Kelemahan Umat Islam: Memandang Islam Fleksibel Mengikuti Zaman

Budiman Abu Miqdad

          Pada akhir fasa kekhilafahan Uthmaniyah, berlaku kemunduran yang ketara dalam kehidupan umat Islam. Kelemahan itu tampak secara zahir dan jelas, ketika negara berjalan di atas sisa-sisa penerapan sistem Islam yang dirobek dengan pemikiran yang cacamarba. Hal tersebut berlaku akibat pemahaman yang tidak tepat tentang konsep Islam, buruknya tatbiq (penerapan) sistem Islam beserta lompongnya ijtihad (An-Nabhani, 2002). Pengaruhnya dalam dunia semakin goyah pada abad ke-19 sementara Eropah semakin bangkit setelah zaman pencerahan, sehingga zaman Revolusi Perancis dan Revolusi Industri. Akibatnya, pemerintah dan masyarakat menjadi bingung ketika berhadapan dengan kemajuan teknologi dan pelbagai pemikiran tentang politik dan kehidupan.

Dalam menghadapi lajunya arus kemajuan daripada dunia luar, sambutan masyarakat Islam pada ketika itu bervariasi. Terdapat dua kutub berlawanan yang bereaksi. Satu golongan bertindak secara jumud dengan menolak apa sahaja yang datang dari Barat. Golongan satu lagi pula menerima segalanya dari Barat tanpa memisahkan antara sains dan teknologi dengan falsafah pemikiran. Semua dipandang dengan ukuran yang sama sehingga konsep dan pemikiran asing yang bertentangan dengan Islam pun diterima. Sikap kelompok kedua ini kelihatannya mempengaruhi  polisi pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah waktu itu.

          Dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah, sebuah kitab kodifikasi perlembagaan Daulah Uthmaniyyah, fasal ke 39, terdapat kaedah yang berbunyi:

لَا يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الْأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ الْأَزْمَانِ

“Tidak ditolak adanya perubahan hukum dengan adanya perubahan zaman”.(Al-Majallah, 1876)

Kaedah ini kemudiannya menjadi dasar kepada penerimaan hal-hal baru tersebut daripada dunia barat. Kaedah ini bertujuan agar umat Islam tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan seperti mana negara-negara Barat. Malangnya hal ini termasuk konsep-konsep asing yang sebenarnya menjadi barah dalam negara. Fatwa tentang alat percetakan dan fatwa tentang demokrasi dilonggokkan dengan metodologi yang sama. Konsep-konsep asing yang menyalahi syariat ini berlegar dalam skala yang besar dalam daulah. Selari dengan kemunduran berfikir umat, terjadi pembiasaan yang semakin meluas terhadap penerimaan perkara-perkara baru dalam dunia dengan Islam dibentuk sesuai keadaan.

Persepsi terhadap hukum agama di zaman moden

          Suatu yang diperkirakan sebagai musibah adalah bagaimana kaedah perubahan hukum mengikuti arus semasa ini berkembang meluas sehingga kepada masyarakat awam. Kerana kesimpulannya adalah, “Islam itu fleksibel, tidak baku dan sentiasa mengikuti perkembangan zaman”. Gambaran tentang penerimaan kaedah ini kalangan umat Islam diungkapkan oleh Syeikh Muhammad Muhammad Ismail:

“Majoriti pada benak umat Islam pada masa sekarang ini dikuasai suatu keyakinan bahawa sesungguhnya Islam adalah fleksibel. Islam berjalan sesuai dengan kondisi sosial masyarakat, ekonomi dan politik pada setiap masa dan tempat. Hukum-hukum Islam sentiasa berkembang agar tetap layak diaplikasikan sesuai dengan tuntutan semasa dan sesuai kecenderungan dan kebiasaan pada masa kini.” (Muhammad Muhammad Ismail, 1958)

          Melihat arah pemikiran yang sedemikian, tolok ukur perbuatan umat ketika ini telah berubah dengan menundukkan amal perbuatan berdasarkan realiti. Konsep pemahaman begini terkait kaedah maslahat yang salah cara penggunaannya. Kita ambil contoh berkenaan transaksi berasaskan riba. Dengan alasan memiliki tempat tinggal sebagai keperluan darurat, dan dominasi sistem perbankan di mana-mana tempat di dunia, maka dijadikan alasan keringanan untuk melakukan riba. Kemudian diringankan lagi dengan alasan riba yang haram itu hanya riba yang berlipat ganda.

