Menangani Pandangan Dan Penyelesaian Yang Keliru Terhadap Masalah Hubungan Lelaki Wanita
Penulis: Farisha Aris
Lelaki dan wanita memiliki daya tarikan semula jadi. Fitrahnya, lelaki akan tertarik dengan wanita dan wanita juga tertarik kepada lelaki. Namun, masalah mula timbul apabila hubungan lelaki dan wanita tidak diurus sesuai dengan kehendak syarak akibat gagal memahami sistem pergaulan lelaki dan wanita (an-nizhâm al-ijtimâ‘î). Apabila kita membahas an-nizhâm al-ijtimâ‘î (sistem pergaulan lelaki dan perempuan), ada dua kelompok yang mengetengahkan idea yang berbahaya kerana kedua-dua idea ini telah menyebabkan umat Islam menjadi jumud dan melampui batas. Siapakah dua kelompok ini? Kelompok pertama merupakan kelompok tafrith (melampaui batas) kerana kelompok ini menganggap lelaki dan wanita berhak berdua-duan (berkhalwat). Kelompok pertama ini juga memberikan kebebasan kepada wanita untuk memakai apa-apa sahaja yang mereka suka ketika melangkah keluar daripada rumah walaupun tidak menutup aurat. Kelompok kedua pula merupakan kelompok ifrath (terlampau ketat) sehingga menganggap wanita langsung tidak berhak untuk bekerja di luar rumah atau bertemu dengan lelaki sama sekali kerana seluruh tubuh badannya adalah aurat termasuk wajah dan telapak tangannya. Akibatnya, timbul keretakan dalam interaksi sosial, kegelisahan, keluhan, kemarahan, perselisihan dalam masyarakat Islam kerana banyak aktiviti yang dibenarkan Islam ke atas wanita tetapi ‘diharamkan’ oleh kelompok kedua ini.
Boleh disimpulkan bahawa kedua-dua kelompok ini menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada kehidupan hari ini termasuklah kepada institusi keluarga. Maka, pelbagai usaha dilakukan untuk membina keluarga yang utuh dan bahagia. Terdapat usaha menulis buku, membuat pindaan undang-undang kehakiman dan pilihan raya atau peraturan yang memisahkan pelajar lelaki dan perempuan di sekolah dan bermacam-macam lagi. Namun, jalan penyelesaian yang dicari masih menemui jalan buntu. Sehingga hari ini kita masih menyaksikan pelbagai konflik yang wujud dalam kehidupan umat Islam seperti zina, pembuangan bayi, nasab, pengabaian penafkahan, penceraian, dan lain-lain lagi.
Hakikatnya, kedua-dua kelompok ini bukanlah gambaran kepada Islam. Islam adalah agama yang mengatur seluruh kehidupan manusia dan mampu menyelesaikan segala masalah yang timbul di tengah-tengah masyarakat. Persoalan yang timbul kini adalah apakah yang menyebabkan idea kedua-dua kelompok ini terus diterima di tengah-tengah kehidupan umat Islam hari ini? Mengapakah interaksi lelaki dan perempuan ini tidak diurus menggunakan al-Quran dan Sunnah yang pastinya mampu menyelesaikan seluruh konflik yang sedang wujud hari ini?
Adakah kita sedar bahawa disebalik semua ini adanya campur tangan daripada Barat? Barat telah melancarkan serangan ke atas umat Islam melalui peradaban Barat dengan mengawal cara berfikir dan cara bertindak umat Islam. Ya, Barat telah berjaya membentuk cara berfikir sekular (pemisahan agama daripada kehidupan) ke atas umat Islam. Mereka dengan jelas mahu menjauhkan umat Islam daripada Quran dan Sunnah, malah sejak lebih 10 dekad yang lalu Barat konsisten membentuk umat Islam agar fokus mencari kesenangan hidup dan mengutamakan keuntungan bersifat material. Serangan Barat yang dahsyat ini telah mempengaruhi semua aspek kehidupan umat Islam termasuk aspek pergaulan lelaki dan wanita.
Semua ini terjadi kerana ketika awal munculnya peradaban Barat di negeri-negeri kaum Muslim, umat Islam sangat teruja akan kecanggihan produk-produk fizikal (madaniyah) ciptaan Barat sehingga umat Islam mengagumi peradaban (hadharah) Barat. Akhirnya, umat Islam bertaklid sepenuhnya kepada Barat tanpa membezakan antara peradaban (hadharah) Barat dan produk-produk fizikalnya (madaniyah). Barat terus bersemangat mempropagandakan peradabannya ke seluruh dunia terutamanya di bumi umat Islam. Propaganda Barat ini telah diterima baik oleh sebahagian umat Islam ketika itu. Dari tahun ke tahun normalisasi peradaban Barat ini terus menyelinap masuk dan berakar dalam kehidupan umat Islam. Pada waktu itu, umat Islam juga tidak memahami bahawa peradaban Barat (al-hadharah al-gharbiyyah) bertentangan dengan asas peradaban Islam (al-hadharah al- Islamiyyah) . Barat terus mempromosikan idea kebebasan terutamanya kepada golongan wanita Islam seperti ikhtilat, tabarruj dan jawatan dalam pemerintahan negara. Mereka menyatakan bahawa semua itu adalah sebuah kemajuan dan bukti kebangkitan. Barat juga berpendapat bahawa hubungan antara lelaki dan wanita hanya sebatas hubungan yang bersifat seksual semata-mata (jinsiyah).
Terang lagi bersuluh, Barat tidak menetapkan apa-apa pun peraturan terkait hubungan lelaki dan wanita. Berbeza dengan masyarakat Islam yang mempunyai aturannya yang sempurna sehingga sesiapa yang melanggar peraturan, maka akan ada hukuman terhadap pelakunya, malah boleh membawa kepada hukuman yang berat sekiranya kesalahan yang dilakukannya juga berat dan berdosa besar. Ini bertujuan untuk memelihara kehormatan wanita. Ini merupakan prinsip yang sangat penting dalam Islam sehinggakan wajib mengorbankan harta mahupun jiwa demi membela kehormatan wanita.
Oleh yang demikian, untuk mengembalikan an-nizhâm al-ijtimâ‘î (peraturan hidup lelaki dan perempuan) yang berasaskan aqidah Islam, lelaki mahupun wanita mestilah terikat dengan tatacara kehidupan Islam berasaskan Quran dan Sunnah. Yang pastinya, Islam ialah agama yang terbaik dalam mengatur umat, menyelesaikan segala permasalahan umat dan tiada yang lebih sempurna daripada Islam kerana hanya Islam agama yang Allah reda di sisi-Nya.