Solat Hajat Rakyat mohon keamanan dan keselamatan Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Februari – “Permainan politik” para pemimpin dalam mencapai agenda peribadi dan parti masing-masing yang menjadi penyebab kepada tumbangnya kerajaan secara automatik, telah meletakkan negara dalam keadaan kucar-kacir, sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat terhadap politikus dan parti politik.

Sikap dan agenda ahli-ahli politik yang sedang berebut kekuasaan dengan mencabul proses demokrasi yang mereka sendiri julang selama ini, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang, jelas menunjukkan sikap hipokrasi mereka selama ini yang kononnya mewakili rakyat dan berjuang untuk rakyat.

Agenda peribadi dan ketamakan merekalah yang telah menjadi punca kepada kemelut yang melanda negara sekarang ini di saat negara sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan ancaman wabak Covid-19.

Selain marah, rakyat sudah cukup meluat dengan permainan politik tanah air oleh para pemimpin yang hanya menjaga kepentingan peribadi ini, dan rakyat sudah sedar yang mereka kini sedang “dipermainkan”. Namun setakat ini rakyat masih boleh bersabar tanpa melakukan perkara yang tidak diingini yang boleh membawa kepada huru-hara.

Bimbang dengan keadaan politik yang tidak menentu ini, sebuah majlis solat hajat telah dianjurkan di Dataran Merdeka malam tadi bagi mendoakan keselamatan Malaysia, di samping menyampaikan mesej kepada para pemimpin agar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam menyelesaikan konflik yang melanda.

Majlis anjuran sekretariat Solat Hajat Rakyat ini telah disertai kira-kira 150 orang Muslimin dan Muslimat yang mula berhimpun sekitar jam 8.00 malam. Para jemaah kemudiannya solat Isyak berjemaah sebelum diteruskan dengan solat sunat hajat dan doa.

Sejurus selepas itu, wakil sekretariat Ustaz Muhammad Amin memulakan ucapan dengan mengucapkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kerjasama yang diberikan demi memastikan majlis solat hajat tersebut berjalan lancar.

Beliau kemudiannya menjemput Ustaz Umar Hussein bagi memberikan tazkirah ringkas, dan dalam tazkirahnya Ustaz Umar mengingatkan hadirin tentang kedudukan umat Islam yang sering menjadi mangsa kepada kerakusan politik baik di Malaysia atau di seluruh dunia. Beliau menyentuh apa yang sedang berlaku di India di mana umat Islam sedang ditindas dan terpaksa bertarung nyawa akibat kebencian para pemimpin dan orang-orang kafir di sana terhadap Islam dan umatnya.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Ustaz Abdul Hakim Othman, yang menyampaikan beberapa mesej yang tegas yang ditujukan kepada para pemimpin politik negara. Beliau menegaskan bahawa rakyat negara ini sudah memilih pemimpin pada pilihan raya umum yang lepas, namun kini telah dikhianati oleh para pemimpin ini, dan rakyat sudah marah dan meluat melihat permainan politik yang berlaku yang telah meletakkan rakyat sebagai mangsa.

Beliau menegaskan mengenai satu-satunya solusi kepada kemelut ini dan kepada keseluruhan masalah ialah dengan para pemimpin ini menerapkan Islam. Beliau mengingatkan para pemimpin bahawa Allah (swt) meletakkan amanah kepada mereka untuk memimpin dan menerapkan Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya dalam pemerintahan. Hanya dengan penerapan syariat Islam secara kaffah di bawah bingkai Negara Islam (Khilafah) sahajalah yang akan dapat mengeluarkan negara ini dari sebarang masalah, tegasnya.

Majlis berakhir dengan baik kira-kira jam 10 malam. Sebelum bersurai, para hadirin berkumpul dengan kain rentang yang membawa mesej iaitu “Selamatkan Malaysia dengan Syariah dan Khilafah”.