Bagaimana memilih pemimpin – Pemimpin yang menyerukan Islam (Siri 5)
Di dalam kempen-kempen sempena PRU 15 yang kita dengar, adakah kedengaran calon-calon bertanding berkempen ke arah seruan kepada Islam? Mengajak umat untuk menegakkan Islam atau mengajak golongan bukan Islam supaya memeluk agama Islam? Jika tiada, ini amat menyedihkan kerana sejak beberapa tahun lepas, BBC telah melaporkan bahawa agama Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di seluruh dunia. Jadi, tidakkah kita sendiri terfikir untuk mengajak jiran tetangga, rakan sekerja dan manusia sekeliling yang belum Islam kepada Islam? Jika kita sudah merasai nikmat Islam, jika kita sudah mengetahui kebenaran Islam, dan jika kita mengetahui hanya Islam sahaja agama yang akan memberikan keselamatan di hari akhirat nanti, sudah pasti akan terdetik di dalam jiwa untuk mengajak mereka pada Islam.
Namun, semakin cepat Islam berkembang, semakin cepat pula propaganda yang memburukkan Islam disebarkan. Walaupun menjadi agama kedua terbesar di dunia, Islam masih lagi dianggap asing di banyak tempat. Tidak kurang yang masih melihat Islam dari kaca mata propaganda yang dilakukan oleh media. Malah di beberapa negara seperti India, China dan Eropah secara umumnya, propaganda memburukkan Islam ini telah dilakukan pada peringkat nasional oleh pemerintah. Jadi ini menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam adalah sangat berat.
Tentangan terhadap Islam yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan pada peringkat nasional perlu dijawab dengan kekuatan yang setara. Malangnya hari ini, negara umat Islam dan para pemimpin politik umat Islam tidak menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk melawan propaganda buruk ini. Walaupun ada segelintir yang berani bersuara, ia hanya sekadar retorik dan masih terikat dengan aturan dan acuan barat. Malah lebih menyedihkan apabila kita lihat banyak negara umat Islam yang memilih untuk menolak atau berkecuali daripada membahaskan tentang kekejaman kerajaan China yang diterajui oleh Parti Komunis China (CCP) terhadap umat Islam etnik Uyghur di Xinjiang dalam sebuah undian di PBB baru-baru ini. Walhal, semua sudah maklum akan kejahatan yang dilakukan oleh Parti Komunis yang melakukan propaganda dan juga serangan fizikal berskala nasional terhadap umat Islam tersebut.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita memiliki pemimpin yang akan membela dan seterusnya menyerukan dakwah Islam di peringkat antarabangsa. Kenapa ini penting? Ini dapat dibuktikan dari dua sudut. Pertama, sudut sejarah; rekod sejarah sendiri menunjukkan berbondong-bondong manusia akan menerima ajaran Islam apabila Islam telah mendapat kekuatan politiknya sendiri dan juga apabila kekuatan Islam mampu mengalahkan kekuatan musuh yang memburukkan Islam. Kedua; daripada sudut logik. Mengikut logik, kebanyakan orang cenderung untuk mengikuti apa yang dipegang oleh pemerintah pada peringkat nasional.
Bagaimana kita ingin mengetahui seseorang pemimpin atau kerajaan itu serius dengan seruan dakwah Islam? Caranya adalah dengan melihat bagaimana dia / mereka menguruskan serta memperuntukkan dana untuk seruan dakwah. Kita sedia maklum, jumlah peruntukan dana atau bajet merupakan aras tanda sejauhmana keseriusan sesebuah kerajaan terhadap sesuatu isu. Jika kerajaan memperuntukkan bajet / dana yang besar untuk pendidikan, maka ini bermakna kerajaan itu sangat serius untuk menyelesaikan masalah pendidikan. Jika sesebuah kerajaan mengurangkan atau meletakkan bajet yang sangat rendah untuk pertahanan, maka itu bermakna kerajaan itu tidak serius dengan isu keselamatan. Maka begitu jugalah, sesebuah kerajaan itu hanya dianggap serius dengan dakwah jika dana yang berkaitan dengan dakwah Islam disediakan dengan sewajarnya.
Aktiviti dakwah boleh jadi bersifat langsung dan boleh jadi juga bersifat tidak langsung. Aktiviti dakwah yang bersifat langsung sebagai contoh adalah aktiviti yang berkaitan dengan hubungan antara negara di peringkat antarabangsa, penubuhan media untuk menjawab propaganda yang dilontarkan oleh negara lain dan juga penerangan dan pendidikan yang dilakukan di peringkat negara untuk menerangkan dan mengajarkan pada warga negara non-Muslim mengenai ajaran Islam. Manakala aktiviti dakwah yang bersifat tidak langsung pula merangkumi penerapan ajaran Islam itu sendiri. Ajaran Islam telah terbukti dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh dunia hari ini. Orang bukan Islam pasti akan tertarik dengan Islam setelah melihat keindahan syariatnya yang melalui perlaksanaannya, mampu menyelesaikan masalah ekonomi, politik, sosial, kemanusiaan dan permasalahan lainnya.
Di samping itu, kekuatan ketenteraan, kemajuan sains dan teknologi dan pencapaian terhebat dalam segala bidang juga boleh memberikan umat Islam kuasa rundingan ketika berhadapan dengan kuasa luar yang secara jelas menjalankan dasar anti Islam. Sebagai contoh, negara yang bergantung pada barangan mentah atau barangan import dari negara kita sudah pasti akan tunduk dan sanggup untuk berkompromi dengan negara Islam dan ini akan memberi peluang untuk negara menjalankan seruan dakwah ke atas rakyat negara tersebut. Visi seperti inilah yang sepatutnya dimiliki oleh para pemimpin politik umat Islam supaya ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas.
Jadi, bersempena dengan Pilihan Raya Umum ke-15 ini, kami ingin menyeru bahawa pemimpin yang wajar dipilih adalah mereka yang akan membela dan mempertahankan Islam dari propaganda buruk musuh pada peringkat nasional dan antarabangsa dan seterusnya menyerukan dakwah Islam secara bersubgguh-sungguh. Calon pemimpin yang dipilih juga hendaklah calon pemimpin yang melihat Islam itu sebagai sebuah sistem kehidupan dan bukan menganggap Islam itu sekadar ritual agama semata-mata.