Malapetaka 100 Tahun Tanpa Khilafah (Siri 3 – akhir)
Malapetaka 6: Tanah yang penuh berkah terjajah dan ternoda
Masjid al-Aqsa dan tanah di sekelilingnya yang penuh berkah telah dijajah dan dicemari oleh rejim Yahudi lebih daripada tujuh dekad, setelah sebelumnya dirampas oleh kuasa kuffar Berikat sewaktu Perang Dunia Pertama. British kemudiannya menyerahkan tanah tersebut kepada puak Yahudi setelah memberikan jaminan akan wujudnya negara haram menempatkan orang-orang Yahudi melalui Deklarasi Balfour. Setelah kuasa dan pengaruh British menjadi lemah, Amerika Syarikat pula mengambil alih peranannya dalam memastikan kelestarian entiti haram Yahudi tersebut yang berdiri di atas tanah milik umat Islam. Sedikit demi sedikit, tanah Palestin diduduki Yahudi melalui cara haram menggunakan kekuatan tentera. Tidak cukup dengan itu, nyawa mereka yang tidak berdosa sering melayang dan warga Palestin sentiasa hidup dalam keadaan terancam akibat serangan-serangan brutal tentera Yahudi dari semasa ke semasa yang menjadikan bumi Palestin tidak pernah kering daripada darah umat Islam.
Pada Disember 2017, Presiden AS ketika itu, Donald Trump dengan penuh keangkuhan dan kebiadaban, telah mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu kota baharu entiti haram Yahudi. Dia dengan bangganya menyatakan bahawa dia telah melakar sejarah yang baik dalam menangani kemelut ‘Israel’-Palestin. Isu Palestin merupakan isu umat Islam yang tidak pernah selesai hingga ke hari ini, akibat pengkhianatan dan kebaculan para pemimpin umat Islam itu sendiri.
Di sisi lain, ketika ini beberapa buah negara negara Arab telah menjalin hubungan diplomatik dengan entiti Yahudi yang sekali gus memberi pengiktirafan akan kewujudan entiti haram tersebut, di bawah inisiatif ‘Deal of the Century’ yang mana Trump ialah brokernya. Ternyata, para pengkhianat umat Islam ini sudah tidak lagi ada perasaan malu untuk menyerlahkan pengkhianatan mereka secara terbuka berbanding hipokrasi dan sikap bermuka-muka yang ditunjukkan oleh mereka selama ini. Antara pengkhianat yang nyata ini termasuklah penguasa Arab Saudi sendiri, yang kononnya menjadi penjaga dua tempat suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah. Apa yang pasti, ‘khadam haramain’ ini sebenarnya merupakan ‘khadam’ yang tunduk kepada tuan-tuannya di Washington DC dan Tel Aviv!
Malapetaka 7: Umat Islam terasing dari Islam, bahkan ada yang memusuhi Islam
Sejak lebih seabad yang lalu Barat yang sangat memusuhi Islam telah memesongkan pemikiran umat Islam sedikit demi sedikit. Umat Islam yang selama ini berpegang teguh dengan akidah dan hukum syarak, lama-kelamaan berjaya dilemahkan akidah dan ketakwaan mereka hasil racun yang disuntik oleh Barat tanpa henti. Racun sekularisme, nasionalisme, patriotisme, pluralisme dan liberalisme dan bermacam isme lagi telah berjaya menembusi kalbu umat Islam sehingga cara berfikir umat Islam sudah tidak ubah seperti cara berfikir Barat.
Racun yang masuk ini begitu berbisa dan tidak mudah untuk dikeluarkan dari tubuh umat Islam, kerana ia telah sebati dan mendarah daging dalam tubuh umat yang mulia ini. Hasilnya, umat Islam bermusuh dan membenci sesama sendiri hanya kerana berbeza bangsa, berbeza negara, berbeza bahasa, berbeza warna kulit dan sebagainya. Umat Islam juga menjadi umat yang tidak mahu menerapkan hukum-hakam agamanya sendiri, dan sudah selesa dengan hukum buatan manusia.
