SN 571 – Kerajaan Melayu-Islam Semakin Meluaskan Pintu Maksiat
SN571
24 September 2021 M / 16 Safar 1443 H
Di saat angka jangkitan Covid-19 masih tinggi, dengan hampir setiap hari terdapat kematian, dan di saat setiap minggu khutbah Jumaat memanjatkan doa kepada Allah (swt) agar mengangkat wabak ini dari Malaysia, di saat itulah kerajaan Melayu-Islam, yang merupakan kesinambungan daripada kerajaan tebuk atap yang lepas, telah meluluskan peningkatan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali untuk sepanjang tahun ini. Hal ini disahkan oleh Menteri Kewangan yang beragama Islam, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat pada 20/09/2021. Cabutan tersebut tidak termasuk cabutan biasa yang diadakan beberapa kali setiap minggu. Sebelumnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menurunkan kekerapan cabutan khas kepada lapan kali setahun.
Hal ini bukanlah suatu yang mengejutkan, walaupun terdapat parti Islam dalam pemerintahan yang dahulunya begitu lantang menyuarakan penghapusan judi dalam negara. Parti Islam ini bukanlah tidak mengetahui bahawa UMNO sememangnya sebuah parti sekular yang tidak pernah mempedulikan halal-haram dalam pemerintahan mereka sejak lebih 60 tahun lalu, namun malangnya mereka tetap memilih untuk menjadi sebahagian daripada pemerintahan dan sanggup bersekongkol serta bersetuju dengan segala kemaksiatan yang dilakukan oleh UMNO. Tindakan menaikkan kadar cabutan khas ini tidak menghairankan sedikit pun kerana ia hanyalah penerusan kepada sebuah pemerintahan sekular yang dipimpin oleh UMNO dengan enam dekad track record yang sudah sedia maklum. Jika hukum Allah (swt) yang begitu banyak dalam Al-Quran boleh dicampakkan begitu sahaja oleh UMNO, apa sangatlah dengan satu hukum judi!
Keharaman Judi
Keharaman judi termasuk dalam hal al-ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak ada alasan untuk tidak mengetahuinya). Keharamannya adalah qath’iy dan sangat tegas, sebagaimana firman Allah (swt) di dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib (dengan panah) adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh keuntungan” [TMQ al-Ma’idah (5): 90].
Perintah dalam ayat ini dengan qarinah (indikasi) yang bersifat jazim (tegas) boleh dilihat antara lain – Pertama: Allah (swt) menggunakan taukid (kata penegas) “إِنَّمَا” (sesungguhnya); Kedua: Judi disebut sebagai “رِجْسٌ” (najis); Ketiga: Judi termasuk “عَمَلِ الشَّيْطَانِ” (perbuatan syaitan); Keempat: Terdapat perintah untuk menjauhinya; Kelima: Terdapat harapan keberuntungan bagi mereka yang menjauhinya. Nah, begitulah betapa tegasnya ayat yang mengharamkan judi, yang boleh difahami dengan mudah oleh setiap orang yang berakal.
Apakah dengan perintah Allah (swt) setegas ini, tidak ada seorang pun cerdik pandai dalam parti pemerintah yang memahami dan mengerti akannya? Apakah tidak ada seorang pun yang berkopiah dan berserban dalam parti pemerintah yang mengerti dan takut akannya? Atau mereka seperti biasa akan terus memberi alasan demi alasan demi mengikuti hawa nafsu manusia dan mengelak daripada melaksanakan hukum Allah (swt)? Firman-Nya:
“Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5): 48].
Janganlah memberi alasan bahawa nombor ramalan tersebut hanya dibenarkan ke atas non-Muslim sahaja. Sesungguhnya keharaman judi bukanlah terkena ke atas orang-orang Islam sahaja, melainkan untuk seluruh manusia. Sama sebagaimana keharaman zina, riba, mencuri, membunuh, merompak dan lain-lain, yang merupakan hukum Islam yang wajib diterapkan oleh pemerintah dalam negara, dan mengikat seluruh warganegara tanpa mengira Muslim mahupun non-Muslim. Allah (swt) berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” [TMQ an-Nisa (4): 105].