Selain daripada itu, kaedah ini juga membawa pemikiran bahawa syariah Islam itu tidak lagi sesuai dengan zaman moden. Syariah Islam dianggap sebagai ketinggalan, kejam dan mengongkong kebebasan manusia manakala undang-undang dan konsep Barat seperti ‘common and civil law’, liberalisme, demokrasi dan kapitalisme lebih sesuai pada zaman moden kerana memberi kebebasan kepada manusia dan membawa kemajuan.

Syeikh Muhammad Muhammad Ismail menyebutkan lagi:

“Mereka juga menyebutkan bahawa hukum poligami sudah berakhir kerana zaman tidak dapat menerimanya lagi. Begitu juga juga hukuman potong tangan bagi pencuri, atau hukuman rejam dan sebatan bagi penzina tidak boleh dibahas dan dipelajari kerana tiada keperluan, tidak sesuai lagi dengan tuntutan zaman. Kaedah-kaedah begini terus dibicarakan di tengah-tengah umat Islam, ketika mereka mulai berpaling dari Islam, merobohkan tiang dan sendi-sendinya, serta melenyapkan peraturan-peraturan dan syiar-syiarnya.” (Muhammad Muhammad Ismail, 1958)

Bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 suatu masa dahulu pernah ditanya akan penerapan hukum hudud. Jawapan beliau berkisar tentang bagaimana kemajmukan masyarakat negara bangsa menyebabkan kurang sesuainya penerapan hukum tersebut.

          Kalangan kumpulan ekstrimis liberal di kalangan umat pula lantang mengkritik dan mempersoalkan hukum Islam dengan menyifatkan penerapannya sebagai langkah ke belakang. Hukum-hukum faraid Islam dianggap tidak adil dan jumud. Sifat kepimpinan lelaki dalam perkahwinan pula tidak relevan kerana menganggap fungsi lelaki dan wanita adalah sama dalam kehidupan bermasyarakat. Kritik mereka amat keras terhadap poligami, kehakiman Islam, pendidikan Islam, tulisan jawi, dakwah kepada masyarakat bukan Islam, istilah kafir dan lain-lain. Semuanya ada pengaruh dengan budaya semasa yang diterima masyarakat Barat. Dengan kata lain kiblat mereka dihadapkan kepada Barat.

          Dalam dunia akademik, perbincangan tentang interpretasi semula hukum Islam sempat mengambil tema. Hal ini demikian kerana perasaan sayangkan syariah Islam masih ada tetapi pada masa yang sama, mereka gagal memahami cara penerapan hukum-hukum Islam yang sesuai dengan tuntutan syarak. Oleh sebab itulah mereka mahu interpretasi semula hukum syarak sesuai dengan sistem demokrasi-kapitalisme yang diamalkan dalam negara-negara umat Islam pada hari ini.

Penilaian konsep perubahan hukum mengikuti zaman

          Pertama, kaedah berubahnya hukum selari dengan perkembangan zaman (waktu dan tempat) merupakan kaedah yang lemah dan selalu berlaku salah faham pada aplikasinya. Asal muasalnya yang dinisbahkan kepada Ibnu Qayyim al-Jauziyyah juga tidak menepati pembahasannya (al-Jawi, 2004).Terdapat beberapa contoh perubahan ijtihad ulama yang selalu dijadikan hujah, namun sebenarnya tidak sedemikian. Berubahnya ijtihad seperti al-Imam as-Syafi’I ketika berhijrah ke Mesir bukan kerana mengikuti tempat, namun kerana kesempurnaan metodologi Ijtihad beliau. Ijtihad seorang ulama sentiasa boleh berubah sesuai kematangannya dalam metologi penggalian hukum syarak, atau kemampuannya menilai sesuatu isu. Kadang-kadang ada fakta yang ditemui kemudian, berbanding ijtihad terdahulu. Dalam hal ini, yang berubah adalah fakta hukum. Sesuai dengan realiti, sesuatu hukum syarak yang digali mestilah menepati faktanya. Dalam ilmu usul fiqh, ada pembahasan ‘illat (sebab yang memunculkan hukum) yang mempunyai beberapa cabang. ‘Illat yang berbeza pasti akan menghasilkan hukum yang berbeza. Zaman, tempat dan adat itu dihukumi sesuai faktanya, bukan sejenis ‘illat, bukan juga dijadikan dasar untuk mengubah sesuatu hukum.

