Wahai tentera kaum Muslimin, maafkanlah kami atas kelupaan kami..
Hari ini genap satu tahun Gaza dibantai dengan pembantaian yang paling buruk dalam sejarah. Namun semua itu tidak sedikit pun membuka pintu hati dan nurani para penguasa kaum Muslimin untuk membantu Gaza dan membebaskan Palestin. Hati mereka nampaknya sudah mati.
Setelah kita berputus harap dengan para penguasa yang jelas-jelas mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukminin ini, maka harapan kita beralih kepada pasukan tentera agar mengingkari pemimpin khianat ini, menyingkirkan mereka daripada kerusi empuk mereka, lalu bergerak membantu Gaza dan membebaskan keseluruhan Tanah Palestin Yang Diberkati, dan seterusnya menegakkan Khilafah sebagai ganti kepada pemerintahan kufur yang mendominasi dunia pada waktu ini.
Seruan demi seruan telah kita laungkan kepada para tentera kaum Muslimin di seluruh dunia agar mengisytiharkan jihad ke atas entiti haram Yahudi, namun ternyata tidak ada seorang pun yang menyahut seruan tersebut hingga ke hari ini. Malah sebaliknya ada dalam kalangan tentera yang menyalahkan pihak yang menyeru mereka, dengan memberi pelbagai alasan dan justifikasi seolah-olah mereka tidak bertanggungjawab sedikit pun ke atas Gaza.
Wahai tentera kaum Muslimin! Oleh kerana sebahagian kalian telah menyalahkan kami kerana menyeru kalian untuk berjihad, maka kami dengan ini memohon maaf kepada kalian kerana kami lupa bahawa Palestin bukanlah negeri kalian. Kami lupa bahawa Masjidil Aqsa bukanlah masjid kalian. Kami juga lupa bahawa Palestin dan Masjidil Aqsa itu terlalu jauh untuk kalian ke sana, ditambah dengan pelbagai halangan yang tidak membolehkan kalian ke sana. Kami lupa bahawa kalian dibayar gaji oleh penguasa kalian hanya untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh, bukannya untuk menyerang dan membunuh musuh.
Wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa kalian tidak akan bergerak sehingga diarahkan oleh penguasa kalian, dan kami lupa bahawa kalian tidak memiliki keberanian untuk memuhasabah penguasa kalian untuk menggerakkan kalian. Kami lupa bahawa kalian tidak sanggup untuk derhaka kepada perintah tuan kalian, tetapi kalian sanggup “derhaka” kepada perintah Tuhan kalian.
Wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa kalian sudah semakin jauh daripada Al-Quran dan As-Sunnah sehingga kalian tidak lagi sedar mengenai kewajipan jihad yang terbeban di atas bahu kalian, yang begitu banyak terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kami juga lupa bahawa kalian lebih sanggup mentaati Piagam PBB berbanding Kalam Ilahi.
Wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa kalian mempunyai keluarga dan harta yang perlu dijaga. Kami lupa bahawa kalian mempunyai isteri-isteri yang perlu dilindungi. Kami lupa bahawa kalian mempunyai anak-anak yang perlu disuapi. Kami lupa bahawa kalian mempunyai rumah dan harta yang tidak sanggup untuk kalian tinggali.
Wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa penduduk Gaza bukanlah adik-beradik kalian. Kami lupa bahawa anak-anak di Gaza bukanlah anak-anak kalian. Kami lupa bahawa ibu-ibu di Gaza bukanlah ibu-ibu kalian. Kami lupa bahawa orang-orang tua di Gaza bukanlah orang-orang tua kalian.
Wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa kalian juga ingin tidur lena tanpa diganggu. Kami lupa bahawa kalian juga mempunyai mimpi duniawi yang perlu dikejari. Kami lupa bahawa sofa dan tilam yang menjadi tempat istirahat kalian itu lebih enak dan empuk berbanding tanah, pasir dan debu-debu yang menjadi tempat jihad kalian.
Wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa jet-jet pejuang dan kereta kebal-kereta kebal kalian sudah uzur dan berkarat. Kami lupa bahawa ia hanya diperbaiki dan digilap sebagai penghias upacara hari kemerdekaan. Kami lupa yang kegunaannya hanyalah untuk mempertahankan diri dan kami lupa bahawa tangkinya perlu diisi yang wangnya berada dalam poket menteri.
Akhir sekali wahai tentera kaum Muslimin! Maafkanlah kami kerana kami lupa bahawa sebahagian kalian menghidap penyakit wahn, suatu penyakit yang tidak memampukan kaki kalian untuk melangkah, apatah lagi untuk bergerak nun jauh ke Gaza sana.
Maka, maafkanlah kami atas semua kelupaan kami wahai tentera kaum Muslimin. Cumanya kami berharap agar kalian tidak lupa bahawa di Padang Mahsyar kelak, anak-anak Gaza akan bangkit dan mengadu kepada Allah perihal kalian, bahawa kalian telah melupakan mereka di dunia ini.