Hina al-Quran: HTM Anjur Demonstrasi Aman Dan Serah Memorandum Bantahan di Kedutaan Sweden dan Belanda

KUALA LUMPUR 27 Januari 2023 –  Susulan dua insiden berasingan melibatkan tindakan biadab penghinaan ke atas naskhah al-Quran, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan demonstrasi aman dan penyerahan memorandum bantahan ke Kedutaan Sweden dan Belanda.

Pada pagi Jumaat, 27 Januari, sekitar 80 orang telah berhimpun di hadapan Kedutaan Sweden bagi membantah tindakan biadab pembakaran Al-Quran oleh Rasmus Paludan di kedutaan Turkiye di negara tersebut baru-baru ini.

Demonstrasi bermula dengan perarakan sekitar 100 meter menuju tempat berhimpun yang ditetapkan oleh pihak PDRM. Di sepanjang demonstrasi tersebut, Ustaz Umar Hussein menyatakan bantahan ke atas tindakan biadab yang dilakukan oleh ahli politik Sweden itu yang mendapat kebenaran oleh pihak berkuasa negara tersebut. Para demonstran turut melaungkan yel-yel dan membawa sepanduk bagi menyatakan bantahan atas kebiadapan tersebut.

Delegasi HTM kemudiannya telah menyerahkan memorandum bantahan tersebut yang mengandungi bantahan dan pendirian HTM berhubung isu ini kepada Robert Lejon yang mewakili pihak kedutaan Sweden.

Demonstrasi aman diteruskan lagi pada sebelah petang dengan melibatkan kira-kira 100 orang demonstran. Para demonstran berarak dari Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak menuju ke Kedutaan Belanda sejurus selepas selesai solat Jumaat. Umat Islam yang menunaikan solat di masjid tersebut diseru untuk turut serta bagi menyatakan bantahan ke atas tindakan biadab Edwin Wagensveld yang mengoyak dan memijak Al-Quran. Delegasi HTM kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kedutaan, Eva Oskam.

Demonstrasi ini berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini dengan kerjasama baik daripada PDRM dalam memastikan keamanan dan lalu lintas di kedua-dua kawasan tersebut.

Di samping membantah tindakan biadab penghinaan ke atas al-Quran, HTM turut membidas prinsip kebebasan bersuara junjungan Barat yang membenarkan terjadinya insiden keji tersebut. Dalam pada itu, HTM turut menekankan peri pentingnya usaha untuk mengembalikan semula Khilafah yang akan bertindak tegas dalam membela kemuliaan al-Quran dan melindungi umat Islam daripada terus dihina sedemikian rupa.