Umat Islam Uighur Terus Ditindas

Umat Islam berbangsa Uighur di China masih terus ditindas. Terbaru, pemerintah China melarang umat Islam di negara tersebut untuk melakukan ibadah di bulan puasa. Bahkan, mereka melarang warga Muslim untuk beribadah di masjid di samping mengganggu umat Muslim yang melakukan puasa di siang hari dengan diberikan buah-buahan dan minuman untuk dimakan ketika mereka sedang berpuasa. Malah ramai yang dipaksa untuk berbuka puasa mereka.

Di samping itu, pihak berkuasa mengawal ketat masjid-masjid, khususnya di Kota Karamay dan melarang sebarang bentuk kelas pengajian dan ibadah-ibadah lain. Situasi ini disahkan oleh USCIRF dalam laporan tahunannya. Berdasarkan laporan tersebut, ramai yang dipenjara kerana melakukan aktiviti ibadah. Pegawai kerajaan, pensyarah dan mahasiswa juga diberi amaran akan didenda jika mereka berpuasa.

Laporan lain yang dikeluarkan oleh Uighur American Association (UAA) pada April lalu memaparkan bahawa para pemilik restoran di daerah Hotan telah diugut untuk dikenakan denda jika mereka menutup restoran di siang hari di sepanjang bulan Ramadhan.

“Dilancarkan atas dasar menjaga kestabilan dan keamanan, pemerintah China melakukan penindasan yang terancang terhadap Muslim Uighur, termasuk pertemuan aman sesama individu untuk mempelajari agama dan beribadah,” ujar peneliti US Commission on International Religious Freedom (USCIRF), Dr Katrina Lantos Sweet, yang dipetik daripada South China Morning baru-baru ini (16/7/2013).

Masyarakat Uighur kerap kali ditindas oleh pemerintah China. Ia bukan hanya terjadi di bulan puasa. Pada bulan Jun tahun lalu, telah berlaku pertempuran antara pihak berkuasa dan kaum Muslim Uighur sehingga menyebabkan 35 orang mati di Xinjiang. Pada bulan April yang lalu, 21 orang pula telah terbunuh dalam peristiwa yang sama di Kashgar.

Peristiwa terburuk yang pernah terjadi adalah pada tahun 2009, apabila pihak berkuasa dan etnik Han bersama-sama bertempur dengan Muslim Uighur yang mengorbankan seramai 200 orang, sepertimana yang diberitakan oleh Turkish Weekly.

Demikianlah keadaan umat Islam di Uighur yang terus menerus ditindas melalui kediktatoran rejim China. Apa yang terjadi kepada Muslim Uighur tidak jauh bezanya dengan apa yang menimpa kaum Muslimin di Myanmar, Selatan Thai, Palestin dan negeri-negeri umat Islam yang lain. Mereka semua dihina dan ditindas tanpa sebarang pembelaan, baik oleh pemerintah mereka sendiri mahupun pemerintah negeri-negeri umat Islam yang lain. Para penguasa  Muslim hanya tahu mengutuk dengan lisan dalam forum-forum dan konferens-konferens, tanpa diiringi dengan sebarang tindakan fizikal yang dapat menghentikan perbuatan biadab yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Semoga dengan apa yang berlaku ini dapat membuka fikiran kita umat Islam agar segera bangkit dan menyahut seruan yang sedang bergema di seluruh dunia untuk mendirikan semula Daulah Khilafah Islamiyyah, yang mana dengannya tidak lama lagi akan membebaskan seluruh kaum Muslimin daripada cengkaman para penjajah, insyaallah.

Sumber: www.tempo.co