Dalam masa yang sama, kuffar Barat tidak pernah berhenti meniupkan api permusuhan sesama Muslim agar umat ini berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan hidup tercerai-berai. Permusuhan sektarian antara Sunni-Syiah sebagai contoh, sentiasa dihembuskan oleh Barat agar apinya tidak akan padam, dan sentiasa marak membakar kesatuan umat. Begitu juga dengan pertikaian sempadan sesama negara kaum Muslimin yang sentiasa muncul dari semasa ke semasa. Manakala di bidang politik, kita menyaksikan permusuhan dan perseteruan yang tajam antara sesama Muslim dalam gelanggang demokrasi dan pilihan raya. Semua ini tidak boleh lepas daripada hilangnya Khilafah, institusi penjaga akidah dan hukum syarak, dan institusi pemersatu ummah.
Malapetaka 8: Islam, Al-Quran dan Rasulullah (saw) dihina
Kita juga tidak akan lupa dengan penghinaan dan pelecehan yang dilakukan Barat terhadap Islam, al-Quran dan juga junjungan mulia Rasulullah (saw). Kebiadaban puak kuffar Barat, baik secara individu mahupun negara, jelas menunjukkan kebencian mereka terhadap Islam, sebagaimana firman Allah (swt),
قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ
“Telah nyata kebencian dari mulut-mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 118]
Begitu banyak siri penghinaan terhadap kesucian Islam dilakukan oleh orang-orang kafir Barat yang membenci Islam. Umat Islam tidak akan lupa akan Terry Jones yang mengajak seluruh warga AS membakar al-Quran dalam mengingati Tragedi 9/11. Di Denmark, majalah Jyllands-Posten sengaja memprovokasi umat Islam dengan menerbitkan karikatur-karikatur bertujuan untuk menghina Nabi Muhammad (saw). Tindakan keji yang sama diikuti pula oleh Charlie Hebdo, dan pelbagai lagi penghinaan lainnya oleh pelbagai pihak di Barat.
Apa yang amat mendukacitakan umat Islam ialah setiap kali Islam, al-Quran dan Rasulullah (saw) dihina, tidak ada seorang pun para penguasa Muslim yang tampil mengambil tindakan tegas bagi mengajar kebiadaban si penghina tersebut. Apa yang mereka lakukan sekali sekala ialah berlakon menunjukkan kemarahan dan solidariti dengan berharap agar umat Islam berpuas hati atas ‘tindakan’ yang telah mereka ambil.
Apa yang pasti, penghinaan seperti ini tidak akan berani dilakukan oleh Barat sekiranya adanya Khilafah, kerana satu-satunya jawapan terhadap kebiadaban mereka ini ialah dengan jihad, yang akan dilancarkan oleh Khalifah ke negara mereka.
Khatimah
Demikianlah sekilas coretan potret buram yang menyelubungi hidup umat Islam setelah ketiadaan Khilafah. Begitu banyak malapetaka yang menimpa kita, sama ada kita sedar atau tidak. Sesungguhnya kehidupan sebegini bukanlah yang selayaknya bagi umat terbaik sepertimana yang dinyatakan Allah (swt). Demi Zat Yang Maha Kuasa, sesungguhnya 100 tahun hidup tanpa Khilafah ini sudah cukup untuk kita mengambil pengajaran betapa penting umat ini untuk hidup di bawah naungan Khilafah. Khilafah merupakan institusi politik penting umat Islam yang menjaga kita semua dan menjadi perisai kepada kita. Ia adalah institusi penerap syariah dan pemersatu ummah. Justeru, wahai kaum Muslimin, ayuh kembalikanlah Khilafah dengan segera. Hilangkan segala kekufuran dan kesengsaraan, hapuskan segala malapetaka dan penderitaan, ayuh kita hidup bahagia meraih redha Allah dan kemuliaan yang telah dijanjikan-Nya, dengan berusaha menegakkan Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua.
أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah