Mengembalikan Kebijaksanaan dan Keadilan dalam Kepemimpinan Islam
Penulis: Farisha Aris
Kepemimpinan dalam pemerintahan sesebuah negara sangat sinonim dengan halatuju yang dibawa oleh pemimpinnya. Kepemimpinanlah yang akan mencorakkan identiti negara tersebut berserta warganya yang menjadi tunjang dalam merealisasikan matlamat yang ingin dicapai oleh negara tersebut. Pada masa kini, jika dilihat pelbagai negara di seluruh dunia termasuk negara umat Islam memliki corak kepemimpinan yang menjurus kepada penerapan sistem yang tidak Islami. Oleh yang demikian, perjalanan pemerintahan bergantung kepada sistem yang dianut oleh kepemimpinan negara tersebut yang mana pemimpin yang bertindak sebagai pihak berotoriti hanya melaksanakan pentadbirannya mengikut acuan sistem yang diiktiraf oleh negara. Acapkali gambaran sesebuah negara yang berjaya pasti mempunyai seorang pemimpin yang bijaksana dan adil sebagai peneraju kepada negara tersebut. Tahukah anda bagaimana yang disebut pemimpin yang memimpin sesebuah negara dengan bijaksana dan adil yang didambakan oleh rakyat?
Kepemimpinan yang bijaksana dan adil menurut Islam
Hakikatnya keberadaan pemimpin atau pemerintah tidak lain adalah untuk memelihara kepentingan dan kemaslahatan rakyatnya. Pemimpin pula mengatur rakyatnya dengan aturan yang telah ditetapkan oleh As-Syari’ dan rakyat yang dipimpinnya wajib patuh dan taat dengan aturan tersebut kerana pemimpin hanya lah pelaksana sahaja. Kedua-duanya iaitu pemimpin dan rakyat melaksanakan kewajipan sesuai dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing natijah daripada keimanan mereka kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Oleh itu, apabila kita membahas tentang bijaksana dan adil dalam kepemimpinan, seringkali timbul kekeliruan dan salah faham. Ini kerana kedua-dua sifat tersebut bukan lah didasarkan kepada akal manusia semata-mata atau mengikut kefahaman dalam realiti kehidupan hari ini dalam menafsirkannya. Sehebat mana pun seseorang pemimpin itu, apabila dia mengambil sistem aturan penjajah dalam mentadbir rakyatnya, maka tidak akan pernah dikenal istilah bijaksana dan adil dalam pemerintahannya. Oleh itu, pengertiannya mesti lah mengikut apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Allah SWT telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” [TMQ an-Nisa[4]: 59].
Oleh yang demikian, seorang pemimpin itu bertanggungjawab memelihara agar sejumlah manfaat yang seharusnya dinikmati oleh rakyat dapat dinikmati dan kemudaratan yang menyebabkan kerosakan atau mengancam kemaslahatan rakyat dapat dijauhkan. Islam telah menetapkan bahawa penguasa berkewajipan memelihara kemaslahatan rakyat. Ibn Umar menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Seorang pemimpin adalah pemelihara atas manusia dan dia akan dimintai pertanggungjawapan atas (pemeliharaan kemaslahatan) mereka” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Ini memberi pengertian bahawa kebijaksaan dalam kepemimpinan adalah apabila seorang pemimpin itu mengambil syariat Islam sebagai tunjang pemerintahan dengan sepenuhnya tanpa mengambil hukum selain Islam walau sedikitpun. Manakala kepemimpinan yang adil adalah apabila seorang pemimpin itu melayani umat dengan sempurna dan amanah serta tidak sesekali menzalimi rakyatnya dengan tidak memenuhi hak yang sepatutnya diterima oleh rakyatnya. Ini lah sebuah kepemimpinan dalam Islam yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat Baginda dan kekhilafahan terdahulu. Dan atas dasar ketakwaan, para pemimpin umat Islam ketika itu sangat memahami dan memegang teguh peranan dan tanggungjawabnya. Saidina Umar bin al-Khatthab sering berkeliling Madinah untuk memeriksa keadaan rakyatnya, bahkan bukan sahaja manusia tetapi keperluan haiwan juga diperhatikan. Begitu juga para pemimpin selanjutnya, mereka sangat memperhatikan kepentingan rakyatnya dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan. Ketika itu telah dibina satu tempat khusus bagi musafir yang menyediakan seluruh keperluan para musafir di pelbagai kota. Para pemimpin Bani Umaiyyah pula membina sistem saliran air yang mampu menjangkau daerah yang sangat jauh daripada sumber air bagi mengairi tanah-tanah pertanian. Ketika pemerintahan Bani Uthmaniyah di bawah Sultan Abdul Hamid II, telah dibina jaringan telegraf yang menghubungkan India, Turki, Syam, Madinah dan Mekah. Begitu lah Islam menggariskan bahawa pemeliharaan kemaslahatan rakyat itu mesti dilakukan dengan menjalankan sistem aturan Islam.
