Bagaimana Khilafah Diruntuhkan? (Siri 2 – Akhir)
Faktor Luaran
Manakala faktor-faktor luaran yang menyebabkan keruntuhan Daulah Khilafah adalah seperti berikut:
1. Perang pemikiran dan peradaban yang dilancarkan oleh orang-orang kafir
Tentera Khilafah sudah terkenal dengan tentera yang tidak dapat dikalahkan. Ini kerana tentera Khilafah bukan sahaja kuat dari segi fizikal dan segala persenjataan, tetapi kerana kekuatan akidah yang dimiliki oleh mereka. Orang-orang kafir, khususnya kuasa-kuasa Barat menyedari bahawa mereka tidak akan dapat mengalahkan kaum Muslimin selagi kaum Muslimin masih berpegang teguh dengan akidah Islam dan syariatnya.
Puak kuffar sedar bahawa kekuatan kaum Muslimin selama ini adalah kerana keberadaan Daulah Khilafah yang terbukti bukan sahaja teguh mempertahankan sempada negara, tetapi sering melancarkan jihad ke mana sahaja. Daulah Khilafah menjadi perisai yang cukup kuat bagi kaum Muslimin daripada sebarang serangan dan ancaman. Oleh itu, negara-negara kafir terpaksa berfikir dengan mendalah bagaimana caranya untuk mengalahkan super power ini.
Setelah beratus tahun mengkaji dan berfikir keras bagaimana untuk menghancurkan Daulah Khilafah, mereka akhirnya menemui jalannya iaitu dengan menghancurkannya dari dalam. Puak kuffar mula sedar bahawa kekuatan Islam ada pada akidahnya, syariatnya dan persaudaraannya yang utuh. Atas dasar itu, puak kuffar berusaha menghancurkan semua ini, dari dalam. Mereka bermula dengan menanam benih ashabiyyah dalam tubuh umat. Perasaan dan semangat cintakan suku, bangsa dan tempat tinggal mula disuntik secara halus ke dalam tubuh umat Islam.
Fahaman-fahaman ini yang semuanya bertentangan dengan Islam, dan pernah merosakkan bangsa Arab sebelum kedatangan Islam, dimainkan secara licik dan perlahan-perlahan oleh puak kuffar ke atas umat Islam. Isu bangsa Arab dan Turki dimainkan ke atas umat Islam, sehingga mula memunculkan kebanggaan kepada bangsa masing-masing dan membenci bangsa yang lain. Akhirnya muncul pandangan umum dan perpecahan yang tajam dalam umat Islam bahawa Turki adalah untuk orang Turki dan Arab untuk orang Arab. Racun ini sangat melemahkan dan mematikan umat Islam dari dalam.
Di akhir-akhir usia Daulah Islam, idea kebebasan mula melanda umat Islam dan Barat telah mula menjadi sanjungan. Sedikit demi sedikit persaudaraan Islam terhapus, dan umat Islam mula menerima apa sahaja yang datangnya dari Barat yang dilihat lebih moden dan sesuai dengan zaman. Akhirnya idea nasionalisme dan patriotisme telah diterima oleh banyak pihak sehingga menyuburkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan wilayah-wilayah Islam.
Bagi memastikan rancangan mereka terus berjalan lancar dan berjaya, mereka mendirikan pusat-pusat pengajian khusus untuk menyebarluaskan idea-idea tersebut. Mereka merekrut pemuda-pemuda Muslim melalui lembaga-lembaga pendidikan yang mereka dirikan, yang telah memudahkan mereka memasukkan racun yang lebih banyak dan lebih efektif ke dalam pemikiran umat Islam. Seterusnya, generasi yang lahir dari lembaga pendidikan ini telah menjadi ejen mereka secara tidak langsung, yang menyebarkan pemikiran dan tsaqafah Barat ke tengah-tengah kaum Muslimin. Apa yang berlaku ini akhirnya telah memukul Daulah Khilafah dari dalam dengan cukup kuat, sehingga runtuhlah sebuah institusi yang berdiri dengan cukup teguh selama ini.
2. Usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh oleh negara-negara Imperialis khususnya British
Negara-negara kafir, khususnya British berusaha bersungguh-sungguh dengan memanfaatkan sekutu-sekutu berserta tali barutnya untuk melenyapkan institusi Khilafah. British secara sembunyi mahu pun terang-terangan telah mendalangi pemberontakan untuk melawan Daulah Khilafah. Perkara yang sama juga dilakukan oleh Perancis dan negara-negara imperialis lainnya. Akhirnya dengan kelemahan yang berlaku dari dalam, ditambah dengan negara kuffar yang semakin kuat, sedikit demi sedikit mereka berjaya menjajah dan menguasai wilayah-wilayah Khilafah.
Selain itu, mereka juga berjaya untuk terus menyemarakkan api permusuhan dan pemberontakan melawan Khilafah. Perkara ini dilakukan secara berterusan oleh British, Perancis dan sekutu-sekutu mereka sehingga Daulah Khilafah berjaya dikalahkan, dan satu demi satu wilayah umat Islam terlepas ke tangan musuh. Apabila wilayahnya sudah semakin kecil, maka Khilafah menjadi semakin lemah dan tidak mampu lagi untuk menjaga wilayahnya, yang mempermudahkan lagi serangan bertubi-tubi dilakukan oleh Barat ke atasnya.
Dalam masa yang sama, di pusat pemerintahan Khilafah pula, Mustafa Kamal, ejen British, sedang memainkan peranannya yang cukup baik dan penuh kelicikan hasil ajaran tuannya, dengan memimpin gerakan Turki Muda untuk menghabisi Daulah Khilafah dari dalam. Akhirnya, dengan segala bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh British, Mustafa Kemal berjaya menghancurkan Khilafah dan menghalau Khalifah Abdul Majid II, yang merupakan Khalifah terakhir kaum Muslimin, tanpa belas kasihan dan cukup menghinakan. Lalu, ejen British dan pengkhianat itu menggantikan Khilafah dengan sebuah republik Turki sekular.
Demikianlah sekilas gambaran bagaimana sebuah Daulah Islam, yang didirikan pertama kalinya oleh Nabi Muhammad (saw), yang kemudiannya berkembang dengan cukup besar dan kuat, yang telah menaungi dunia selama lebih 1300 tahun, akhirnya tumbang.
Musuh-musuh Allah ini bagaimana pun tidak berhenti setakat itu, setelah runtuhnya Daulah Khilafah, mereka masih bekerja siang dan malam untuk menjajah, memecah-belah, melemahkan dan menyesatkan kaum Muslimin dengan pelbagai cara. Antaranya adalah dengan melantik ejen-ejen mereka untuk menjadi penguasa boneka di keseluruhan negeri kaum Muslimin, dan memberikan sistem demokrasinya yang kufur untuk menjadi sistem pemerintahan yang “diimani” oleh kaum Muslimin. Sehingga kini, mereka berusaha keras dengan segala cara dan kekuatan yang ada bagi memastikan Daulah Khilafah tidak akan muncul kembali.
Namun, institusi penerap syariah, pemersatu ummah dan penyebar rahmah ini akan tetap kembali, kerana ia merupakan janji Allah dan Rasul-Nya, dan masanya sudah sangat hampir.
Wallahu a’lam.
أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah