Sorotan 2020 – Implikasi COVID-19 terhadap perkhidmatan kesihatan dan tanggungjawab negara dalam menanganinya
Malaysia dilihat sebagai salah sebuah negara yang setakat ini mampu menangani penularan pandemik COVID-19, yang secara relatifnya baik berbanding negara-negara lain termasuklah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
Sungguhpun terdapat kelemahan, terutamanya akibat campur tangan kepentingan politik dan kelemahan kepimpinan rentetan perebutan kuasa antara elit-elit politik di negara ini, namun setidak-tidaknya sistem kesihatan di negara ini masih lagi mampu bertahan tatkala mendepani pandemik ini.
Namun, ketika awal-awal wabak dahulu kita mendapati pengurusan wabak seakan-akan tidak terkoordinasi, dengan pengumuman langkah pencegahan yang kelihatan dibuat secara terburu-buru sehingga ada yang ditarik balik.
Meskipun pendekatan “whole of government, whole of society” seringkali diuar-uarkan dalam memerangi COVID-19, namun ia hakikatnya tidak benar-benar direalisasikan. Ini lantaran kewujudan budaya bekerja dalam “silo” (berkerja secara berasingan mengikut skop masing-masing) antara kementerian-kementerian yang telah wujud sejak sekian lama.
Misalnya apabila kerajaan melaksanakan penangkapan dan penghantaran pulang “pendatang asing tanpa izin” yang dikesan sewaktu penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan atau aktiviti pengesanan kontak, hal ini sudah pasti membuatkan mereka melarikan diri apabila didekati oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan, dan sekali gus menyukarkan pengesanan kontak terutamanya apabila melibatkan golongan migran.
Apabila masing-masing bertindak mengikut skop dan agenda tersendiri, sudah tentu sukar untuk melaksanakan sebarang perubahan. Dalam masa yang sama, apabila sesuatu tindakan itu memberi kesan buruk atau mengundang kemarahan rakyat, masing-masing pihak cuba mengelak daripada dipertanggungjawabkan dengan menggunakan hujah ‘SOP dibuat mengikut nasihat KKM’.
Selain itu, keengganan untuk berkongsi data yang dikumpul antara satu agensi dengan yang lainnya, termasuk dengan jawatankuasa di peringkat negeri dan pihak akademia, menyukarkan kajian dibuat bagi memastikan langkah pencegahan dan pengawalan COVID-19 dapat dilaksanakan secara berkesan.
Keadaan diburukkan lagi dengan kepimpinan yang tidak kompeten, walaupun ada antara menteri yang dipilih itu merupakan teknokrat yang dikatakan mempunyai pengalaman dalam bidang terkait kementeriannya. Perkara ini tidak begitu menghairankan sekiranya kita sedar bahawa elit-elit politik sebenarnya lebih mengutamakan kekuasaan dan survival politik mereka berbanding benar-benar menjaga kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, penularan COVID-19 juga memberi cabaran buat perkhidmatan kesihatan negara apabila ia memburukkan lagi kelemahan-kelemahan yang sedia ada dalam perkhidmatan tersebut. Sistem perkhidmatan kesihatan di negara ini terbahagi kepada dua iaitu awam dan swasta yang masing-masing mempunyai model yang tersendiri. Perkhidmatan kesihatan kerajaan secara umumnya diberikan secara percuma (dengan bayaran nominal), manakala perkhidmatan swasta pula adalah bermotifkan keuntungan.
Namun dalam keadaan kemelesetan ekonomi, merupakan perkara biasa apabila berlaku trend penurunan penggunaan perkhidmatan kesihatan swasta, kerana ramai yang beralih kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan. Perkara ini sekali gus akan menyebabkan peningkatan beban tugas di pihak perkhidmatan kesihatan kerajaan dan kapasiti berlebihan (excess capacity) di pihak swasta. Tanpa penyelarasan yang berkesan, keadaan ini menyebabkan rakyat terpaksa menunggu lebih lama bagi mendapatkan rawatan serta mencetuskan ketaksamaan akses. Di samping itu, ketaksamaan akses juga semakin melebar khasnya apabila melibatkan golongan rentan.
Justeru, bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit, kita perlu melakukan reformasi terhadap perkhidmatan kesihatan di negara ini. COVID-19 bukanlah pandemik yang pertama, juga bukan yang terakhir. Bahkan tidak mustahil akan ada krisis kesihatan yang jauh lebih besar selepas ini. Maka, sewajarnya reformasi ini dilaksanakan secara sistemik agar negara lebih bersedia untuk mendepani ancaman-ancaman sebegini, di samping memastikan hak-hak semua pihak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik dapat dipenuhi.
Penyediaan perkhidmatan kesihatan perlu dikembalikan kepada objektif asalnya yang murni, dan tidak sewajarnya diperdagangkan sebagai ‘komoditi’ dari perspektif neo-liberal dalam sistem kapitalisme yang diamalkan hari ini. Pastinya usaha ini sukar, untuk dilakukan selagi sistem kapitalisme masih membelenggu kita.
Satu-satunya pilihan adalah dengan kita semua berazam dan berusaha dengan semampunya untuk menegakkan negara Khilafah, di mana apabila tegaknya Negara Islam ini, perkhidmatan kesihatan akan diberikan secara percuma oleh Khilafah kepada setiap individu rakyat, dan Khilafah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya terpelihara, kerana ia merupakan sebuah amanah pemerintahan dan tuntutan agama.
Wallahu a’lam.