Ibadah Haji – Sebuah Manifestasi Pengorbanan dan Kesatuan Umat Islam (Siri 1/2)

Dalam beberapa hari lagi, umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi menyambut Eid al-Adha dalam suasana pandemik COVID-19. Apa yang menyedihkan adalah buat kali keduanya, umat Islam yang ingin menunaikan ibadah haji tidak dapat merealisasikan niat mereka apabila pihak berkuasa Arab Saudi hanya membenarkan 60,000 orang jemaah dari dalam negara tersebut sahaja untuk menunaikan haji pada tahun ini. Semenjak dunia dilanda pandemik COVID-19, kita menyaksikan pelbagai bentuk ibadah berjemaah umat Islam telah terhenti dan yang lebih menyedihkan adalah ruh kaum Muslimin secara umumnya dalam melaksanakan ibadah-ibadah ini juga seolah-olah terhenti.

Atas alasan bimbang kepada jangkitan COVID-19, kita melihat sebilangan umat Islam sudah melalaikan solat Jumaat dengan pelbagai justifikasi. Meninggalkan solat Jumaat sudah mula menjadi perkara ‘normal’ dan kini ‘meninggalkan’ ibadah haji juga nampaknya sudah boleh dijustifikasi dengan ‘kebimbangan dijangkiti COVID-19’ dan boleh saja menjadi ‘normal’! Persoalannya, sampai bila? Adakah meninggalkan ibadah secara jemaah seperti solat berjemaah dan ibadah haji boleh memberi jaminan selesainya wabak COVID-19? Sekiranya COVID-19 terus kekal dalam kehidupan manusia, adakah bermakna kewajipan-kewajipan yang diperintah oleh Allah (swt) ini akan terus diabaikan?

Haji – manifestasi pengorbanan

Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima yang wajib ditunaikan sekiranya seseorang Muslim itu mampu melaksanakannya. Ketika Rasulullah (saw) masih hidup, kaum Muslimin sempat menjalani ibadah haji sebanyak dua kali. Kali yang pertama, dipimpin oleh Saidina Abu Bakar yang dilantik oleh Rasulullah selaku Amir Haji pada tahun kesembilan Hijrah, selepas perjanjian Hudaibiyah. Pada waktu itu, pengumuman telah dilakukan pada hari Qurban di Mina bahawa orang musyrik dilarang melaksanakan haji setelah tahun tersebut dan para jemaah dilarang bertelanjang semasa melakukan tawaf seperti yang telah menjadi amalan pada zaman jahiliah.

Haji kedua pada tahun kesepuluh Hijrah telah dipimpin oleh Rasulullah sendiri dan ini adalah haji terakhir bagi baginda dan dikenali sebagai Haji Wada’. Pada musim inilah Rasulullah menunjukkan kaifiyat atau cara-cara menunaikan haji mengikut syariat Muhammad (saw) yang berbeza dari haji jahiliah dan syariat Nabi dan Rasul terdahulu. Sabda baginda:

«خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ»

Ambillah dariku tata cara haji kalian (HR Muslim dan an-Nasa’i).

Sejak dari itu, setiap tahun, umat Islam dari seluruh dunia berbondong-bondong menunaikan kewajipan ini dan merupakan impian setiap Muslim untuk menyambut seruan dari Allah (swt) ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya. Sinonim dengan ibadah haji adalah ritual korban yang dijalankan bermula pada 10 Zulhijjah.

Bagi umat Islam, kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim (as) ketika menyembelih anaknya Nabi Ismail (as) adalah suatu bentuk pengorbanan, ketundukan dan lambang ketaatan yang cukup tinggi dalam menjunjung titah perintah Allah (swt). Ketaatan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim (as) terhadap perintah Allah (swt) ini telah dirakam oleh Allah (swt) di dalam Al-Quran dengan firman-Nya:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ – فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ – فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ – فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ – وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ – قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ – إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ – وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ – وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ – سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ – كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami berinya khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur baligh) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: ” Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia: “Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (iaitu)”Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim”. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” [Ash Saffaat (37): 100-111].

Begitulah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim (as) dalam mematuhi perintah Allah (swt), Dzat yang menciptakan dirinya. Momentum kisah pengorbanan Nabi Ibrahim (as) dan Nabi Ismail (as) ini seharusnya memotivasikan umat Islam untuk menjadi umat yang terbaik serta tunduk kepada segala perintah Allah (swt). Oleh itu, wajarlah untuk melontarkan persoalan kepada diri kita sama ada kita benar-benar memiliki sifat pengorbanan yang sama seperti pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim (as) dan Nabi Ismail (as).

