Sampai Bilakah Umat Islam di Uighur, China Dibiarkan Tanpa Pembelaan?

Kemboja rancang usir etnik Uighurs China

PHNOM PENH: Kemboja merancang mengusir 20 penduduk Islam etnik Uighurs yang melarikan diri dari China selepas keganasan maut etnik Julai lalu, kata seorang pegawai kerajaan semalam, walaupun bimbang mereka berdepan pendakwaan oleh Beijing.

Etnik Uighur, kumpulan etnik Turki beragama Islam terbabit dalam satu rusuhan di barat China mengorbankan hampir 200 orang Julai lalu, diseludup ke Kemboja sejak beberapa minggu lalu dan memohon suaka politik di pejabat agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini.

“Kerajaan Kemboja akan menggunakan peruntukan undang-undang imigresen. Mereka datang ke Kemboja secara haram, justeru kami menganggap mereka pendatang haram,” kata jurucakap Kementerian Luar, Koy Kuong.
Kumpulan hak asasi manusia berkat, mereka bimbangkan nyawa etnik Uighur yang terancam jika diusir kembali ke China.

“Kemboja akan menghantar penduduk Uighur untuk menerima nasib yang buruk, kemungkinan dihukum mati atau diseksa,” kata Amy Reger, seorang penyelidik di Persatuan Uighur Amerika berpusat di Washington.

Beliau memetik kes Shaheer Ali, seorang aktivis politik Uighur yang melarikan diri ke Nepal pada 2000 dan diberi status pelarian oleh PBB. Beliau dipaksa kembali ke China dari Nepal pada 2002 dan dihukum mati setahun kemudian menurut media tempatan.
Kumpulan Reger menerima laporan sekurang-kurangnya 20 daripada etnik Uighur terbabit dimasukkan dalam penerbangan ke Shanghai awal pagi semalam. Namun beliau berkata jelas mereka masih belum diusir.

Washington amat bimbang apabila etnik Uighur terbabit mungkin dipaksa dipulangkan, kata John Johnson, seorang jurucakap kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Sumber: Berita Harian 20/12/2009

Sampai Bilakah Umat Islam di Uighur, China Dibiarkan Tanpa Pembelaan?

Pengusiran dan pembunuhan terhadap kaum Muslimin bukanlah perkara yang asing lagi bagi kita pada masa sekarang. Nyawa mereka umpama sudah tiada nilainya. Lihatlah apa yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thailand, Chechnya dan sebagainya – semua merupakan bukti bahawa umat Islam sekarang merupakan umat yang cukup tertindas. Ini amat bertentangan dengan sifat “sebaik-baik umat”  yang Allah gambarkan di dalam Al Quran. Yang lebih menyedihkan, penindasan ini berlaku di depan mata para pemimpin kaum Muslimin sendiri tanpa sedikitpun pembelaan terhadap mereka. Sikap berdiam diri pemimpin umat Islam yang membiarkan mereka terus dibuli oleh kaum kuffar adalah bertentangan sama sekali dengan sabda Rasulullah mengenai cirri-ciri seorang pemimpin iaitu :

“Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR. Muslim]

Namun apa yang berlaku ialah pemimpin umat Islam sekarang ini membiarkan sahaja saudara seakidah mereka bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri dari penindasan yang dilakukan oleh kaum kuffar terhadap mereka. Tiada sedikitpun tindakan pembelaan yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam ke atas saudara mereka ini, malah mereka leka dengan enak duduk di takhta yang empuk serta dihidangkan dengan makanan yang lazat dan melakukan kemaksiatan demi kemaksiatan kepada Allah dengan harapan takhta itu berkekalan di tangan mereka. Jikalau dahulu, semasa adanya Khalifah, pemimpin umum bagi kaum Muslimin, darah, harta dan maruah mereka terjaga. Tetapi sekarang, semuanya telah sirna kerana kaum kuffar  tanpa rasa gerun sedikitpun terus melahap mereka umpama hidangan yang lazat.

Kesedihan yang berlaku ini telah digambarkan oleh Rasulullah sejak 13 abad yang lalu :

“Di perkirakan bahawa orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu hidangannya.” Seseorang berkata, “Apakah kerana jumlah kami sedikit di waktu itu (hingga orang-orang kafir boleh menyerbu)?” Beliau bersabda, “Bahkan jumlah kalian di saat itu ramai sekali, tetapi kalian seperti buih air bah (tidak berguna). Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuh kalian terhadap kalian serta memasukkan di dalam hati kalian (penyakit) wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah (penyakit) wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Apa yang berlaku terhadap umat Islam di China memerlukan pembelaan dari pemimpin umat Islam yang ikhlas dan benar-benar berpegang teguh dengan perintah dan larangan Allah. Ketakutan mereka terhadap azab Allah yang bakal diterima di akhirat nanti kerana pengkhianatan terhadap umat Islam adalah lebih mereka takuti berbanding dengan ketakutan mereka terhadap musuh-musuh Allah seperti China dan Amerika. Kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam ini haruslah dibalas dengan seruan jihad oleh Khalifah yang dengan ini akan mengembalikan kemuliaan ke atas seluruh umat Islam.