Malapetaka Tanpa Khilafah: Darah Umat Islam Ditumpahkan Tanpa Sebarang Pembelaan

JUMAAT 2 Mac – Bersempena dengan ulang tahun keruntuhan Khilafah Islam yang ke-94 pada tahun ini, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan demonstrasi di beberapa buah lokasi secara serentak di seluruh negara sejurus selepas selesai solat Jumaat. Demonstrasi-demonstrasi tersebut diadakan di Masjid Negara, Masjid Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam, Masjid Jamek Bandar Kajang, Masjid Al-Bukhari Senai, Masjid Daerah Manjung, Masjid Alhidayah Simpang Empat Perlis, Masjid Muhibbuddin Shah Ipoh dan Masjid Nur As-Syakirin Indah Jaya Sandakan.

Siri demonstrasi tersebut dianjurkan bagi mengingatkan umat Islam tentang malapetaka yang menimpa mereka setelah institusi agung Islam ini diruntuhkan secara rasminya pada 3 Mac 1924 (bersamaan 28 Rejab 1342H). Tarikh tersebut menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah Islam, sekaligus menandakan detik bermulanya siri penderitaan umat yang mulia ini setelah 13 abad hidup sejahtera di bawah naungan Khilafah Islamiyyah.

Dalam seruan yang disampaikan semasa demonstrasi tersebut, HTM telah menggariskan faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan Khilafah. Kemasukan pemikiran-pemikiran asing dan sentimen nasionalisme ke dalam umat ini merupakan antara faktor utama yang menyebabkan Islam tidak lagi diamalkan dan diterapkan secara kaffah dalam kehidupan.

Natijahnya, umat ini bukan sekadar hilang jati diri, bahkan sebahagiannya ditindas dan dibantai tanpa pembelaan setelah ketiadaan Khilafah sebagai perisai yang melindunginya. Pengeboman di Ghouta Timur, serta episod-episod hitam di Palestin, Iraq, Chechnya, Kashmir, Arakan, Turkestan Timur dan di lain-lain tempat di seluruh dunia merupakan bukti yang memilukan buat umat ini. Darah umat Islam berkali-kali ditumpahkan tanpa pembelaan dan nyawa mereka diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa kuffar dan ejen-ejennya dalam kalangan penguasa Muslimin yang berkuasa pada hari ini.

Justeru, HTM secara konsisten telah mengingatkan umat Islam bahawa penyelesaian tunggal bagi kemelut ini adalah dengan mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah yang akan menyatukan umat Islam di seluruh dunia dan melindunginya.

Maka, HTM menyeru agar umat Islam untuk bersama-sama bangkit mengembalikan semula Khilafah yang merupakan kewajipan yang telah sekian lama diabaikan. Sehubungan itu, HTM telah menganjurkan Seminar 3 Mac1924: Keruntuhan Khilafah, Runtuhnya Politik Islam di beberapa buah lokasi pada 3 dan 4 Mac yang lalu.