Bolehkah Rakaman Video Dijadikan Bukti Kes Zina?

Persoalan :

Ustaz, bolehkah rakaman video dijadikan bukti dalam kes perzinaan menurut syariah Islam?

Jawapan :

Rakaman video tidak boleh dijadikan sebagai bukti dalam kes perzinaan. Dalam kes perzinaan, hanya terdapat 3 jenis pembuktian (al-bayyinat) yang diterima, dan tidak ada yang lain. Ketiga-tiga jenis pembuktian tersebut adalah :

Pertama, pengakuan (al-iqrar). Iaitu pengakuan daripada pelaku zina dengan pengakuan yang jelas (tanpa sebarang kesamaran), tanpa menarik balik pengakuan. Untuk kemantapan (tatsabbut) pengakuan, ia boleh dilakukan sebanyak empat kali.

Kedua, kesaksian (asy-syahadah). Iaitu kesaksian daripada 4 orang lelaki Muslim yang adil dan merdeka, yang menyaksikan perzinaan berlaku dengan jelas.

Ketiga, hamilnya seseorang wanita yang tidak bersuami, tanpa sebarang penafian daripadanya. (Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal. 17-19; Ahmad Ad-Da’ur, Ahkamul Bayyinat, hal. 19; Abdul Qadir ‘Audah, At-Tasyri’ al-Jina`i al-Islami, hal. 395-440).

Setelah dinyatakan tiga jenis pembuktian zina tersebut, Syeikh Abdurrahman al-Maliki menegaskan bahawa tidak ada lagi pembuktian yang lain untuk kes zina selain daripada yang tiga itu, contohnya kesaksian doktor bahawa seseorang perempuan itu sudah tidak perawan lagi dan sebagainya. (Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal.19).

Walaupun seseorang hakim mempunyai keyakinan seratus peratus bahawa seseorang perempuan itu telah berzina, dia tetap tidak boleh menjatuhkan hukuman jika tidak didukung oleh salah satu daripada tiga jenis pembuktian di atas.

Dalam masalah ini, terdapat hadis sahih yang menyatakan bahawa pernah suatu ketika Rasulullah SAW meyakini seorang perempuan telah berzina. Tetapi beliau tidak menjatuhkan hukuman disebabkan tiada bukti. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Jika sekiranya aku dibolehkan untuk merejam seseorang itu tanpa bukti, sudah pasti aku merejam si Fulanah itu, kerana dapat dilihat gelagat zina daripada cara percakapannya, gerak geri tubuhnya dan orang yang pernah menggaulinya.” (HR Ibnu Majah, no 2559) (Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut : Dar Ibn Hazm, hal. 1471, hadis sahih). (Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal.19; Ahmad Ad-Da’ur, Ahkamul Bayyinat, hal. 26).

Daripada penerangan di atas, maka adalah jelas bahawa rakaman video tidak boleh dijadikan bukti dalam kes perzinaan, meskipun video tersebut sudah dibuktikan dan disahkan keasliannya seratus peratus oleh pakar teknologi maklumat (IT). Ini adalah kerana secara syar’inya, pembuktian kes zina dengan cara ini adalah tidak sah kecuali dengan disokong oleh salah satu daripada tiga jenis bukti di atas.

Namun demikian, walaupun video bukanlah alat pembuktian dalam kes perzinaan, tetapi rakaman video tersebut  boleh dimanfaatkan sebagai usaha untuk  memperoleh pengakuan (al-iqrar) daripada si  tertuduh yang melakukan zina. Hal tersebut adalah dibolehkan selama mana cara yang digunakan untuk memperoleh pengakuan itu tidak dilakukan dengan paksaan (al-ikrah), baik secara paksaan fizikal (seperti pukulan) ataupun bukan fizikal (seperti ugutan). Ini adalah kerana syarat terpenting daripada pengakuan adalah ikhtiyar (tidak wujudnya paksaan). (M. Abdullah Al-Mas’ari, Huquq al-Muttaham fi Al-Islam, hal. 12).

Usaha untuk memperoleh pengakuan adalah dibolehkan berdasarkan kepada hadis daripada Anas RA, bahawa pernah seorang Yahudi memecahkan kepala seorang hamba perempuan dengan batu dan mengambil alat perhiasannya. Lalu hamba perempuan yang hampir mati itu dibawa kepada Nabi SAW. Nabi SAW pun bertanya, “Siapakah yang ingin membunuhmu? Adakah si fulan?” Perempuan itu memberi isyarat (jawapan) “tidak” dengan gerakan kepalanya. “Adakah si fulan?” tanya Nabi SAW, sehinggalah Nabi menyebut nama seorang Yahudi. Perempuan itu mengiyakan dengan isyarat gerakan kepalanya. Nabi SAW lalu meminta supaya dipanggil orang Yahudi tersebut dan dia pun mengakui perbuatannya. Nabi SAW kemudian memerintahkan supaya dipecahkan kepala Yahudi itu dengan dua batu. (HR Tirmidzi dari Anas RA). (Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut : Dar Ibn Hazm, hal. 1411, no 3031, hadis sahih).

Dalam hadis riwayat Bukhari terdapat redaksi, “Lalu orang Yahudi itu dibawa kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW terus menyoal Yahudi itu sehinggalah dia mengakui perbuatannya,” (fa-utiya bihi al-nabiyyu S.A.W. fa-lam yazal bihi hatta aqarra bihi). (M. Abdullah Mas’ari, Huquq al-Muttaham fi Al-Islam, hal. 18).

Berdasarkan hadis-hadis ini, Ibnu Hazm menganggap bahawa usaha untuk mendapatkan pengakuan daripada tertuduh adalah baik. Kata Ibnu Hazm,”Ini adalah baik, kerana tidak ada paksaan, juga tidak ada pukulan.” (Ibnu Hazm, Al-Muhalla, Juz VI, hal. 311, masalah no 2173).

Usaha inilah yang dikenali sebagai pemeriksaan balas (cross examination), iaitu dengan mengajukan bermacam-macam jenis soalan kepada tertuduh, oleh beberapa penyiasat secara serentak jika diperlukan, sehinggalah tertuduh mengaku secara sukarela disebabkan ia tidak dapat lagi mengelak  memandangkan setiap jawapan yang diberikan akan sentiasa diperiksa balas dengan jawapan yang lain yang diberikannya sebelum ini. Jika ia berbohong, akan jelas sekali nampak pertentangan dan tidak konsistennya. (M. Abdullah al-Mas’ari, Huquq al-Muttaham fi Al-Islam, hal. 18).

Oleh yang demikian, meskipun rakaman video bukanlah alat pembuktian dalam kes zina, namun ia boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pengakuan. Pakar teknologi maklumat, termasuk pakar-pakar bidang yang lain yang relevan dapat menggunakan video tersebut untuk melakukan pemeriksaan balas (cross examination) terhadap si tertuduh pelaku zina dalam video tersebut. Setiap jawapan penafian akan diuji dengan soalan balas, lalu dibandingkan dengan jawapan-jawapan yang lain, sehingga tidak ada satu ruang pun bagi tertuduh untuk melakukan pembohongan. Dengan demikian, diharapkan agar tertuduh akhirnya akan mengakui perbuatannya.

Kesimpulannya, rakaman video tidak boleh dijadikan sebagai bukti dalam kes perzinaan. Namun rakaman video itu boleh dimanfaatkan dalam usaha untuk mendapatkan pengakuan (al-iqrar) daripada tertuduh pelaku zina. Wallahu a’lam.

Muhammad Siddiq al-Jawi