Hijab: Manifestasi Ketaatan, Menggapai Redha Allah
Penulis : Syafiqah Hakim
Hadirnya Islam telah mengangkat wanita sebagai keindahan yang perlu dipelihara, dihormati dan dilindungi. Islam mengangkat kaum wanita pada kedudukan yang tidak pernah dicapai oleh wanita dalam peradaban dan agama mana pun sebelum ini. Islam adalah agama yang memandang wanita sebagai makhluk yang mulia, kerana itu, kemuliaan tersebut perlu dipelihara di sebalik kewajipan menutup aurat dan berhijab. Hakikatnya, hijab diwajibkan agar kehormatan mereka terus terjaga.
Akan tetapi, pemakaian hijab bukanlah hanya sekadar asal pakai, namun setiap muslimah perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syariat. Syarat pemakaian hijab mengikut syariat adalah menutup aurat dengan sempurna. Bagi kaum hawa, seluruh bahagian tubuhnya kecuali wajah dan tapak tangan adalah aurat yang perlu ditutup. Syariat juga menjelaskan syarat-syarat satr al-‘awrat (menutup aurat) iaitu ia perlu dilakukan sehingga warna kulitnya tidak kelihatan. Seorang muslimah tidak dianggap sudah menutup aurat jika auratnya sekadar ditutupi dengan sesuatu yang tipis sehingga warna kulit atau bentuk tubuhnya masih kelihatan.
Pada suatu ketika dahulu, Asma’ binti Abu Bakar masuk ke rumah Nabi SAW. dengan pakaian yang tipis, Baginda SAW. mengalihkan pandangannya, lalu menasihati Asma’, “Wahai Asma’, jika wanita itu sudah haid (dewasa), maka tidak boleh nampak darinya, kecuali ini dan ini (sambil menunjuk ke wajah dan telapak tangan Nabi).” (HR Abu Dawud)
Perbuatan Nabi SAW. mengalihkan pandangannya membuktikan bahawa menutup aurat bukanlah sekadar berpakaian, tetapi pakaian yang dapat menutupi bentuk tubuh wanita dan warna kulit (tidak jarang). Ia juga dilakukan agar muslimah tidak menjadi bahan perhatian atau gangguan kaum lelaki kerana wanita terlalu berharga untuk menjadi bahan perhatian semata-mata. Allah SWT. berfirman, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.” [TMQ Al-Ahzaab (33): 59]
Wanita muslimah, sebagai kaum yang mulia juga memiliki peranan yang penting dalam masyarakat iaitu untuk mendidik generasi seterusnya menjadi generasi umat yang terbaik. Kerana itulah, selain dari berhijab syar’ie, para muslimah juga perlu menghiasi diri mereka dengan akhlak yang baik. Akhlak merupakan sesuatu yang bahkan lebih penting dari ilmu. Ketaatan akan perintah berhijab perlu seiring dengan akhlak muslimah yang mentaatinya, kerana adab dan akhlak yang baik, merupakan salah satu identiti umat Islam dan ajaran agama Islam itu sendiri.
Dalam pada itu, penting untuk para muslimah fahami bahawa tujuan pemakaian hijab seperti jubah, tudung, purdah dan sebagainya bukanlah kerana tekanan sosial atau kerana adat dan budaya. Bukan juga kerana ingin mengikuti ‘tren’ fesyen terkini. Akan tetapi, pemakaian hijab syar’ie perlu bersandarkan kesedaran pada perintah Allah dan Rasul-Nya. Pemakaian hijab bukanlah sekadar busana semata-mata, tetapi ia juga melambangkan identiti seorang muslimah yang menjaga kesucian dirinya. Hijab syar’ie merupakan manifestasi dari ketaatan seorang hamba untuk menggapai redha Illahi.
Kesimpulannya, sebagai seorang muslimah, ketika mendengar dalil-dalil tentang hijab syar’ie, yang sepatutnya menjadi jawapan adalah “sami’na wa atho’na”. Begitu juga ketika Rasulullah SAW. menambahkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi ketika berhijab. Muslimah ideal adalah mereka yang pakaiannya diatur oleh syariat agama, bukannya mereka yang mengatur syariat mengikut hawa nafsu sendiri.