          Kedua, dalam keadaan berubahnya kondisi masyarakat, pertentangan situasi semasa di hadapan hukum-hakam Islam menescayakan pengembalian kondisi tersebut sesuai dengan Islam. Masyarakatlah yang perlu diubah. Bukan menundukkan Islam sesuai dengan keadaan semasa (an-Nabhani, 2001). Hukum syariat itu jika didapati melalui ijtihad, semuanya berdasarkan dalil. Sedangkan keutamaan dalil adalah daripada Al-Quran, kemudian Sunnah, dan seterusnya ijmak sahabat dan yang terakhir adalah qiyas syar’i. Adapun selain itu termasuk syubhat dalil yang masih boleh dipakai sesuai dengan mazhab masing-masing dengan mengikuti kriteria tersendiri. Namun, tidak ada yang menjadikan realiti semasa sebagai sumber hukum melainkan jika dikaitkan dengan urf (adat kebiasaan), dan itupun sebagai penyesuaian realiti untuk mentahqiq fakta (tahqiqul manath), bukan untuk mengubah hukum sedia ada.

          Ketiga, mengamalkan kaedah begini seluasnya menghakis sifat objektif dalam beragama dan mengalakkan subjektiviti dan kesimpulan hukum yang bersifat relatif. Dengan kata lain, menghilangkan segala kebakuan dalam tatacara berhukum, hatta perkara yang termasuk qat’ie (tetap). Kaedah ini sebenarnya memberikan jalan mudah untuk orang awam sesuka hati dalam memutuskan hukum sendiri, menghasilkan syubhat dan menyebarkan gaya berfikir yang merosakkan. Mungkin ada cubaan untuk mengikat ruang penerimaannya jika diputuskan oleh para ulama, namun tiada kriteria khusus yang menghalang penggunaannya oleh masyarakat. Bahkan melalui sejarah, hasil keputusan hukumnya juga tidak sepadan dengan metodologi ijtihad yang muktabar. Hal ini berbalik pada kelonggaran rumusannya.

          Keempat, gaya berfikir sebegini menunjukkan ketiadaan integrasi antara fikrah Islam dan metodologinya. Umat Islam disibukkan dengan pembelajaran fikrahnya tanpa peduli kepada metodologi yang benar dalam penerapannya. Ketika berlaku kesalahan dalam pemahaman syariat, Islam akhirnya ditafsirkan tidak selaras dengan kandungan dalilnya, lalu disesuaikan melalui kaedah perubahan hukum mengikuti keadaan masyarakat (Abdurrahman, 2014). Sewajarnya dalil itu diinterpretasikan sesuai temanya, baik secara tersurat mahupun tersirat, lalu masyarakat diubah sesuai dengan yang dikehendaki oleh nas tersebut.

Kembali kepada konsep dan metodologi yang benar

          Apa yang diperlukan pada waktu ini untuk meningkatkan taraf berfikir umat dan mengambil kembali kemuliaan Islam. Jamaah- jamaah di kalangan umat Islam sekurang-kurangnya perlu memiliki tiga faktor yang boleh menggerakkan perubahan mendasar masyarakat. Faktor pertama, para aktivis perjuangan Islam perlu mempunyai pemahaman yang mendalam dan cemerlang pada level pemikiran Islam. Termasuk dalam hal ini adalah memahami selok belok konsep asing yang bertentangan dan kemampuan untuk menilai fakta sebaiknya. Hal ini memerlukan proses tasqif (pembinaan) yang memadai, supaya segala konsep yang ditawarkan kepada umat bersifat deskriptif, bukan umum. Selain itu, pemahaman-pemahaman Islam yang lemah juga perlu diketahui puncanya.

