Obama Terus Cuba Memperbodohkan Dan Menyesatkan Umat Islam
WASHINGTON
27 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam membentangkan satu dasar penting dalam strategi beliau menjalin hubungan dengan dunia Islam, dengan menganjurkan satu sidang kemuncak untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara-negara Islam. Dalam langkah yang diharap oleh White House akan membantu mengangkat hubungan dengan dunia Islam melepasi dekad-dekad yang panjang melibatkan rundingan tentang keganasan dan konflik, Obama membawa usahawan dari 50 negara ke Washington selama dua hari untuk mejalin hubungan ekonomi.Obama dalam ucapan bersejarah beliau di Kaherah pada Jun tahun lalu, menyatakan tekad untuk menganjurkan pertemuan tersebut dan turut menyeru ke arah ‘permulaan baru’ dalam hubungan antara AS dengan dunia Islam. “Perubahan sebenar datang dari bawah ke atas dan kerana itulah kita berada di sini. Dengan mendengar masalah masing-masing kita telah berjaya menjadi rakan,” kata Obama ketika mengumumkan beberapa pertukaran baru melibatkan pendidikan dan perniagaan dengan negara-negara Islam. Beliau turut menyatakan bahawa dana Teknologi dan Inovasi Globas AS yang baru ‘berpotensi menggerakkan’ AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dalam pelaburan swasta. Obama juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kerana menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu di Ankara pada tahun depan.
Semasa merasmikan mesyuarat tersebut, Setiausaha Perdagangan, Gary Locke berkata, kemajuan perniagaan Islam bukan saja akan membantu dunia Islam tetapi juga keselamatan dan perdagangan AS. Kira-kira 250 usahawan dari pelbagai negara menghadiri sidang kemuncak itu, di mana imej AS tercalar dengan perang di Iraq dan Afghanistan, skandal penyeksaan di penjara Abu Ghraib dan kem tahanan di Teluk Guantanamo. – AFP
Sumber : Utusan Online, 28/04/10
Obama Terus Cuba Memperbodohkan Dan Menyesatkan Umat Islam.
Nampaknya musuh utama umat Islam, AS, terus melakukan usaha untuk memperbodohkan umat Islam melalui pendekatan yang dikenali sebagai “smart power” menggantikan pendekatan “hard power” yang dilakukan oleh George W Bush sebelum dari ini. Tetapi yakinlah, apa sahaja yang dilakukan oleh AS samada dengan ‘wajah’ lembut mahupun keras, tujuannya tetap sama – meneruskan penjajahan dan menyebarluaskan ideologi Kapitalisme ke seluruh dunia. Cuma kali ini nampaknya Obama cuba mengubah pendekatan dengan mengubah wajah AS yang sememangnya sudah terkenal dengan perangai dan watak hodohnya sebagai pengganas nombor 1 dunia, kepada sikap bermanis muka dengan umat Islam. Sebagai seorang Muslim, sewajarnya kita menyakini bahawa apa sahaja yang cuba dilakukan oleh Obama mahupun AS hari ini tidak akan dapat memadamkan keburukan dan kejahatan AS yang secara terang-terangan membunuh jutaan umat Islam di Iraq, Afghanistan dan di lain-lain negeri umat Islam.
Wahai umat Islam! Renungilah firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 118].
Firmannya lagi: “orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”. [TMQ Al Baqarah (2) : 120].
Yakinlah jika umat Islam menjadikan akidah Islam sebagai miqiyas (standard) ketika melakukan amal perbuatannya, maka selagi itulah Obama dan AS tidak akan dapat memperbodoh dan menyesatkan umat Islam. Hanya para pemimpin sekular dan boneka umat Islam yang ada pada hari ini sahajalah yang akan tunduk kepada tipudaya Obama dan AS.