Sebagai umat Nabi Muhammad (saw), kita perlulah mengkaji dan mengikuti jejak kehidupan junjungan besar Rasulullah (saw). Dengan kajian yang serius, kita pasti akan dapat melihat bahawa perjalanan hidup Rasulullah (saw) itu sebenarnya penuh dengan pengorbanan baik diri mahupun harta benda. Berbekalkan perintah dari Allah (swt) agar menjadikan Rasulullah (saw) sebagai suri teladan kita, maka kita perlulah menyedari bahawa di dalam diari kehidupan ini perlu ada “pengorbanan” bagi melayakkan kita merangkul redha-Nya.

Lantaran itu, untuk memastikan Islam mendominasi dan mengatasi cara hidup yang lain di dunia ini, umat Islam perlulah bersedia untuk berkorban demi Deen yang haq ini. Adakah umat Islam hari ini sanggup mengorbankan segala-galanya demi memperjuangkan agama mereka habis-habisan?

Sejarah kehidupan Rasulullah (saw) dan para sahabat generasi awal telah menunjukkan kepada kita bagaimana pengorbanan mereka telah berjaya mengangkat Islam sebagai sebuah cara hidup yang telah menguasai dunia lebih 13 abad lamanya. Oleh itu, sebagai umat yang dinobat Allah (swt) sebagai umat yang terbaik, kaum Muslimin hari ini perlulah memiliki pemikiran dan perasaan para pejuang yang sanggup berkorban seperti yang telah ditunjukkan oleh generasi yang terdahulu.

Ibadah haji pada hakikatnya memanifestasikan kesanggupan kaum Muslimin untuk berkorban. Tidak ada seorang pun yang mempertikaikan manasik yang diwajibkan oleh Allah di dalam ibadah haji ini, walau bagaimana sukar sekalipun. Alangkah redha dan bersungguh-sungguhnya umat Islam dalam menunaikan kewajipan haji – tanyalah sesiapa sahaja yang pernah menunaikan haji, sudah pasti mereka merasa kemuliaan yang Allah (swt) kurniakan di dalam segenap kesukaran yang dilalui.

Dalam menegakkan segenap perintah dan menjauhi segala larangan Allah (swt), hakikatnya, umat Islam juga harus berkorban. Begitu mulia pengorbanan mereka yang berkorban meninggalkan riba, walau bagaimana sukar sekalipun, walau terpaksa menyewa rumah dan memiliki kereta buruk. Betapa mulianya mereka apabila meninggalkan riba semata-mata kerana ingin meraih redha Allah (swt).

Alangkah mulianya umat Islam apabila mereka bersungguh-sungguh berdakwah di jalan Allah untuk menegakkan Deen ini, walau bagaimana sukar sekalipun, walau terpaksa berkorban wang ringgit, masa, status sosial, kedudukan, pekerjaan, menghadapi celaan orang yang suka mencela, terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan pelbagai ujian lain lagi.

Alangkah mulianya jika umat Islam redha sepenuhnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan penerapan Islam secara kaffah, tanpa memperhitungkan apa pun halangan dan rintangan yang mendatang. Alangkah mulianya jika umat Islam tidak pernah memberi apa-apa alasan di dalam menunaikan segala kewajipan yang Allah telah tetapkan!

Hakikatnya, pengorbanan yang ditempuh oleh kaum Muslimin tatkala menunaikan ibadah haji, tanpa sedikit pun memberi alasan kepada Allah akan kepayahan yang dihadapi, merupakan sebuah pengajaran – bahawa kehidupan kita sebagai seorang Muslim dipenuhi dengan pengorbanan.

Ibadah haji seharusnya mengajar kita untuk bersedia menghadapi segala penentangan dan kesusahan dalam menerapkan hukum Allah di muka bumi ini. Apakah dengan pengajaran ini, kita masih sanggup memberi alasan kepada Allah akan kewajipan menegakkan agama-Nya secara kaffah dan berdakwah untuk mencapai objektif ini? Atau apakah kita akan terus memandang remeh terhadap perlaksanaan hukum Allah, membiarkan sistem riba berleluasa serta menutup mata terhadap hukum kufur yang diterapkan dan konsep negara bangsa yang diperjuangkan?

Ibadah haji ini seharusnya mengingatkan umat Islam kepada pengorbanan yang wajib dilakukan dalam menegur serta memuhasabah para pemimpin yang tidak menerapkan Islam dan dalam mempersatukan negeri-negeri umat Islam bagi menegakkan Deen Allah secara kaffah! Malah, pengorbanan ini adalah terlalu kecil berbanding apa yang sanggup dilakukan oleh Nabi Ibrahim terhadap anaknya, Ismail!

Bersambung..