          Seterusnya, cerdik pandai Muslim perlu mempunyai pemahaman yang jelas terhadap metodologi Islam dalam menerapkan konsep-konsepnya. Syariat Islam memerlukan negara untuk diterapkan pada tertinggi, perlukan dakwah dan jihad sebagai kaedah penyebaran, perlukan hukuman dalam menjaga kestabilan. Metodologi ini tidak berubah, sekalipun telah berubahnya situasi, masa dan tempat. Potong tangan bagi pecuri contohnya, tidak boleh digantikan dengan hukuman jenayah komersil yang lain, sebagaimana lapar tidak diselesaikan dengan tidur.

          Terakhir, konsep dan metodologi Islam perlu diharmonikan. Umat Islam mempelajari pelbagai konsep tentang pemikiran dan kaedah metodologi mereka. Ketika mereka belajar tentang hal ehwal futuhat contohnya, kewujudan khilafah dengan dakwah dan jihad menunjukkan integrasi ilmu dan amal pada peringkat yang menyeluruh. Lahirnya kaedah yang menyeru perubahan hukum mendepani zaman sebahagian besarnya kerana para ahli ilmu tidak mengintegrasikan kemahiran mereka dalam agama dengan metodologi baku Islam. Negara pula terkandas dalam fungsinya. Walau bagaimanapun, ketika itu Daulah Uthmaniyyah masih mampu menerapkan Islam, sekalipun lemahkerana metodologi utama penerapan Islam masih wujud. Perkara yang diperlukan ialah proses islah, memperbaiki keadaan daripada dalam. Di sebalik kelemahannya, kewujudan Daulah Uthmaniyyah yang boleh memberikan ancaman fizikal masih ditakuti musuh kerana Daulah masih menyerukan jihad.

Berlainan dengan masa kini, ancaman musuh seperti yang berlaku di Palestin contohnya, tidak mampu mendapatkan reaksi yang bertepatan dengan syariat iaitu jihad fisabillah oleh negara-negara umat Islam. Bahkan, untuk menyebut Israel sebagai musuh pun masih berkira-kira. Jadi, keperluan untuk memahami konsep dan metodologi Islam secara cemerlang, sekaligus mengintegrasikannya adalah tindakan segera yang perlu dilakukan. Negara yang menjadi salah satu tiang penerapan Islam dan segala hukumnya juga perlu wujud. Dengan demikian, prinsip-prinsip baku dalam Islam dapat dipertahankan. Wallahu a’lam.

Rujukan:

Abdurrahman, KH Hafidz. (2014). Mafahim Islamiyyah (cet. 1). Bogor: Al Azhar Freshzone Publishing.

Al-Jawi, Muhammad Shiddiq. (2004, Ogos). Menyoal Fiqh al-Waqi’. Al-Wa’ie(48), 18-22.

An-Nabhani, Taqiyuddin. (2001). Mafahim Hizbut Tahrir (cet. 6). (A. Fadhlan, Ed., & Abdullah, Terj.) Jakarta Selatan: Hizbut Tahrir Indonesia.

An-Nabhani, Taqiyuddin. (2002). Al-Daulah al-Islamiyyah (cet. 4). Beirut: Dar al-Ummah.

Ismail, Muhammad Muhammad. (1958). Al-Fikru Al-Islami. Beirut: Maktabah al-Waie.

Kitab Undang-Undang Perdata Islam. (2002). (T. Arifin, A. Suhirman, D. Ahmad S, & D. Ishak, Terj.) Bandung: Kiblat Umat Press.

Majallatu al-Ahkam al-‘Adliyyah. (1876,). Diakses pada 17 November, 2023, di Mausu’ah al-Qawanin wa Ahkam al-Mahakim al-Filastiniyyah: https://maqam.najah.edu/legislation/158/