Dakwah: Mencari redha Allah atau redha manusia

Berita:

Kaedah digunakan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik yang dianggap merendahkan agama lain tidak sesuai dengan budaya negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan etnik.

Sumber berita: http://www.sinarharian.com.my/nasional/dakwah-dr-zakir-tak-sesuai-di-negara-ini-1.883459

Komentar:

Sehingga ulasan ini ditulis masih belum ada penafian secara rasmi daripada Dr Mujahid Yusof Rawa berikutan kenyataan yang dibuat oleh beliau mengenai perkara ini. Sepertimana yang kita semua telah maklum, Dr Zakir Naik merupakan pendakwah yang telah berjaya dalam usaha beliau untuk mengajak masyarakat bukan Islam untuk mengenali Islam serta akhirnya memeluk Islam sebagai suatu akidah dan keyakinan yang benar. Kaedah dan metode yang digunakan oleh beliau ternyata telah terbukti berjaya dan berhasil sehingga dilaporkan ratusan ribu individu bukan muslim telah memeluk Islam sehingga hari ini.

Kenyataan terbaru daripada Dato’ Mujahid Yusuf Rawa baru-baru ini berkenaan dakwah Dr Zakir Naik menarik perhatian ramai ahli masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan serta respon yang sangat mengejutkan. Dikatakan bahawa dakwah yang dilakukan oleh Dr Zakir Naik tidak sesuai kerana merendahkan agama lain dan tidak sesuai dengan budaya negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk. Hakikatnya, cara dakwah yang dimaksudkan oleh Dr Mujahid hanyalah mengikut hawa nafsu dan ‘selera’ masyarakat majmuk serta orang kafir mahupun liberal yang tidak sukakan dan bencikan kebenaran Islam. Cara dakwah yang bagaimana lagi yang paling baik menurut Dr Mujahid untuk masyarakat Malaysia? Tidakkah beliau sedar bahawa tiada satu negara di atas dunia saat ini yang tidak mempunyai masyarakat majmuk di dalamnya?

Dakwah yang dilakukan oleh Dr Zakir Naik tidak lain tidak bukan hanyalah menunjukkan kebenaran Islam dan kebatilan agama-agama lain melalui perbandingan Al-Quran dan kitab-kitab agama lain. Menunjukkan kebatilan agama lain bukan bermakna mengeji agama lain terang-terangan. Malah dalam Al-Quran juga Allah SWT menegaskan bahawa agama yang benar dan mendapat redha di sisi-Nya hanyalah Islam semata-mata. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan barangsiapa mencari agama selain agama Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi” [TMQ ali-‘Imran(3): 85].

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab, kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya” [TMQ ali-‘Imran(3): 19].

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

“Dialah (Allah Ta’ala) yang mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya (agama itu) atas semua agama (lainnya), walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” [TMQ at-Taubah(9): 33].

Begitulah di antara dalil-dalil daripada al-Quran yang menunjukkan bahawa hanya Islam-lah agama yang diterima di sisi Allah SWT. Hal ini membuktikan bahawa dakwah yang dilakukan oleh Dr Zakir Naik selari dengan perintah Allah SWT. Dari segi pelaksanaannya juga sesuai dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Dengan menelurusi sirah Rasulullah SAW, telah jelas bahawa Rasulullah SAW berdakwah dan berdebat dengan orang-kafir musyrikin untuk menunjukkan kebatilan agama dan kepercayaan mereka seperti berhala dan lain-lain lagi kesesatan pemikiran mereka dan seterusnya membuktikan kebenaran yang dibawa oleh Islam.

Oleh itu, apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri yang memegang portfolio agama Islam adalan dengan menjaga, memberi sokongan dan dokongan kepada ulama dan pendakwah yang ikhlas menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat, bukannya dengan memberi kenyataan yang memberi persepsi buruk dan negatif kepada Islam itu sendiri. Dari sudut lain, Dr Mujahid seolah-olah lebih bersikap lunak kepada pejuang idea liberalisme berbanding dengan golongan agamawan dan pendakwah. Sekiranya Dr Mujahid sudi menerima kedatangan golongan maksiat LGBT seperti Nisya Ayub yang mendokong dan memperjuangkan idea liberalism untuk mendengar pandangan dan keluhan mereka, jadi mengapa tidak dilakukan perkara yang sama terhadap Dr Zakir Naik iaitu berjumpa dan berbincang dengan beliau, walhal inilah yang sepatutnya dan yang paling utama untuk dilakukan demi kepentingan Islam di Malaysia sebagaimana slogan Islam Rahmatan lil -Alamin yang selalu dicanang-canangkan.

Dzikri Asmawi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia