Menu Rahmah vs Menu Rakyat 1 Malaysia

Program Menu Rahmah merupakan satu kempen di mana hidangan makanan disediakan dengan harga RM5 yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat khususnya dari golongan B40.  la dilihat sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup rakyat yang semakin meruncing.  Sebenarnya, insiatif seperti itu bukanlah suatu yang baru tetapi telah dilaksanakan pada tahun 2011 oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang ketika itu memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK).  Program yang dikatakan telah banyak membantu rakyat itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu.

Perbezaannya, program Menu Rakyat 1 Malaysia itu menyediakan sarapan pagi dengan harga RM2 dan makan tengah hari pada harga serendah RM4 manakala Menu Rahmah diberikan untuk makan tengahari dan malam. Bagi menarik para peniaga untuk bersama-sama menyediakan Menu Rahmah, mereka disediakan dengan insentif pengurangan cukai.  Menu Rahmah juga boleh dianggap sebagai satu program oleh Kerajaan untuk para peniaga mengembangkan perniagaan mereka dengan menarik lebih ramai pelanggan baru.

Namun, untuk melihat sama ada program ini benar-benar meraih kejayaan atau tidak, ia harus diperhatikan dari aspek impak terhadap ekonomi pengguna dan peniaga. Bagi pengguna, dengan mengawal harga makanan melalui Menu Rahmah ia dikatakan dapat membantu meringankan beban  perbelanjaan harian mereka dan membantu perancangan kewangan dengan lebih baik. Namun demikian, pengawalan harga makanan tidak akan memberi penyelesaian kepada masalah kos sara hidup atau kos barang yang tinggi. Ini kerana masalah kenaikan harga barangan amat dipengaruhi oleh penerapan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini menggunakan wang fiat tanpa kawalan dan sandaran yang tepat (emas dan perak) dan peningkatan berterusan hutang ribawi dalam ekonomi kapitalis menyebabkan pertambahan jumlah wang di dalam kitaran ekonomi. Ini kemudiannya mengakibatkan nilai mata wang jatuh secara berterusan dan menyebabkan inflasi (kenaikan harga barang) yang mendadak. Sistem matawang  bersandarkan emas dan perak telah pun dijelaskan oleh Islam secara mendalam. Antara dalil wajibnya emas dan perak dijadikan asas kewangan di dalam sistem pemerintahan Islam adalah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menimbun emas dan perak, serta tidak menafkahkannya di jalan Allah (untuk jihad), maka beritahukan kepada mereka (bahawa nereka akan mendapat) azab yang pedih.” [TMQ At-Taubah:34]

Ketika Islam mewajibkan diyat, Islam juga telah menentukan diyat tersebut dengan ukuran tertentu dalam bentuk nilai emas. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:

“Tangan itu wajib dipotong, (apabila mencuri) ¼ dinar atau lebih” [HR Imam Bukhari, dari Aisyah]

Islam juga menjamin bekalan barangan yang berterusan disalurkan ke dalam pasaran tanpa sekatan. Mereka yang cuba mengawal bekalan makanan untuk meraih keuntungan yang lebih akan dikenakan hukuman yang berat.  Islam dengan jelas tidak membenarkan penimbunan (ihtikar atau monopoli) dengan menahan stok barangan agar harganya naik dan hukuman yang berat akan dikenakan ke atas pihak yang menimbun stok barangan.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:

“Rasulullah SAW melarang penimbunan makanan“ [HR al-Hakim dan al-Baihaqi]

Di dalam Islam, bekalan makanan yang mencukupi (food security) perlu dipastikan dengan membangunkan industri makanan dan pelbagai kaedah pertanian alternatif dan termaju. Tanah dan ruang subur di Malaysia ini masih terlalu banyak dan berpotensi untuk dijadikan tanah pertanian. Malah, pelbagai aktiviti pertanian alternatif seperti pertanian urban (urban farming) dan pertanian menegak (vertical farming) boleh digalakkan di kawasan bandar. Dalam masa yang sama, semakin ramai tidak mendapat pekerjaan di Malaysia. Justeru, boleh sahaja sekiranya tanah, ruang atau bangunan terbiar diusahakan untuk aktiviti pertanian dengan menggajikan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan untuk tujuan ini dengan bantuan yang sewajarnya.

