Menangani stress menurut Islam (Siri 4/4)

Stress juga boleh diakibatkan oleh pemerintah, yakni disebabkan oleh kezaliman mereka melalui undang-undang dan polisi yang mereka terapkan yang menyengsarakan rakyat, seperti mana yang kita lihat sekarang. Malah ia boleh sampai ke tahap stress yang paling serius. Kita sedang menyaksikan keadaan rakyat Malaysia yang stress dan kelihatannya ia semakin memburuk sehingga ramai yang dilaporkan telah membunuh diri akibat tekanan yang dihadapi di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pemerintah. Walaupun penyelesaiannya memang rumit dan memakan masa kerana melibatkan pemerintah, namun penyelesaiannya tetaplah ada. Apa yang penting ialah, di samping kita berusaha untuk menyelesaikan masalah, kita berjaya mengatasi stress dan hati kita tetap tenang menghadapinya. Langkah-langkah yang perlu diambil di sini boleh dikembalikan kepada dua hal yang utama:-

(i) Memuhasabah pemerintah – Pemerintah ini wajib dimuhasabah setiap kali mereka melakukan kemungkaran atau kezaliman. Setiap Muslim wajib melakukan amar makruf nahi mungkar, apatah lagi kepada pemerintah. Ini kerana kemungkaran yang paling besar datangnya daripada pemerintah, dan daripada kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah inilah yang telah menimbulkan banyak lagi kemungkaran lainnya serta azab kepada masyarakat dan negara.

Pemerintah yang tidak menerapkan hukum Allah (swt) merupakan pemerintah yang zalim dan fasik. Hasil dari penerapan hukum selain Islam-lah yang menyebabkan negara tidak dapat keluar daripada masalah, sebaliknya apa yang datang kepada kita secara bertimpa-timpa ialah bala. Rakyat hidup dalam kesusahan dan penderitaan kerana pemerintah dan sistem kufur yang mereka terapkan, dan di sinilah punca kepada stress yang dialami oleh rakyat. Maka, setiap Muslim berkewajipan untuk memuhasabah pemerintah agar kita semua dapat terhindar daripada bala dan dosa. Sabda Rasulullah (saw):

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

“Siapa sahaja yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya.  Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya, dan yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim dan Ahmad].

Melakukan amar makruf nahi mungkar sangat penting sebagai jalan keluar dari musibah yang menimpa kita semua. Sabda Rasulullah (saw):

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يُعَذِّبُ الْعَامَّةَ بِعَمَلِ الْخَاصَّةِ حَتَّى يَرَوْا الْمُنْكَرَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِمْ وَهُمْ قَادِرُونَ عَلَى أَنْ يُنْكِرُوهُ فَلَا يُنْكِرُوهُ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَذَّبَ اللَّهُ الْخَاصَّةَ وَالْعَامَّةَ

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan mengazab masyarakat secara umum kerana perbuatan orang-orang tertentu, kecuali jika mereka (masyarakat) melihat kemungkaran di tengah-tengah mereka, sementara mereka mampu mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Jika mereka melakukan demikian (tidak mencegah kemungkaran), Allah mengazab orang-orang tertentu itu dan masyarakat secara umumnya” [HR Ahmad]

Apa lagi kemungkaran terbesar dalam negara dan di tengah-tengah masyarakat jika bukan kemungkaran pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah (swt)? Apa yang lebih kita takuti ialah, jika kita tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, sedangkan kita mampu melakukannya, maka tatkala Allah (swt) menurunkan azab-Nya, kemudian kita berdoa kepada-Nya agar Dia mengangkat azab dari kita, Dia tidak memperkenannya, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

“Demi Dzat Yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, sungguh kalian hendaklah melakukan amar makruf nahi mungkar, atau Allah pasti akan menimpakan seksa, kemudian kalian berdoa kepada Allah, dan doa itu tidak dikabulkan untuk kalian” [HR Tirmizi].

Selain kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar demi mengelak azab Allah (swt) ke atas kita semua, ganjaran bagi Muslim yang memuhasabah pemerintah sangatlah besar, seperti mana disebutkan oleh Rasulullah (saw):

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

“Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa jahat” [HR Abu Daud dan Ibnu Majah].