Kebijaksanaan dan keadilan dalam kepemimpinan tidak wujud hari ini
Namun begitu, pada hari ini jaminan kemaslahatan rakyat tidak berlaku dan tidak dipenuhi disebabkan apa yang disyariatkan Allah SWT tidak dipatuhi dan sekiranya ada pun, perlaksanaannya hanya sebahagian kecil sahaja justeru tidak dapat menjamin kemaslahatan setiap individu rakyat. Apa yang berlaku hanya mengundang mudarat kepada rakyat yang sepatutnya dijauhkan daripada rakyat. Permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat semakin meruncing dan tidak kunjung menemui jalan penyelesaiannya. Rakyat semakin dihimpit oleh pelbagai bebanan hidup yang terpaksa ditanggung sendiri. Ini kerana pemimpin hari ini hanya patuh dalam menjalankan sistem rancangan dan peninggalan penjajah demi memelihara kepentingan dan kemaslahatan mereka dan bukan kepentingan dan kemaslahatan rakyat. Fakta pemimpin di negeri-negeri umat Islam pasca penjajahan fizikal puak kufar merupakan bukti yang nyata. Namun begitu, sistem kapitalisme demokrasi telah menciptakan fatamorgana dan keindahan palsu yang menjanjikan kunci segala penipuan iaitu idea kedaulatan di tangan rakyat sehingga rakyat tertipu oleh kepalsuan itu. Padahal telah jelas ancaman Allah SWT:
“Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih” (TMQ Asy-Syura [42]: 42).
Rasulullah SAW bersabda,
“Tidaklah seseorang diamanahi pemimpin suatu kaum kemudian ia meninggal dalam keadaan berkhianat terhadap rakyatnya, maka diharamkan baginya syurga” (HR Bukhari dan Muslim).
Rakyat dikaburi oleh penyesatan pemikiran, memalsukan dan menyembunyikan fakta serta mempermanis fatamorgana sistem kapitalisme demokrasi oleh para pemimpin yang sedaya-upaya mempertahankan sistem penjajah yang pastinya tidak wujud sama sekali kebijaksaan apatah lagi keadilan di tengah-tengah rakyat. Ditambah lagi dengan rendahnya kesedaran politik dan ideologi dalam diri umat yang memaksa mereka untuk tunduk pada sistem yang ada tanpa ada keberanian untuk menolak dan lebih parah lagi pemikiran rakyat telah dipengaruhi oleh sekularisme yang telah ditanamkan dalam minda rakyat sejak dahulu lagi sehingga mereka hanya mengenal Islam sebatas sebuah agama semata-mata bukan sebuah ideologi.
Kewajipan Mengembalikan Kebijaksanaan dan Keadilan dalam Kepemimpinan Islam
Sesungguhnya, Islam telah memberikan gambaran yang jelas tentang bagaimana syarat-syarat sifat yang mesti diterapkan di dalam sebuah kepemimpinan iaitu bijaksana lagi adil. Seorang pemimpin yang mempunya akidah yang benar dan bertakwa, sudah tentu akan memastikan dia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan As-Sunnah iaitu menerapkan syariat Allah SWT sepenuhnya agar kemaslahatan rakyat sentiasa menjadi keutamaannya. Oleh yang demikian, terdapat tiga perkara yang perlu dilakukan demi mengembalikan semula kepemimpinan yang bijaksana dan adil. Pertama, menyatukan pemimpin dan rakyat dengan kesatuan pemikiran, perasaan dan peraturan. Rakyat mesti difahamkan dengan ideologi Islam sehingga terbentuk kesedaran ideologi Islam pada diri mereka sehingga mendorongnya memilih pemimpin yang menjalankan sistem aturan yang bersumber daripada ideologi Islam. Kedua, rakyat mesti sedar sepenuhnya bahawa mereka adalah pemilik kekuasaan yang akan menyerahkan kekuasaan kepada pemimpin yang akan memelihara kemaslahatan rakyat dan justeru akan melepaskan kekuasaan daripada pemimpin yang menjaga kepentingan kafir penjajah dan kapitalis. Ketiga, rakyat mesti menyedari pentingnya memuhasabah pemimpin dan akan terus melakukan aktiviti tersebut sehingga terwujud perubahan keseluruhan (revolusioner) ke atas tampuk pemerintahan menuju kepada struktur kekuasaan yang sesuai dengan ideologi Islam. Dengan demikian, apabila rakyat telah mempunyai kesedaran penuh terhadap kewajipan menerapkan syariat Islam, maka rakyat akan bersatu dan bangkit bagi mengembalikan kepemimpinan Islam yang penuh bijaksana dan adil bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Kesimpulan
Dengan demikian, rakyat mesti mewujudkan pemimpin yang menjalankan ideologi Islam sepenuhnya dan merdeka iaitu tidak bergantung kepada dukungan puak kufar dan kapitalis. Sebaliknya pemimpin hanya menyandarkan kekuatan pada dukungansepenuhnya daripada rakyat serta sumber alam dan kekayaan yang ada. Maka, hanya dengan itu sahaja kepemimpinan Islam yang bijaksana dan adil dapat dikembalikan yang mana pemimpin dan rakyat bersatu menjalankan dan menjaga sistem Islam sebagaimana yang terjadi pada masa keemasan Islam suatu ketika dahulu. Sesungguhnya pemimpin yang adil dan hanya menegakkan hukum-hukum Allah SWT di dunia kerana takut akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti, Rasulullah SAW memberikan berita gembira dengan bersabda,
“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil, pada hari kiamat kelak, dia berada di atas mimbar dari cahaya di sebelah kanan Allah Azza wa Jalla yang Maha Pengasih. Kedua tangan Allah sebelah kanan. (Mimbar tersebut) diberikan untuk orang yang bersikap adil dalam keputusan hukum mereka, keluarga mereka, dan orang yang mereka kuasai” (HR Muslim, 1827, dari ‘Abdullah bin Amr ra).
Wallahu a’lam bishawab.