Tingkat Kekuatan Ummah

MELAKA 15 Mei – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kepimpinan parti politik Islam di negara ini bersatu untuk meningkatkan kekuatan ummah dan juga mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka.  Beliau berkata, sebarang perpecahan dan perbalahan antara umat Islam di negara akan menyebabkan kehancuran negara.  “Logiknya perpaduan umat Islam di negara ini sebagai majoriti
adalah sebagai teras kepada pembangunan dan kekuatan negara,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Rahmah, Bukit Rambai, di sini hari ini.   Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.    Muhyiddin berkata, terdapat ‘gangguan politik’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam soal menyatukan umat Islam di negara ini.    “Ini juga mungkin disebabkan oleh (suasana) politik yang berlainan selepas pilihan raya umum lepas dengan keadaan yang berlaku iaitu umat Islam kini sudah berpecah dan mempunyai beberapa kelompok yang dibeza oleh dasar fahaman politik,” katanya. – BERNAMA
[Utusan Malaysia: 16/05/09]

Ya, kekuatan umat Islam itu hanya akan dapat diwujudkan apabila umat Islam itu bersatu. Namum malangnya, sekali lagi, lontaran saranan dari TPM tidak menjurus kepada seruan untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kenapakah kita harus menyentuh dan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah? Kerana inilah sebenarnya kekuatan umat Islam. Lihatlah kepada sejarah kegemilangan generasi umat Islam yang terdahulu. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat arab jahiliyyah adalah merupakan masyarakat yang tunduk kepada dua kuasa besar saat itu – Rom dan Parsi. Namun begitu, apabila Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW diterima oleh masyarakat Arab maka akhirnya dua kuasa besar itu telah berjaya ditundukkan oleh kekuatan Islam. Justeru itu, kekuatan yang paling mendasar untuk kaum Muslimin bangun sebagai sebuah umat yang gagah dan terbaik adalah kekuatan mabda’ (ideologi) yang dibina di atas aqidah Islam yang mulia. Dengan asas mabda’ yang kukuh ini, umat PASTI akan kuat dalam ekonomi dan ketenteraan. Oleh yang demikian, umat Islam hari ini wajib melihat bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina umat yang mempunyai kekuatan mabda’ yang begitu luar biasa sehingga menjadi masyarakat yang berjaya memimpin dunia selama 1400 tahun lamanya. Inilah kuncinya.

” Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.
[TMQ  Al Jumu’ah (62) : 2].   

Nah, untuk umat Islam kembali menduduki posisinya sebagai umat terbaik, perlu ada kekuatan mabda’. Kekuatan inilah yang seharusnya diserukan. Kekuatan inilah yang seharusnya dirangkul!