Bagi peniaga, Menu Rahmah ini dikatakan boleh membantu meningkatkan jualan mereka apabila ramai pelanggan baru melanggan di kedai mereka kerana harga makanan ditetapkan pada kadar yang murah. Walaupun ditawarkan dengan insentif pengurangan cukai, realitinya, amat sukar untuk para peniaga meneruskan Menu Rahmah ini kerana peniaga juga terkesan dengan kenaikan harga barang, terutamanya bagi peniaga kecil dan sederhana. Perkara yang sama telah berlaku kepada para peniaga yang telah menawarkan program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) pada tahun 2011 dan hanya dapat bertahan selama satu tahun akibat kenaikan harga barangan selain daripada ketidakstabilan harga minyak kenderaan (kos pengangkutan).

Seterusnya, adalah sangat sukar bagi peniaga untuk mencari bahan mentah makanan dengan harga dan kualiti yang sesuai untuk memastikan mereka boleh menjana keuntungan dengan Menu Rahmah selain dapat menampung kos perniagaan dan sara hidup mereka sendiri. Kalaulah program Menu Rahmah ini benar-benar menguntungkan, kerajaan juga sepatutnya sama-sama berniaga untuk menjana keuntungan yang sangat baik seterusnya disalurkan semula kepada rakyat yang lain.

Islam telah menjelaskan hukum­hakam perniagaan ketika menjelaskan hukum jual-beli dan hal yang terkait dengan hukum tersebut. Menetapkan harga barang merupakan satu bentuk kezaliman kepada peniaga. Semasa berlaku kenaikan harga secara mendadak pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat RA meminta Baginda SAW menetapkan harga, lalu Baginda SAW bersabda,

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Menentukan harga, Yang Maha Menahan (rezeki) dan Maha Mempermudah (rezeki), dan Maha Memberi Rezeki. Dan sesungguhnya aku mengharapkan bertemu dengan Tuhanku pada hari akhirat dalam keadaan tiada seorang pun di kalangan kamu yang boleh menuntut kepadaku atas sebab melakukan kezaliman sama ada pada nyawa, mahu pun harta!”

[HR At-Tirmidzi, Ibn Majah, Abu Dawud, Ad-Darimi dan Ahmad].

Walaupun penetapan harga merupakan suatu keharaman, namun ini tidak bererti pemerintah Islam akan bersikap lepas tangan terhadap masalah harga barangan di pasaran. Kawalan harga boleh dilakukan melalui manipulasi demand and supply iaitu apabila harga barang melambung naik secara mendadak ketika permintaan tinggi, negara wajib melindungi rakyat daripada kesempitan tersebut dengan berusaha menambah bekalan (supply) agar harga barangan menjadi stabil, ini adalah tidak mustahil sekiranya diambilkira tanah kekuasaan pemerintahan Islam adalah sangat luas jika dibandingkan dengan keadaan sekarang di mana umat Islam di pisahkan dengan sempadan nasionalistik. Seterunya, mekanisme jaminan bekalan makanan boleh dilaksanakan seperti yang telah dijelaskan di atas. Dengan demikian, barulah pemerintah Islam dapat berperanan sebagai perisai bagi umat sepertimana yang dimaksudkan dalam hadis:

فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Bukhari].

Program Menu Rahmah merupakan penyelesaian kitar semula oleh Kerajaan Perpaduan dan pernah dilaksanakan oleh kerajaan yang lepas. Mereka semua tahu ia hanyalah penyelesaian jangka pendek dan tidak akan mampu menyelesaikan masalah sara hidup rakyat. Langkah ini diulang semula demi  memenangi hati rakyat untuk meraih undi dan sokongan bagi menempuh pilihanraya negeri dalam masa yang terdekat. Hakikatnya, masalah kos sara hidup tidak akan dapat diselesaikan tanpa penerapan sistem ekonomi Islam di bawah sistem pemerintahan Khilafah Islamiyyah di mana kebajikan kedua-dua pihak iaitu para peniaga dan pengguna dapat dijaga, tidak seperti sistem ekonomi hari ini yang selalunya menzalimi (bersifat manipulasi) sama ada terhadap peniaga, pengguna atau kedua-duanya sekali.

Wallahua’lam

https://mykhilafah.com/sn521-sistem-ekonomi-islam-menjamin-keperluan-asas-masyarakat/

https://www.theedgemarkets.com/article/rising-costs-force-restaurants-yank-out-menu-rakyat-1malaysia

https://mykhilafah.com/sn621-harga-barang-terus-naik-hanya-ekonomi-islam-penyelamat/

Abu Abdullah