Bagaimana Khilafah Diruntuhkan? (Siri 1)

Satu ketika dahulu, umat Islam pernah berada di puncak peradaban dengan pelbagai pencapaian dan sumbangan yang cukup besar kepada dunia. Demikianlah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa, hatta Barat sekali pun, bahawa semua pencapaian dan sumbangan tersebut terjadi ketika umat ini berada di bawah naungan Daulah Khilafah. Namun, setelah runtuhnya Khilafah Islamiyyah pada 1342H (1924M), akibat kerjasama British dengan ejennya Mustafa Kemal, akhirnya umat Islam terjerumus ke lembah kegelapan yang sehingga ke hari ini masih belum dapat keluar.

Peristiwa ini juga menyebabkan perubahan besar dalam kancah politik antarabangsa yang menyaksikan kaum Muslim tidak lagi memiliki pengaruh dalam mencorakkan arah politik dunia. Bahkan kita dapat melihat negeri mereka dijajah, kekayaan alam mereka dirampas, maruah mereka dihina, dan darah mereka ditumpahkan dengan sewenang-wenangnya di banyak belahan dunia, tanpa sebarang perlawanan dan pembelaan.

Di sisi lain, hukum Allah tidak dapat diterapkan secara menyeluruh di negeri-negeri mereka sendiri. Penerapan hanya berlaku dalam sebahagian kecil hukum seperti nikah-kahwin, pewarisan dan seumpamanya. Apa yang lebih menyedihkan adalah penerapan yang sedikit itu pun sering dicemari dengan pelbagai masalah dan terpaksa tunduk dengan dominasi sistem sekular yang ada.

Oleh sebab itu, amat penting bagi umat Islam hari ini untuk menyedari dan menyingkap bagaimana Daulah Khilafah yang cukup besar dan hebat itu berjaya diruntuhkan oleh kaum kafir penjajah. Ia bukanlah untuk dijadikan ilmu pengetahuan atau maklumat semata-mata, tetapi di sebalik kejatuhan itu, ada kewajipan untuk menegakkannya kembali. Ia juga seharusnya dijadikan iktibar agar tatkala Khilafah tegak semula sedikit masa lagi insya Allah, umat Islam tidak mengulangi kesilapan yang sama Secara ringkasnya, faktor keruntuhan Daulah Khilafah boleh dipecahkan kepada dua faktor utama, iaitu dalaman dan luaran.

Faktor Dalaman

1. Kemunduran taraf berfikir umat Islam

Kelestarian sesebuah negara dalam memacu peradaban adalah ditentukan oleh sejauh mana penguasanya berpegang teguh dengan mabda’ (ideologi) yang dianutinya dalam memastikan ia sentiasa dapat difahami dengan benar, diterapkan, dan diperjuangkan oleh warganya. Begitu juga dengan tinggi-rendahnya pencapaian yang dihasilkan oleh umat Islam, bergantung kepada kuat atau lemahnya penguasa (negara) dalam memegang teguh ideologi Islam yang merangkumi akidah dan syariat Islam, yang dengan kekuatan keduanya-lah (akidah dan syariat), umat Islam berjaya menakluki dan menjadi super power dunia.

Selama lebih 13 abad, Daulah Khilafah teguh berdiri atas asas al-Quran dan as-Sunnah, sehingga terbina sebuah mafahim (pemahaman), maqayis (tolok ukur) serta qana’at (keyakinan) yang tinggi oleh warganya terhadap ideologi Islam yang menjadi anutan dalam negara. Namun, super power Islam ini mula melemah apabila penguasa mula mengabaikan bahasa Arab yang menjadi kekuatan kepada akidah dan syariat Islam. Kuffar Barat pula berjaya menghidu kelemahan ini dan seterusnya berjaya mengambil kesempatan untuk terus memasukkan racun mereka ke tubuh umat dan ke tubuh Daulah. Pengabaian kepada bahasa Arab, yang disertai dengan masuknya tsaqafah asing (kufur) telah menjauhkan umat Islam dari berfikir Islami, yang seterusnya membawa kepada kemunduran berfikir umat. Hal ini semakin memburuk dan berlanjutan sehinggalah runtuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342 H.

