Kebangkitan Umat: Menuju Kesatuan dan Kekuatan Melalui Khilafah

Oleh : Ummu Abdurrahman

Islam ialah agama mulia dimana ia satu-satunya agama yang benar dan diredhai oleh Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Islam juga merupakan agama para anbiya’, para malaikat dan seluruh alam yang diciptakan-Nya. Dalam sejarah lalu, umat Islam adalah umat yang kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia. Namun begitu, pada hari ini umat Islam ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain sering dilabelkan dengan imej negatif atau pengganas. Propaganda Barat yang sentiasa memburukkan imej Islam bukan perkara baharu kerana berlaku sejak lama dulu. Malah umat Islam diperlakukan dengan ganas dan ditindas dengan kejam di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa ini sungguh mengguris jiwa umat Islam. Hari ini, kita dapat saksikan ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularisme, komunisme, sosialisme dan kapitalisme masih diguna pakai pemimpin Islam sendiri? Segala ideologi yang bertentangan dengan Islam ini wajib ditolak oleh umat Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam amat lemah dan keadaan menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam lain. Secara umumnya, negara Islam pada hari ini lemah dari pelbagai sudut merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Kelemahan ini menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam. Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Umat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jahiliyyah merupakan sebuah masyarakat yang mundur. Mereka adalah masyarakat yang betul-betul berpegang kepada kepercayaan nenek moyang yang karut marut, antaranya ialah kepercayaan bahawa anak perempuan akan membawa sial. Oleh itu, mereka telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Ini menunjukkan betapa mundurnya pemikiran masyarakat Jahiliyyah pada waktu itu. Setelah nabi Muhammad diutus menjadi Rasul, baginda telah menyeru kepada kaum Quraish untuk menerima Islam. Para sahabat yang telah menyahut seruan Rasul ditasqif (bina) dengan memantapkan diri mereka dengan aqidah Islam. Mereka diajak berfikir mengikut tuntunan Islam (Qiyadah fikriyah) untuk melihat kehidupan, alam serta peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka sepertimana dijelaskan di dalam banyak ayat Al Quran. Dari ayat-ayat ini dapat difahami bahawa Allah memerintahkan manusia untuk memperhatikan dan berfikir tentang ciptaanNya agar yakin dengan adanya Allah. Sesungguhnya segala sesuatu yang wujud menjadi bukti adanya Pencipta, yang Maha Esa, Maha Mengetahui, wajibul wujud iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seruan Allah supaya manusia itu mencapai wihdatul tauhid (kesatuan tauhid) melalui ’proses berfikir’ menunjukkan pentingnya peranan berfikir dalam Islam.

Menyusuri sirah nabi, kita dapat saksikan bahawa Rasulullah tidak membawa sebarang wang, kemewahan, harta benda, senjata, teknologi canggih atau apa-apa alat di dalam seruan baginda supaya masyarakat mundur tadi (Jahiliyyah) menerima Islam. Satu-satunya senjata yang Rasulullah bawakan adalah pemikiran. Rasulullah telah ’berperang’ dengan golongan mundur ini dengan menggunakan senjata pemikiran di dalam menyeru kaum Jahiliyyah ini kepada Islam. Ternyata, pemikiran Islam yang Rasulullah bawa telah berjaya mengalahkan pemikiran kufur yang ada pada kaum Quraish ketika itu. Sebahagian mereka memeluk Islam dan sebahagian lain mengingkari, walaupun sebenarnya golongan yang engkar tersebut kalah di dalam ’perang pemikiran’ dengan Rasulullah. Kaum Muslimin mula bangkit dari keterpurukan Jahiliyyah apabila berlaku perubahan pemikiran (pemikiran kufur kepada pemikiran Islam). Para sahabat benar-benar faham dan telah berjuang mempertahankannya, dengan pemikiran Islam yang telah ditanam dan dimantapkan oleh Rasulullah kepada mereka. Akhirnya umat manusia berbondong-bondong memeluk agama Islam. Kaum Muslimin telah bangkit dengan kebangkitan yang benar, dimana umat manusia disatukan dengan satu kalimah tanpa mengira bangsa.

Inilah kebangkitan sebenar yang perlu ditanamkan disetiap jiwa umat Islam, iaitu kebangkitan yang berdasarkan wahyu. Kebangkitan ini telah berjaya bertahan sehingga 13 abad lamanya. Namun begitu, apabila api assabiyyah ditiupkan ke tubuh umat Islam oleh Mustafa Kamal Attartuk yang bekerjasama dengan kafir Barat, kaum Muslimin kembali mundur semundur-mundurnya. Api itu kemudian merebak ke seluruh dunia umat Islam dan dikobarkan lagi oleh pemimpin-pemimpin kaum Muslimin yang sepemikiran dengan si laknatullah tadi. Dari sinilah bermulanya kemunduran umat Islam, dan api assabiyyah ini sehingga sekarang masih dinyala dan dipertahankan oleh penguasa-penguasa kaum Muslimin. Umat Islam telah terpecah menjadi 57 buah negara bangsa. Perpecahan yang diakibatkan oleh assabiyyah yang dicipta oleh kafir Barat akhirnya menyebabkan kekuatan Umat Islam semakin melemah sehingga kini.

Khatimah

Dalam menuju kebangkitan umat, tidak ada jalan lain kecuali mengikuti thariqah (method) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ’alaihi wa Sallam. Rasulullah telah berjaya membangkitkan satu bangsa yang paling mundur, bangsa Jahiliyyah, melalui perubahan berfikir yang telah menjadi anjakan kepada perubahan-perubahan yang lain. Bermula dari perubahan pemikiran kufur kepada pemikiran Islam, yang akhirnya telah berjaya mewujudkan satu Negara, dimana umat Islam telah bangkit dengan sebenar-benar kebangkitan. InsyaAllah apabila kita menempuhi jalan berfikir yang benar melalui Qiyadah Fikriyah Islam, kita semua akan meraih kebangkitan sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu ’alaihi wa Sallam. Selain itu, untuk umat Islam kembali bangkit, ikatan assabiyyah yang menghalang kebangkitan umat sebelum ini perlu ditinggalkan. Ikatan tersebut hanyalah ciptaan kaum kafir untuk menjauhkan dan memesongkan kita daripada aqidah yang kita anuti ini. Dengan adanya kesedaran inilah kaum Muslimin akan kembali bersatu. Sesungguhnya kaum kafir amat takut apabila kita mempunyai kesedaran sahih ini kerana inilah yang akan memandu dan mengantarkan kita ke arah penyatuan sebagaimana yang telah terjadi di masa lampau. Khilafah Islam terbukti telah menguasai hampir dua pertiga dunia, menjadi pelindung umat Islam dan sekaligus merupakan negara super-power di dunia ketika mana hukum-hukum Allah dilaksanakan sepenuhnya di dalam kehidupan. Jesteru, konsep kebangkitan sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan Daulah Islam. Oleh itu, umat Islam wajib berusaha mendirikan Daulah Khilafah atau bersama-sama dengan gerakan yang berusaha menegakkan kembali Daulah Khilafah atas jalan kenabian. Sesungguhnya kebangkitan umat akan dicapai menuju kesatuan dan kekuatan hanya melalui khilafah.

Rujukan

  1. https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2013/01/17/enggan-sepakat-punca-umat-islam-ditindas-musuh
  2. SN070 – Formula Kebangkitan Umat