Pertambahan Anak Zina, Bukti Masalah Sosial Semakin Kronik

Jumlah anak luar nikah di Selangor ”sangat besar” – Dr Hasan

SHAH ALAM 1 April – Masalah kewujudan anak tidak sah taraf di Selangor adalah ”sangat besar” dan jumlah sebenar tidak diketahui kerana ada kes kelahiran anak luar nikah ini tidak didaftarkan. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, berdasarkan statistik yang ada sehingga 2008, seramai 257,000 anak luar nikah didaftarkan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Abdul Rani Osman (Pas-Meru) mengenai jumlah anak luar nikah yang didaftarkan dari 2007 hingga 2010 pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini. Hassan berkata, bahagian penguatkuasaan seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pendaftaran anak tidak sah taraf kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, beliau berkata, JAIS tidak mempunyai jumlah penguat kuasa yang cukup untuk membanteras gejala maksiat yang menjurus kepada kelahiran anak luar nikah di negeri ini. – Bernama

Sumber : Utusan Online, 01/04/2011

Pertambahan Anak Zina, Bukti Masalah Sosial Semakin Kronik

Peningkatan jumlah anak tak sah taraf yang didaftarkan terus menunjukkan peningkatan saban tahun. Malah, jumlah ini pasti lebih menggemparkan jika diambil kira yang tidak didaftarkan mahupun yang didaftarkan sebagai anak yang sah taraf. Ini kerana, jumlah yang didaftarkan sahaja sudah cukup untuk memenuhi stadium nasional Bukit Jalil! Kes sebegini adalah natijah daripada pergaulan bebas (ikhtilat) yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Golongan muda mahupun yang sudah tua bebas bergaul tanpa batasan dalam masyarakat sekular hari ini. Ini tentu sekali mengundang kepada maksiat zina, rogol, sumbang mahram dan pelbagai lagi penyakit bawaan pergaulan bebas ini. Ideologi kapitalisme memandang mulia kebebasan bertingkah laku ini. Ia merupakan salah satu idea asasnya selain kebebasan bersuara dan kebebasan kepemilikan. Daripada kebebasan bertingkah laku inilah masyarakat bergaul tanpa batas, malahan sesetengahnya berperilaku lebih bebas dari binatang!

Lebih menyedihkan, statistik sebegini tidak diambil peduli oleh pemerintah yang berkuasa. Mereka lebih gemar mendengar statistik kenaikan KDNK ataupun peratus pertumbuhan ekonomi negara berbanding mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencegah wabak penyakit sosial dalam masyarakat yang semakin kronik ini. Anak- anak zina yang lahir ini adalah anak-anak yang lahir daripada penerapan sistem kapitalisme dalam masyarakat. Statistik sebegini tidak akan kita dengari sekiranya pemimpin umat Islam menerapkan sistem pergaulan Islam yang terasnya adalah pemisahan antara lelaki dan wanita. Dengan diterapkan sistem Islam ini dan sistem- sistem Islam yang lain, segala akar permasalah manusia akan dapat dicabut. Penerapan sistem Islam ini akan bertindak sebagai pencegah kepada perlakuan maksiat dan bukannya sekadar menghukum mana-mana individu yang melanggar hukum syarak. Malah kalau dilihat dari segi hukumannya sahaja, penerapan hukuman hudud ke atas penzina pasti akan melenyapkan statistik sebegini daripada terjadi. Firman Allah Subhanahu wa Taala: 

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” [TMQ An-Nur (24): 2]

Yakinlah, hanya dengan penerapan Islam yang syumul sahajalah manusia akan dilepaskan dari belenggu hawa nafsunya sendiri dan akan dapat hidup dengan penuh kesejahteraan. Bukankah ini yang kita inginkan?