2. Kemunculan organisasi dan gerakan yang merosakkan Khilafah dari dalam

Antara faktor lain Khilafah Islamiyah berhasil diruntuhkan adalah disebabkan wujudnya gerakan-gerakan yang didirikan untuk menghancurkan Khilafah dari dalam. Gerakan-gerakan ini bukan sahaja mencetuskan ketidakstabilan politik dan perpecahan, malah menyebarkan racun-racun pemikiran yang merosakkan ke dalam benak pemikiran kaum Muslim. Di antara gerakan yang tercatat di dalam buku-buku sejarah Islam dalam memainkan peranan menumbuhkan bibit-bibit perpecahan adalah gerakan Wahabi. Gerakan ini bukan sahaja menciptakan suasana tidak sihat dalam kalangan kaum Muslimin dengan mewujudkan sikap fanatik mazhab, malah penolakannya yang tajam terhadap pandangan lain yang berbeza dengannya perkara-perkara cabang agama, telah memburukkan lagi perpecahan dan kelemahan umat Islam.

Pengikut fahaman ini bukan sahaja memburuk-burukkan mazhab-mazhab lain, malah, dengan dukungan dari keluarga Saud yang menguasai sebahagian besar Hijaz pada waktu itu, mereka turut menggunakan kekuatan fizik ke atas pengikut aliran-aliran yang tidak sejalan dengan mazhab mereka. Akhirnya, dengan kerjasama dan sokongan British, Dinasti Saud dan gerakan Wahabi ini berhasil memisahkan wilayah Hijaz (yang meliputi dua tanah suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah) daripada Khilafah Uthmaniyyah, lalu didirikanlah sebuah negara yang berasaskan sebuah mazhab tertentu dan mereka mewujudkan pemerintahan monarki yang sebelum ini tidak pernah terjadi di Hijaz. Natijahnya, umat Islam kehilangan sebuah institusi yang mempersatukannya selama ini, dan umat Islam masih kekal berpecah sampai sekarang.

3. Menurunnya tingkat kesedaran politik umat, mentaliti pemimpin yang lemah dan pengkhianatan oleh sebahagian yang lain

Merosotnya taraf berfikir umat sekali gus menjadikan tingkat kesedaran politik mereka juga turut merosot. Hal ini bertambah buruk dengan melemahnya mentaliti penguasa Muslim dalam menjalankan pemerintahan, baik di bidang politik mahupun dalam penerapan syariat Islam. Akibatnya mereka tidak dapat membaca dan memahami suasana politik antarabangsa, kelicikan dan agenda musuh, sehingga umat Islam dan negara yang semakin lemah itu telah berjaya diperkotak-katikkan dan diperdaya oleh musuh-musuh Allah dengan cukup mudah.

Umat Islam dan para pemimpin mereka juga sudah tidak dapat membezakan di antara kawan dengan lawan ketika berhadapan dengan mereka. Keadaan semakin parah apabila penguasa tidak lagi dapat membaca dan memahami bahaya yang bakal timbul daripada sesebuah polisi dan tindakan yang mereka lakukan.

Dalam pada itu, munculnya semakin ramai pemimpin yang khianat yang bersekongkol dengan negara-negara kafir untuk menjatuhkan Daulah Khilafah. Pengkhianatan yang paling jelas ialah oleh Dinasti Saud yang bersekongkol dengan British untuk menguasai Hijaz dan memisahkan diri daripada Khilafah. Wali Mesir, Mohammad Ali pula bersekongkol dengan Perancis. Manakala pengkhianatan yang paling besar dalam sejarah Islam telah dilakukan oleh Mustafa Kemal yang bekerjasama dengan British untuk menjatuhkan Khilafah. Akhirnya pada 28 Rajab 1342 H, Khilafah secara rasminya diruntuhkan.

…bersambung

أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah