Sorotan 2020: COVID-19 membongkar kerapuhan sistem ekonomi kapitalisme dan kepincangan solusinya

Di sepanjang tahun 2020, kita menyaksikan bagaimana COVID-19 membongkar kepincangan sistem ekonomi kapitalisme yang dominan di dunia pada hari ini. Ibarat mesin x-ray, pandemik ini turut memaparkan keretakan dan kerapuhan solusi-solusi kapitalis dalam menangani kemelesetan ekonomi ekoran wabak tersebut.

Kehodohan sistem rosak ini juga dapat dilihat dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dan miskin. Di saat kadar pengangguran meningkat serta golongan marhaen kehilangan sumber pendapatan akibat ‘lockdown’ dan sekatan perjalanan, para pemodal dan konglomerat besar dilaporkan semakin menambah kekayaan mereka di tengah-tengah pandemik.

Terdapat syarikat-syarikat tertentu yang mendapat ‘durian runtuh’ (windfall) daripada pandemik yang melanda. Malangnya, kekayaan tersebut ternyata tidak dinikmati oleh masyarakat secara umumnya, sepertimana teori ‘trickle-down economy’ yang dijunjung oleh sesetengah pemikir ekonomi kapitalis.

Teori ini juga digunakan oleh beberapa buah negara kapitalis, termasuk Amerika Syarikat (AS) tatkala memberikan insentif cukai terhadap syarikat-syarikat besar agar dapat terus bertahan dan memastikan agar golongan pekerja tidak kehilangan pekerjaan. Namun, realiti menunjukkan bahawa kadar pengangguran tetap meningkat akibat COVID-19.

Keadaan diburukkan lagi dengan kewujudan persekongkolan antara penguasa dan golongan pemodal dalam satu ‘fenomena’ yang dinamakan sebagai ‘crony capitalism’. Persekongkolan ini menyebabkan kekayaan tertumpu kepada kroni-kroni, menyebabkan bantuan kepada rakyat kebanyakan sedikit-sebanyak tersekat, sekali gus melebarkan lagi jurang antara yang kaya dan miskin.

Kroni-kroni ini jugalah yang sentiasa mencari peluang untuk memadatkan poket mereka daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi menjana ekonomi negara. Tidak cukup dengan itu, ketirisan, penyelewengan, dan rasuah yang berleluasa juga menyebabkan penyaluran perkhidmatan bagi menyantuni keperluan rakyat tergendala.

Manakala rakyat kebanyakan pula diberikan ‘gula-gula’ agar mereka terus dikelabui persepsi bahawa pemerintah masih prihatin terhadap nasib mereka. Ada pihak yang memuji pemerintah melambung-lambung dan menyuruh rakyat agar bersyukur atas sumbangan yang diberikan. Sedangkan ia sememangnya merupakan tanggungjawab pemerintah, bahkan hakikatnya rakyat berhak mendapat lebih daripada itu. Tidak cukup dengan itu, bahkan ada yang cuba memberikan kredit kepada pemerintah apabila ia membenarkan rakyat mengeluarkan sebahagian daripada wang simpanan mereka sendiri!

Dalam pada itu, COVID-19 juga membongkar eksploitasi majikan terhadap pekerja, terutamanya dalam kalangan migran, seperti yang disaksikan dalam laporan media mengenai keadaan penginapan pekerja yang serba daif dan sesak. Bahkan kelompok pekerja migran ini jugalah yang meninggikan angka positif Covid-19 beberapa bulan lalu, akibat keadaan tempat penginapan mereka yang sempit dan sesak sehingga meningkatkan penularan wabak dengan cepat.

Antara solusi-solusi pincang lain yang turut diketengahkan adalah dengan memberikan tempoh moratorium kepada peminjam daripada membayar hutang kepada bank. Perkara ini dilihat sebagai suatu yang melegakan bagi sesetengah pihak. Namun hakikatnya ia tidak menyelesaikan masalah, kerana puncanya yang sebenar, iaitu industri hutang ribawi yang menjadi antara ‘core business’ institusi-institusi kewangan masih lagi dibenarkan beroperasi secara berleluasa.

Terdapat juga usul daripada seorang pemimpin muda daripada parti pemerintah yang menggesa supaya negara mencetak lebih banyak wang bagi menggerakkan ekonomi. Usul sebegini dibuat berdasarkan pandangan yang singkat dalam kerangka ekonomi kapitalis, tanpa menyedari bahawa masalah bukan terletak kepada sedikit atau banyaknya wang yang beredar dalam pasaran. Sebaliknya akar permasalahannya terletak kepada jenis matawang (iaitu matawang fiat yang tidak mempunyai nilai intrinsik) dan sistem yang mengaturnya.

Demikianlah sekelumit kerosakan akibat penerapan sistem ekonomi kapitalisme. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi menangani kemelut yang berpunca daripada sistem yang rosak ini, termasuklah segelintir pihak yang cuba mengetengahkan solusi sosialisme yang telah pun terbukti gagal, namun semua usaha tersebut berakhir dengan kegagalan. Tidak kurang juga pihak yang cuba menampilkan penyelesaian dalam bentuk ekonomi campuran, namun mereka tidak sedar bahawa dengan mencampur-adukkan sistem ciptaan akal manusia yang gagal, pastinya akan menatijahkan kepincangan serta kegagalan juga di akhirnya.

Sedangkan Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) telah pun hadir dengan sebuah aturan kehidupan yang mampu menyelesaikan permasalahan yang melanda umat manusia melalui mekanisme-mekanisme yang telah didasarkan kepada wahyu. Namun, solusi-solusi ini tidak akan mampu memberikan penyelesaian tuntas seandainya diterapkan secara juz’i (sebahagian). Pelaksanaan secebis daripada ekonomi Islam dalam kerangka sistem kapitalis sedia ada bukan sahaja akan gagal menangani kemelut yang lahir daripada sistem yang rosak ini, bahkan boleh menyebabkan umat Islam terus lari daripada sistem ekonomi yang sebenar.

Jadi, satu-satunya solusi untuk umat Islam ialah menolak sistem ekonomi kapitalisme ini secara keseluruhannya, dan kembali kepada sistem ekonomi Islam secara keseluruhannya di bawah naungan negara Islam (Khilafah).

Wallahu a’lam.