Masalah Sosial = Buah Busuk Kapitalisme!!

KUALA LUMPUR 29 Mei – Masalah sosial generasi muda negara ini kini berada pada tahap amat membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia tujuh tahun telah terdedah dengan permainan video berunsur seksual.  Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Mariani Md. Nor berkata, pada usia tersebut kanak-kanak masih tidak mengerti mengenai nafsu berahi di dalam diri.   Katanya, namun apabila meningkat remaja ia akan menjadi tidak terkawal jika ibu bapa gagal memberi bimbingan sempurna kepada anak-anak.    Beliau berkata, kanak-kanak mungkin tidak memahami apa itu seks, tetapi mereka mudah meniru atau terikut-ikut dengan perilaku seksual yang ditonton menerusi komputer, televisyen dan sebagainya.  

“Nafsu seks merupakan satu keperluan asas tetapi jika tidak dikawal ia akan menjadi masalah sosial yang serius.  “Ini kerana pada usia remaja, tenaga libido semakin membuak-buak dan mereka akan mengambil peluang untuk mencubanya,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.   Menurut Mariani, remaja kini sudah semakin bijak dan pengetahuan golongan itu terhadap dunia siber serta permainan video cukup meluas.   Jelasnya, jika tidak diterapkan dengan pendidikan agama yang kukuh, anak-anak muda ini akan mudah terjebak dengan pelbagai masalah sosial.  

“Remaja yang baru akil baligh biasanya kurang bijak mengawal nafsu dan ia merupakan satu rangsangan yang berlaku secara spontan untuk dapat gambaran seperti lakonan-lakonan hubungan seks.   “Jadi, peluang bermain permainan video sama ada melalui Internet atau pun DVD (cakera padat digital) berunsur seks pasti akan dimanfaatkan anak-anak muda ini,” ujarnya.  

Beliau memberitahu, keadaan itu akan menjadi semakin tidak terkawal apabila mereka berkongsi pengalaman bersama kawan-kawan di sekolah.   Mariani berkata, apa yang menjadi kebimbangan kesan negatif daripada permainan video lucah itu ialah mendorong remaja terbabit melakukan jenayah seperti merogol atau sumbang mahram gara-gara gagal mengawal nafsu seks.   Selain itu, tambahnya, remaja juga boleh menjadi ketagih bermain permainan tersebut dan ia mendorong mereka ponteng sekolah.

Sumber : Utusan Malaysia, 30/05/09

Buah Busuk Kapitalisme!!!

Inilah buah dari pokok Kapitalisme yang ditanam oleh pemerintah selama ini. Hasilnya kita melihat masyarakat semakin rosak seawal usia remaja lagi. Pelbagai pihak yang berkaitan perlulah menyedari bahawa isu sosial remaja mahupun masalah-masalah yang lainnya adalah persoalan yang hakikatnya akan hanya dapat diselesaikan apabila setiap daripada persoalan itu dikembalikan kepada Islam . Setiap pihak samada individu, masyarakat mahupun  negara perlu kembali kepada Islam sebagai penyelesaiannya. Kita perlu menerima hakikat bahawa faktor penyumbang terbesar kepada permasalahan ini adalah sistem sosial yang tidak Islami yang dominan di dalam masyarakat hari ini.

Realiti saat ini adalah masyarakat tidak diatur dengan sistem sosial Islam. Percampuran di antara  lelaki dan wanita berlaku dengan sebebas-bebasnya. Ruang-ruang kemaksiatan terbuka dan dibuka dengan seluas-luasnya. Inilah bentuk kebebasan yang diagung-agungkan oleh Kapitalisme dan ianya telah menjadi satu perkara yang biasa di dalam masyarakat hari ini. Oleh kerana itu, bagi membetulkan kerosakan ini adalah menjadi keutamaan dan kewajiban untuk kita membetulkan dan memuhasabah negara serta mengingatkan dan mendesak pemerintah hari ini agar menerapkan Islam secara keseluruhan. Bilakah lagi pemimpin umat ini mahu kembali kepada Islam? Di tangan mereka inilah adanya kekuasaan untuk menerapkan Islam yang jaminannya adalah rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107]. 

Apakah kita sanggup terus menyaksikan buah-buah Kapitalisme yang busuk ini berguguran ke bumi?