SN638 – Kecoh Dengan DNAA
Bil: SN638 (PDF) – 12 Rabi’ulawal 1445/ 28 September 2023
Isu yang melibatkan sistem perundangan negara baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana hal yang hampir sama pernah berlaku pada masa lalu. Keputusan peguam negara menarik balik pertuduhan ke atas salah seorang pemimpin negara yang sedang berhadapan dengan sejumlah besar pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit telah menyebabkan Mahkamah Tinggi membuat keputusan agar pemimpin tersebut ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ atau DNAA (discharge not amounting to an acquittal).
Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi. Bagi para penyokong tegar parti memerintah, ia dianggap sebagai satu keputusan yang tepat dan semua pihak harus menghormatinya. Bagi pihak pembangkang, ia adalah satu bentuk campurtangan politik di dalam sistem perundangan negara. Ini adalah kerana, pendakwaan itu asalnya berlaku semasa pemimpin tersebut menjadi pembangkang tetapi setelah dia berada di pihak kerajaan, dia telah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ oleh mahkamah. Walaupun terdapat banyak pertuduhan ke atasnya dan mahkamah telah pun memutuskan wujudnya prima facie di dalam pendakwaan, tidak ada satu pun daripada pertuduhan tersebut yang boleh dikenakan hukuman. Sehingga kini, tiada bukti mahupun saksi yang tampil untuk membuktikan terdapat campurtangan politik di dalam proses mahkamah sehingga terhasilnya keputusan DNAA itu.
Bagi rakyat biasa pula, mereka dinasihati untuk menerima keputusan mahkamah dan menghormati kedaulatan undang-undang yang diwarisi dari penjajah meskipun dengan terang dan nyata, kehormatan undang-undang tersebut telah dicabuli oleh ‘tangan-tangan ghaib’ untuk menyelamatkan pemimpin atasan yang didakwa. Sebaliknya, apabila ia melibatkan rakyat biasa atau individu yang tiada kepentingan politik, mereka akan menerima hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan – sesuailah dengan peribahasa yang berbunyi: “tajam ke bawah, tumpul ke atas”.
Walaupun diasak oleh pihak pembangkang di dalam isu DNAA ini, Perdana Menteri berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan di dalam kes mahkamah tersebut. Sungguhpun demikian, ini masih tidak dapat menghalang persepsi bahawa memang wujud campurtangan badan eksekutif di dalam isu berkaitan DNAA ini sehingga ada yang mengesyorkan agar pemisahan kuasa di antara badan eksekutif dan judikatif benar-benar dilaksanakan. Walaupun isu tersebut kini sudah semakin reda dalam media arus perdana, rata-rata rakyat sudah mempunyai pandangan masing-masing di dalam hal ini. Apa yang pasti, isu seperti ini tidak akan berkesudahan kerana pihak pembangkang akan terus mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan manakala parti memerintah pula akan melakukan apa untuk terus kekal berkuasa.
Teori Pemisahan Kuasa yang Gagal
Di Malaysia, sistem pemerintahannya mengikut model Teori Pemisahan Kuasa. Teori ini berlandas kepada prinsip trias politica yang diasaskan di Barat pada abad ke-17 dan dikembangkan oleh ahli falsafah politik Perancis, Baron de Monstesquieu sebagaimana di dalam bukunya, The Spirit of Laws (1748). Idea tersebut asalnya dicetuskan oleh bapa liberalisme Barat, John Locke. Pada asalnya, teori ini muncul bertujuan untuk mengelak kuasa mutlak pemerintah di dalam sesebuah negara.
Menurut teori ini, sistem pemerintahan dibahagikan kepada eksekutif, legislatif dan kehakiman (judiciary). Di dalam struktur ini, legislatif (Parlimen) adalah badan yang berperanan untuk membuat peraturan dan undang-undang. Bidang kuasa badan eksekutif (kerajaan) pula adalah untuk melaksanakan undang-undang yang telah dihasilkan oleh legislatif. Kerajaan harus patuh kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh badan legislatif. Manakala lembaga kehakiman pula adalah badan untuk mengawal selia dan memantau perlaksanaan undang-undang di seluruh negara agar tidak menyimpang daripada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Namun, masalah mula muncul apabila anggota kerajaan dilantik dari kalangan ahli badan legislatif. Lantas, bagaimana mungkin akan terjadi pemisahan kuasa jika badan legislatif dan eksekutif adalah sebenarnya orang yang sama dan lebih buruk lagi, para pegawai badan kehakiman pula dilantik oleh badan eksekutif!!
Meskipun demikian, struktur pemerintahan ini dianggap yang terbaik di zaman moden kini. Walaupun sistem ini telah dimanipulasi dan dipergunakan oleh para politikus hampir setiap masa, ia masih tetap dipertahankan oleh majoriti rakyat. Ini adalah kerana pada mereka, yang rosak itu bukan sistemnya, tetapi pemimpinnya. Mereka masih mengharap bahawa apabila bertukar pemerintah, maka sistem akan menjadi baik dan dapat dilaksanakan dengan adil. Mungkin di sebahagian tempat, sistem ini dapat dilaksanakan dengan baik sesuai dengan teori dan prinsipnya tetapi di kebanyakkan tempat lain, ia dipergunakan dan dicabuli dengan begitu licik oleh para politikus. Bahkan di kebanyakkan negara, trias politica ini dipergunakan oleh parti yang memerintah untuk menghapuskan pengaruh musuh politik mereka agar mereka terus kekal berkuasa. Ketika mereka berkuasa, mereka akan mengatakan tindakan mahkamah ke atas mana-mana individu dari pihak pembangkang adalah adil manakala jika berlaku sebaliknya, mereka akan mengatakan bahawa mereka adalah mangsa ketidakadilan yang bermotifkan politik, berniat jahat dan zalim.