Perintah untuk berhukum dengan hukum Allah (swt) adalah untuk seluruh manusia, sebagaimana ditegaskan oleh Allah (swt) dalam ayat di atas, dan banyak lagi ayat lainnya. Rasulullah (saw) pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, yang menunjukkan bahawa orang-orang kafir (zimmi) yang tinggal dalam Negara Islam wajib terikat dengan hukum Islam. Sabda baginda (saw):
“Sesungguhnya siapa sahaja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya” [HR Ibn Abi Syaibah].
Sungguh berani kerajaan Melayu-Islam ini menerapkan hukum yang diharamkan oleh Allah (swt) secara qath’iy. Apa pun alasan yang akan diberikan mereka dalam kes ini, sesungguhnya alasan ini tidak ada nilai sebesar zarah pun di sisi Allah (swt). Kekuasaan ada di tangan mereka yang mana mereka boleh melakukan apa sahaja dengannya sama ada untuk mematuhi perintah Allah (swt), atau untuk mengingkarinya. Pilihan ada di tangan mereka, dan mereka akan bertanggungjawab serta dihisab sepenuhnya dengan pilihan tersebut.
Kerajaan Yang Mengundang Bala
Saban hari kita memohon perlindungan kepada Allah (swt) daripada syaitan yang direjam. Malah, ini merupakan perintah Allah (swt) kepada kita, sebagaimana firman-Nya:
”Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam” [TMQ an-Nahl (16): 98].
Pemerintah juga mungkin melakukan hal yang sama, yakni memohon perlindungan kepada Allah (swt) daripada syaitan. Namun realitinya, dalam kehidupan seharian mereka, mereka mengundang syaitan kepada mereka, dan mereka suka melihat perbuatan syaitan. Dengan membiarkan kilang arak dan judi terus beroperasi, malah dengan meningkatkan lagi cabutan nombor ramalan, semua ini menggalakkan lagi perbuatan syaitan. Tatkala mereka menadah tangan bermunajat kepada Allah (swt) agar menjauhkan syaitan daripada mereka, dalam masa yang sama tangan itulah yang mereka lambai-lambaikan kepada syaitan agar datang kepada mereka.
Sudah bertimpa-timpa bala yang menimpa negara ini, yang nampaknya tidak diambil pengajaran sedikit pun oleh pemerintah. Mereka tidak pernah mahu mengakui kejahatan dan kemaksiatan yang mereka lakukan dan bertaubat daripadanya, malah kelihatan berbangga dengannya. Tidak pernah terdetik di hati mereka untuk bertanya diri sendiri sebagai bentuk muhasabah, “Apakah dosa yang telah aku lakukan sehingga bala tidak pernah putus menimpa negara yang aku pimpin ini?”. Mereka seolah-olah tidak pernah membaca hadis:
“Jika zina dan riba berleluasa di suatu negeri, maka sungguh mereka telah menghalalkan atas mereka azab Allah” [HR al-Hakim, al-Baihaqi dan at-Thabrani].
Mereka juga seolah-olah tidak pernah membaca ayat al-Quran:
“Telah zahir kerosakan di daratan dan di lautan kerana tangan-tangan (kemaksiatan) manusia, supaya Allah menimpakan kepada mereka sebahagian akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30): 41].
Mereka tidak mahu mengambil pelajaran dan bertaubat bahawa tangan-tangan merekalah yang telah “menghalalkan” riba dan membuka segala pintu zina, pintu arak, pintu judi, pintu kelab malam dan pelbagai pintu kemaksiatan lainnya. Tangan merekalah yang telah mencampakkan hukum Allah (swt) dan tangan merekalah yang telah mencengkam umat Islam dengan hukum penjajah dan pelbagai kezaliman yang mereka lakukan. Tangan merekalah yang sebenarnya telah mengundang bala dan murka Allah (swt).
Manakala ulama-ulama mereka pula tidak pernah menegur sebarang keharaman dan kemungkaran yang mereka lakukan. Ulama ini berdiam diri, malah membenarkan pemerintahan mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah (swt). Ulama ini menjadi syaitan bisu dengan kewujudan kilang arak dan pusat judi terbesar yang ada di Malaysia sejak sekian lama, walaupun telah terbukti berapa banyak kematian dan malapetaka menimpa masyarakat kerananya. Apakah para ulama salathin (ulama pendamping penguasa) ini menganggap kemungkaran terbaru yang dilakukan pemerintah dengan menaikkan cabutan nombor ekor ini hal yang kecil dan “sah-sah” sahaja, sehingga mereka akan terus berdiam diri dengannya?
