata – demi memburu takhta dan harta. Semua ini merupakan barah yang tidak dapat dipisahkan daripada sistem demokrasi itu sendiri. Politikus dalam sistem demokrasi bukannya “bertarung” demi mendaulatkan Islam atau menjaga kepentingan umat, tetapi demi kelangsungan survival parti dan poket masing-masing.

Justeru, sudah tiba masanya untuk umat Islam mencampakkan sistem kufur warisan penjajah ini ke dalam tong sampah sejarah. Sistem ini akan terus memberi manfaat untuk golongan elit pemerintah dan para kapitalis yang dekat dengan mereka sahaja. Ia akan terus membohongi rakyat, memangsakan rakyat, menyengsarakan rakyat, dan sama sekali tidak akan memartabatkan Islam selamanya.

Satu-satunya kewajipan dan harapan bagi umat Islam ialah sistem Islam di bawah naungan Daulah Khilafah. Khilafah telah terbukti membawa kesejahteraan kepada umat Islam dan membawa umat ini kepada ketamadunan yang luar biasa, dan menjadi super power dunia selama lebih 13 abad. Inilah negara yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir, dan Hizbut Tahrir sentiasa menyeru seluruh umat Islam untuk menegakkannya, dan dengan izin Allah, masa untuk tegaknya Khilafah sudah sangat dekat.

Wallahu a’lam.