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بن عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ، فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ

“Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, kemudian ia memerintahkannya (untuk melakukan kebaikan) dan mencegahnya (dari melakukan kemungkaran), lalu dia dibunuh (oleh pemerintah itu)” [HR al-Hakim].

Atas dasar itu, kita tidak boleh berdiam diri atau menganggap remeh akan kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar, kerana kesannya yang sangat besar kepada kita, masyarakat dan negara. Dengan ganjaran yang telah disebutkan oleh Rasulullah (saw), maka sudah pasti aktiviti ini akan memberikan motivasi dan ketenangan kepada kita walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh para Sahabat sehingga mereka tetap tenang menghadapi kafir Quraisy yang zalim, kerana mereka mengetahui ganjaran yang menanti mereka jauh lebih besar berbanding sedikit kesusahan yang mereka hadapi.

(ii) Berusaha menegakkan syariah dan Khilafah – Dalam keadaan hukum Allah (swt) dicampakkan oleh pemerintah, maka menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk berusaha menegakkan syariat Allah (swt) secara kaffah. Kewajipan untuk menegakkan hukum Allah (swt) ini merupakan perkara yang sudah ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah.

Apa yang penting untuk difahami ialah hukum Allah (swt) tidak mungkin diterapkan secara kaffah kecuali adanya sebuah Negara Islam yang menerapkannya, dan satu-satunya Negara Islam ialah Khilafah, tidak ada yang lain lagi. Negara ini telah pun runtuh pada tahun 1924 dan sehingga kini masih belum berjaya ditegakkan semula oleh umat Islam.

Kewajipan untuk menegakkan Negara Islam (Khilafah) ini amat jelas berdasarkan nas-nas Al-Quran, As-Sunnah dan juga Ijma’ as-Sahabat. Malah kesemua Imam Mazhab dan ulama muktabar mengakui akan kewajipannya, bahkan sebahagian besar mereka menyifatkan bahawa menegakkan Khilafah merupakan ahammu al-wajibat (kewajipan yang paling utama). Dengan penerapan Islam secara kaffah di bawah Khilafah-lah, merupakan satu-satunya jalan keluar daripada kesemua masalah yang melanda umat Islam.

Penutup

Sebelum mengakhiri penulisan ini, sangat penting untuk kita semua sedar dan faham apakah tujuan hidup kita. Kesedaran dan kefahaman akan tujuan hidup kita akan dapat mengeluarkan kita daripada stress insya Allah. Ini kerana, orang yang stress biasanya ialah orang yang tidak tahu apakah tujuan hidup mereka, atau tidak jelas apakah yang mereka cari dalam hidup ini.  Orang yang tidak tahu tujuan hidupnya akan mudah kecewa dan putus asa apabila mengalami stress. Dia akan menganggap hidupnya sia-sia dan sudah tidak ada guna lagi untuk meneruskan hidup. Dengan itu ia akan mengambil keputusan secara terburu-buru tanpa ada apa-apa pertimbangan. Manakala orang yang tujuan hidupnya hanya ingin mencari manfaat duniawi pula, juga akan cepat mengalami stress apabila ia tidak mendapat apa yang ia kejar.

Sedangkan apabila tujuan atau matlamat hidup kita semata-semata kerana Allah (swt), kita akan memahami bahawa stress itu hanyalah satu bentuk ujian daripada-Nya yang mana kita akan menerimanya dengan redha, dan menghadapinya dengan tenang. Apabila kita sedar bahawa tujuan hidup kita di dunia adalah untuk meraih redha Allah (swt), untuk mematuhi perintah dan larangan-Nya, dan kita sedar dari mana asal kita dan ke mana kita akan pergi selepas mati, maka insya Allah kita pasti akan dapat menghadapi stress dengan sewajarnya. Ini kerana, mata dan hati kita sentiasa memandang jauh ke akhirat (syurga), yang membolehkan kita mengharungi kehidupan di dunia ini dengan tenang.

Wallahu a’lam.