Nasihat untuk kerajaan – buang demokrasi, tegak Khilafah

tegak-khilafahIsu kerjasama UMNO-PAS masih terus diperhangatkan oleh media dan terus diperkatakan, baik di alam maya mahupun di alam nyata, setelah kedua-dua presiden parti itu muncul sepentas dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 baru-baru ini.

Media pro-kerajaan bukan sahaja dilihat membesar-besarkan hal ini, malah cuba ‘spin’ bagi menampakkan yang PAS bersetuju untuk berbaik dengan UMNO, yang sekaligus membuka ruang untuk parti Islam itu bergabung dengan parti assabiyyah Melayu terbesar itu yang menjadi musuh tradisinya selama ini. Media pro UMNO turut memperbesarkan isu yang pemimpin PAS sedia memaafkan UMNO dan melupakan kisah lalu, yang memberi gambaran UMNO kini seolah-olah sudah suci dan bersih dari segala noda dan dosa.

Dalam masa yang sama, Parti Amanah Negara (Amanah) turut dilibatkan media dalam isu ini dengan memetik kata-kata beberapa orang pemimpinnya yang dilihat menambah luka kepada ‘perceraian’ PAS-Amanah. Ternyata taktik ini sedikit sebanyak berjaya merehatkan UMNO dari perbalahan dalaman dan membuahkan hasil dengan munculnya perbezaan dan pertelagahan pendapat dalaman PAS. Ahli-ahli UMNO rileks sahaja memerhati perkembangan ini, tetapi ternyata tidak demikian dengan ahli-ahli PAS yang dilihat mula ‘bertegang urat’ sesama sendiri dengan tindakan pemimpin mereka itu.

Media pro-UMNO seterusnya membuat kejutan dengan menyiarkan tulisan penuh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk “Fahami Konsep Nasihat” yang dilihat banyak pihak sebagai tanda kesungguhan lamaran UMNO terhadap PAS.

Kita doakan semoga parti Islam tidak terus hanyut dalam permainan media ini sehingga terlupa isu utama bukanlah soal kerjasama antara parti politik, tetapi perjuangan untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah di muka bumi.

Tidak ragu bahawa menasihati dan memuhasabah pemerintah adalah wajib dilakukan oleh umat Islam dan parti Islam. Dosa terbesar pemerintah ialah apabila mereka tidak menerapkan hukum Allah SWT dalam pemerintahan negara sedangkan itu merupakan amanah yang Allah SWT letakkan di bahu mereka sebagai pemerintah.

Dari pemerintahan yang buruklah, wujudnya segala keburukan lain dalam negara serta kerosakan ke atas umat Islam. Pemerintahan merupakan tali utama kepada kebaikan dalam negara, tatkala tali ini terputus, maka terputuslah tali-tali kebaikan lain dengan mudahnya. Sabda Rasulullah SAW,

“Ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Setiap kali satu ikatan yang menjadi tempat bergantungnya manusia terlepas, akan diikuti dengan terlepasnya ikatan-ikatan yang lain. Dan ikatan pertama yang terlepas adalah pemerintahan, sedangkan ikatan terakhir (yang terlepas) adalah solat” [Musnad Ahmad No. 21139].

Justeru, nasihat terpenting kepada pemerintah ialah untuk mengikat semula pemerintahan Islam yang telah diburaikan oleh mereka selama ini. Selagi ikatan pemerintahan Islam tidak diikat semula, maka selagi itulah ikatan-ikatan kebaikan lainnya tidak akan terhasil.

Sesungguhnya pemerintahan Islam itu ialah Khilafah, bukan demokrasi. Pemerintahan Khilafah ini telah diburaikan oleh Mustafa Kamal dengan kerjasama British laknatullah pada 3 Mac 1924 dan sejak itu, ikatan Islam baik sistem ekonomi, sistem pergaulan, sistem uqubat, polisi pendidikan, polisi luar negara dan lain-lain telah terburai satu per satu dan dikekalkan pula oleh pemerintah yang ada sekarang.

Sejak runtuhnya sistem pemerintahan Islam (Khilafah), sistem pemerintahan di negeri kaum Muslimin telah digantikan dengan sistem demokrasi yang berasal dari Barat. Inilah (sistem demokrasi) yang menjadi ikatan pemerintahan yang mengikat umat Islam di banyak belahan dunia sekarang, termasuk Malaysia. Dari sinilah terhasilnya pelbagai keburukan ke atas umat Islam.

Justeru, sungguh aneh jika seseorang ingin menasihati kerajaan, tetapi mahu mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi, yang merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat yang penuh dengan keburukan dan kerosakan, yang sedang mengikat dan membelenggu kita sekarang. Sedangkan apa yang wajib dinasihati kepada kerajaan ialah membuang sistem kufur demokrasi ini dan menggantikannya dengan sistem Khilafah yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya.

Wallahu a’lam.