Judi Dan Demokrasi
Sesungguhnya tindakan kerajaan menaikkan kadar cabutan khas nombor ramalan ini tidak dapat dipisahkan daripada sistem demokrasi. Demokrasi sebagai sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat membenarkan judi, arak, riba dan pelbagai perkara yang diharamkan oleh Islam. Demokrasi tidak tertakluk kepada mana-mana agama, kerana segala “hukum” dalam demokrasi adalah ditentukan oleh manusia, tepatnya oleh ahli parlimen, sebagai law maker (pembuat hukum). Halal-haram berada di tangan manusia, bukan di tangan Tuhan manusia. Arak, judi dan lain-lain adalah halal apabila diluluskan oleh manusia, dan kelulusan tersebut berada sepenuhnya di tangan pemerintah yang juga adalah pembuat hukum.
Kedudukan Allah (swt) sebagai Musyarri’ (Pembuat Hukum) tidak ada nilainya di sisi demokrasi. Hak Allah (swt) sebagai Musyarri’ telah diambil oleh ahli parlimen, dan hukum Allah mana pun tidak boleh diluluskan tanpa izin dari ahli parlimen. Apa sahaja yang Allah (swt) halalkan atau haramkan, tidak sah dan tidak ada nilai di sisi demokrasi, kerana status halal dan haram itu bergantung sepenuhnya kepada ahli parlimen. Atas dasar itu, judi yang diharamkan oleh Allah (swt), adalah halal di sisi demokrasi kerana ahli parlimen telah menetapkannya sebagai halal.
Sesungguhnya parti Islam mana pun yang berjuang untuk menghapuskan judi, atau arak dan sebagainya, selama mana perjuangan mereka adalah dalam sistem demokrasi, maka ia hanyalah sebuah mimpi dan angan-angan, walaupun niatnya baik. Ini kerana keharaman yang lebih besar daripada semua itu yang sepatutnya dihapuskan terlebih dahulu ialah sistem demokrasi itu sendiri. Daripada rahim demokrasilah lahirnya segala jenis kemaksiatan yang ada dalam negara pada hari ini.
Selagi demokrasi tidak terhapus, selagi itulah kesemua ‘anak haram’nya tidak akan dapat dihapuskan, malah ia akan terus melahirkan lebih ramai ‘anak haram’ dengan pelbagai bentuk dan rupa. Realiti di depan mata sekarang ialah apabila parti Islam berjaya berkuasa dalam demokrasi, mereka bukan sahaja gagal menghapuskan segala keharaman yang mereka dahulu perjuangkan, sebaliknya mereka bergelumang dengannya dan mereka pula yang mempertahankannya habis-habisan.
Umat Islam perlu sedar bahawa demokrasi itu lahir daripada ideologi kapitalisme, dan asasnya ialah manfaat, tanpa pertimbangan halal-haram. Akidah yang melahirkan ideologi kapitalisme ialah sekularisme, sebuah akidah yang memisahkan agama daripada kehidupan. Sejak awal kelahirannya lagi, demokrasi dijadikan alat oleh para kapitalis untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan dan habuan dunia. Dalam kapitalisme, siapa yang memiliki kekayaan, maka ia akan memiliki kekuasaan dan begitulah sebaliknya, siapa yang memiliki kekuasaan, maka ia akan memiliki kekayaan. Maka, siapa pun yang berkuasa dalam sistem demokrasi, ia hanyalah pihak yang akan merealisasikan realiti sebenar pemerintahan demokrasi sebagai peranakan kapitalisme, yakni dari kapitalis, oleh kapitalis, untuk kapitalis!
Khatimah
Wahai pemerintah yang mengaku mengikuti ajaran Ahlu Sunnah Wal Jamaah! Nas al-Quran dan al-Hadis manakah yang kalian gunakan untuk membenarkan judi, arak, riba dan lain-lain keharaman dilaksanakan dalam negara ini? Pendapat ulama Ahlu Sunnah manakah yang kalian pakai bagi membenarkan tindakan kalian? Sungguh besar kemaksiatan yang kalian lakukan kepada Allah (swt), sebagaimana besarnya kemaksiatan golongan agamawan yang mendukung pemerintahan kalian! Kami menyeru dan mengingatkan kalian untuk menutup rapat kesemua pintu maksiat agar pintu azab juga akan tertutup buat kalian. Apakah kalian tidak mahu mendengar?