Rakyat Terengganu lahirkan sokongan dalam Dialog Negara Islam

KUALA TERENGGANU 3 November  – Di sebalik cuaca mendung dan hujan yang turun membasahi bumi, Dialog Negara Islam bersama HizbutTahrir Malaysia (HTM) meneruskan siri jelajahnya yang ke-9. Kali ini di Terengganu di mana Dewan Kenari, Batu Burok Beach Resort menjadi lokasinya.

Ustaz Abdul Hakim Othman dan Ustaz Abu Hafiz Ibrahim selaku ahli panel dihujani dengan pelbagai soalan dari para hadhirin, antaranya cara HTM menegakkan Negara Khilafah tanpa menyertai pilihanraya, kebolehan multi parti dalam Islam dan hukum mengundi di dalam sistem demokrasi.

Abdul Hakim yang juga presiden HTM, di dalam jawapannya menegaskan bahawa umat Islam wajib berusaha untuk mendirikan Khilafah dengan mengikuti Sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan haram bagi umat Islam mengikuti jalan-jalan yang lain, termasuk demokrasi. Hakim seterusnya menjelaskan bagaimana British, selaku kuffar penjajah berjaya meracuni umat Islam dengan meninggalkan sebuah perlembagaan di mana ia telah dijadikan undang-undang tertinggi negara yang lebih tinggi dari Al-Quran dan Sunnah.

Di samping bertanya soalan, para peserta juga tidak ketinggalan memberikan komen mereka terhadap senario politik di Malaysia. Rata-rata peserta menyatakan kesalan mereka terhadap parti pemerintah yang tidak menerapkan Islam dan parti pembangkang pula nampaknya lebih kurang sama sahaja, sehingga ada peserta yang menzahirkan sokongan kepada HizbutTahrir secara langsung. Di akhir majlis, HTM menyerukan agar para hadhirin tidak lagi akan berdiam diri selepas ini dan akan bergabung dengan HizbutTahrir bagi menegakkan Khilafah demi menyatukan umat Islam dan melihat agama Allah menjadi agama yang menaungi dunia untuk kali yang kedua.