Inilah realiti sikap manusia apabila mereka bersandar kepada akal dalam menilai sesuatu perkara. Sejauh mana pun kehebatan dan kecerdasan akal seseorang manusia, ia tidak akan mampu untuk mencipta suatu hukum yang mampu memberi keadilan kepada semua manusia. Pemikiran dan idea-idea yang lahir dari akal manusia sentiasa tertakluk kepada perselisihan, perbezaan dan pertentangan. Ini merupakan simptom dari sekularisme yang telah berakar umbi dalam jiwa umat manusia hari ini.
Kawalan Kehakiman Di Dalam Islam
Sistem perundangan di dalam Islam dilaksanakan oleh badan kehakiman yang terdiri daripada Mahkamah Madzalim, Mahkamah Khusumat dan Mahkamah Hisbah. Ketiga-tiganya didirikan atas dasar tauhid dan bersumber dari wahyu Allah (swt). Ketua kepada setiap badan kehakiman ini akan memastikan semua proses pengadilan berjalan sesuai dengan prinsip perundangan di dalam Islam. Perlantikan ketua setiap badan kehakiman dilakukan oleh Khalifah. Mereka akan dipilih dari kalangan orang-orang yang paling layak. Walaupun di dalam sejarah terdapat kelemahan dan kepincangan dalam pelaksanaanya, ia adalah kerana faktor manusia. Di dalam situasi yang mana sistem perundangan Islam ‘dipergunakan’ oleh mana-mana struktur di dalam sistem Khilafah, maka isu tersebut akan ditangani oleh Mahkamah Madzalim, iaitu mahkamah yang berperanan untuk menangani persengketaan yang muncul di antara rakyat dan pemerintah, ini termasuklah jika ia melibatkan Khalifah itu sendiri atau para Mu’awin (pembantu khalifah) dan para wali.
Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran hukum syara’ yang dilakukan oleh penguasa ke atas umat, samada oleh Khalifah atau mana-mana pegawainya, umat boleh membuat pengaduan kepada Qadhi Madzalim untuk diambil tindakan. Jika terdapat bukti dan saksi yang kuat, maka pendakwaan akan dilakukan ke atas mana-mana penguasa yang terlibat. Sekiranya didapati bersalah, Mahkamah Madzalim berhak menjatuhkan hukuman ke atas yang sabit kesalahan, tidak kira samada dia adalah Khalifah, Mu’awin, para wali atau lain-lain pegawai negara.
Selain tindakan yang diambil oleh Mahkamah Madzalim, sebuah lagi struktur di bawah institusi Khilafah, Majlis Umat, juga berperanan untuk mengawasi dan sentiasa memantau proses pentadbiran dan pemerintahan negara. Majlis Umat adalah majlis yang dianggotai oleh Alhlu Halli wa al aqdi (iaitu tokoh atau pemimpin yang dipercayai oleh umat). Majlis ini melakukan muhasabah dan pengaduan jika terdapat sebarang salah-laku di kalangan para pemimpin yang berada di dalam struktur Khilafah.
Di dalam struktur pemerintahan Islam, hanya Khalifah yang diberi kuasa untuk melaksanakan seluruh syariat Islam ke atas umat. Disebabkan perlaksanaan hukum syara’ adalah perintah daripada Allah (swt) dan hukumnya wajib, maka sistem pemerintahan Islam tidak memerlukan pembangkang di dalam membincangkan perihal perlaksanaannya. Kewujudan Majlis Umat bukan untuk membangkang, tetapi untuk memastikan perlaksanaan hukum syara’ dilakukan dengan adil dan amanah oleh institusi Khilafah disamping peranan ahli-ahli majlis bertindak sebagai wakil dari wilayah masing-masing.
Kesimpulan
Isu perundangan yang sedang melanda negara pada ketika ini bukanlah hal yang baru. Teori Pemisahan Kuasa yang dibangga-banggakan oleh para pendokong sistem pemerintahan yang ada pada hari ini hanyalah nampak indah pada nukilan di dalam kitab-kitab usang falsafah Barat. Namun, apabila ia dilaksanakan, terlalu banyak ruang yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Apa yang pasti, ianya bukan sistem perundangan yang diturunkan oleh Allah (swt). Satu-satunya model pemerintahan Islam ialah Khilafah, sebuah sistem yang diwarisi daripada Rasulullah (saw), yang menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah.
“Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” [HR Bukhari].
Justeru, selagi sistem demokrasi tidak diubah kepada sistem Islam, maka selagi itulah akan wujud campurtangan di dalam sistem perundangan. Satu-satunya jalan untuk mendapatkan keadilan adalah dengan kembali menegakkan negara Khilafah yang akan berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Wallahua’lam.