Sistem Kapitalisme Memburukkan Penyebaran Covid-19

Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 12 April 2020, terdapat pertambahan sebayak 32 kes positif Covid-19 yang menjadikan kes positif kumulatif sebanyak 75 telah dikesan di Flat Selangor Mansion, Kuala Lumpur sahaja. Flat yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini dikatakan berisiko tinggi kerana setiap  unit yang berkeluasan sekitar 500 kaki persegi ini dihuni sekitar 20-30 orang yang kebanyakannya berasal dari Pakistan, Bangladesh dan India. Kebanyakan daripada mereka ini adalah pekerja di kedai-kedai sekitar Jalan Masjid India serta Jalan Tunku Abdul Rahman.

Bayangkan dengan ruang yang cukup terhad, namun dihuni oleh sehingga 30 orang, sebagai tempat berteduh dalam rangka mencari sesuap nasi. Keadaan sempit ini bukan sahaja mengundang ketidakselesaan, malahan memudahkan apa sahaja penyakit berjangkit untuk merebak. Ini bukanlah suatu yang pelik di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, kerana rata-rata penduduknya terpaksa berhadapan dengan keadaan sedemikian disebabkan kos hidup yang tinggi, yang memaksa pekerja-pekerja ini berjimat semaksimum mungkin.

Kehidupan sempit dan terhimpit ini sudah pasti tidak dapat dipisahkan daripada sistem yang mengatur kehidupan dalam sesebuah negara. Samalah seperti kewujudan setinggan di Kuala Lumpur, dan lain-lain tempat, yang tidak dapat dipisahkan daripada sistem yang diterapkan dalam negara.

Tatkala pandemik Covid-19 sedang marak, kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi ini sudah pasti berisiko tinggi, apatah lagi dalam keadaan tempat tersebut tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berwajib. Layanan tidak adil kepada bukan warganegara yang wujud dalam sebuah negara-bangsa turut berperanan memburukkan keadaan. Jadi tidak hairanlah jika kes positif Covid-19 ini boleh meningkat secara mendadak khususnya di kawasan seumpama ini, yang turut meningkatkan bilangan kes secara umum di Malaysia.

Sebelum ini mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kehidupan sempit dan berasak-asak yang sudah menjadi lumrah di kota-kota besar, khususnya bagi para pekerja yang bergaji rendah. Ini semua adalah manifestasi daripada sistem kapitalisme yang diterapkan dalam negara, dan wajah hodoh Kapitalisme ini semakin terserlah di kala pandemik Covid-19 menerobos segenap pelosok dunia.

Dalam Islam, setiap orang akan dijamin keperluan asas masing-masing berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal, dan Islam turut menjamin kesihatan, keselamatan dan pendidikan percuma kepada warganya. Siapa sahaja boleh menjadi warganegara Daulah Islam, tanpa mengira kaum atau asalnya, apabila ia memilih untuk berbuat demikian, apatah lagi bagi mereka yang beragama Islam, kerana setiap Muslim adalah bersaudara, dan setiap wilayah Islam itu berhak untuk menjadi tempat tinggal baginya.

Islam memandang keperluan tempat tinggal bukan sahaja sebagai tempat untuk berteduh dari panas dan hujan, tetapi ia merupakan hayatul khas (kehidupan khas) yang mampu memberi keselesaan dan ketenangan kepada penghuninya, walaupun bukanlah suatu kemewahan.

Sedangkan sistem kapitalisme tidak menjaga semua ini, kerana asas sistem kufur ini ialah manfaat. Kapitalisme melihat segala sesuatu daripada aspek keuntungan material semata-mata, dan ia tidak mengenal aspek ruhiyah atau kemanusiaan. Atas dasar itulah, ‘golongan bawahan’ dalam sistem kapitalisme sentiasa menjadi mangsa yang paling tragis, kerana keringat mereka dikerah semaksimum mungkin dengan upah yang seminimum mungkin.

Umat Islam akan selamanya berada dalam keburukan selagi mana sistem kapitalisme ini diterapkan ke atas mereka. Siapakah yang akan merubah sistem yang buruk ini jika bukan umat Islam itu sendiri? Ini kerana pemerintah dan para pemilik modal (kapitalis) yang menguasai politik dan ekonomi negara sudah pasti akan berusaha mengekalkan sistem kufur yang berpihak kepada mereka ini.

Ir. Yusuf M.