SN493 – Debat: Mencari Kebenaran, Kemenangan, Publisiti Atau Hanya Kerana Ego?

PDF

SN Keluaran 11 Jamadil Akhir 1438H/10 Mac 2017

SN493 - Debat Mencari Kebenaran

[SN493] Sejak kebelakangan ini, isu perdebatan memanaskan suasana perbincangan di media sosial, lebih-lebih lagi apabila terdapat cabaran daripada satu pihak ke atas pihak yang lain. Jika dulu perdebatan lebih banyak popular dalam kalangan politikus, tetapi kini ia semakin popular dalam kalangan agamawan. Para pengamat dan peminat media sosial pula sering bertindak sebagai batu api dalam usaha memanaskan lagi suasana, sehingga ke tahap memuji dan memperlekeh pihak-pihak yang ingin berdebat dengan cara yang melampau. Isu perdebatan ini biasanya bermula daripada sikap tuduh-menuduh dan tuding menuding di antara satu pihak dengan pihak yang lain, dalam rangka mempertahankan pendapat atau tindakan masing-masing dan menyalahkan pendapat atau tindakan orang lain. Mahu tidak mahu, kita terpaksa akui bahawa setiap orang ada ego yang tersendiri dan apabila egonya tercabar, sudah semestinya akan dipertahankan, baik dengan cara yang benar mahupun salah.

Manakala dari sudut yang lain, isu perdebatan yang diperbesar-besarkan oleh media sosial bukan sahaja telah menaikkan ego pihak-pihak yang terlibat, tetapi sedikit-sebanyak telah melarikan fokus umat Islam daripada masalah yang sebenar. Tatkala umat Islam dilanda pelbagai masalah akibat penerapan sistem sekular dan penyelewengan oleh pemerintah, hak umat Islam dirampas, kos hidup semakin tinggi, kadar jenayah yang menakutkan, sistem pergaulan yang koyak rabak, negara yang semakin terjajah dek pengkhianatan pemerintah dan seribu satu masalah lainnya, ketika ini jugalah isu debat dipalu oleh pihak-pihak tertentu, seolah-olah perkara yang ingin diperdebatkan itu merupakan masalah utama umat Islam, yang dengan debat, akan selesailah segala masalah! Hakikatnya, isu yang dibawa lebih banyak bersifat cabang yang muncul daripada kenyataan-kenyataan peribadi atau melibatkan kepentingan kelompok/individu sahaja, bukannya melibatkan kemaslahatan ummah. Dengan melihat kepada ahli panel debat dan tajuk-tajuk yang ingin diperdebatkan pula, sesungguhnya setiap orang yang jernih hati dan pemikirannya sudah dapat menilai apakah debat tersebut sebenarnya bertujuan mencari kebenaran atau sekadar mencari publisiti atau sekadar menjadi medan untuk melampiaskan ego masing-masing.

Debat Menurut Islam

Berdebat iaitu al-jadal adalah al-tahawur (berdiskusi atau berdialog). Al-jadal didefinisikan sebagai penyampaian hujah atau yang disangka sebagai hujah oleh dua pihak yang berbeza pendapat. Berdebat bertujuan untuk membela pendapat atau mazhabnya, membatalkan hujah lawan dan mengubahnya kepada pendapat yang tepat dan benar menurut pandangannya. Di dalam Islam, berdebat adalah termasuk perkara yang diperintahkan syarak untuk menetapkan kebenaran dan membatalkan kebatilan, sebagaimana firman Allah SWT, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” [TMQ an-Nahl (16):125]. Dalam firmanNya yang lain, “Katakanlah, ‘Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar” [TMQ al-Baqarah (2):111)]

Berdebat sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada diri seorang Muslim, apatah lagi seorang pengembang dakwah, kerana tugas seorang Muslim atau pengembang dakwah ialah sentiasa menyeru kepada kebenaran dan menghapuskan kebatilan, melakukan amar makruf nahi mungkar dan memerangi pemikiran yang sesat lagi batil. Semua ini merupakan kewajipan ke atas setiap Muslim. Oleh sebab itu, sekiranya berdebat menjadi salah satu uslub (cara/teknik) yang perlu dalam menyempurnakan aktiviti yang wajib tersebut, maka berdebat menjadi suatu kewajipan pula berdasarkan kaedah syarak, “Suatu kewajipan yang tidak sempurna (perlaksanaannya) tanpa sesuatu, maka sesuatu itu (hukumnya) wajib.”

Cuma perlu difahami bahawa di dalam Islam, perdebatan adalah untuk mencari kebenaran sekaligus memperbetulkan segala pendapat dan keyakinan yang salah. Seterusnya hasil yang diharapkan daripada perdebatan tersebut adalah agar terungkapnya pendapat mana yang benar atau kuat dan pendapat mana yang salah atau lemah. Apabila suatu pendapat atau keyakinan tersebut terbukti lemah dan salah, maka pendapat itu mestilah ditinggalkan dengan sikap lapang dada dan penuh keikhlasan, lalu berpegang kepada pendapat yang benar atau kuat.

Dalam aktiviti dakwah, debat dengan orang-orang kafir dalam rangka menegakkan kebenaran Islam dan menghapuskan kebatilan kekufuran memang merupakan lumrah. Namun demikian, debat sesama Muslim juga merupakan suatu yang lumrah dalam rangka mencari kebenaran. Apa yang perlu difahami ialah, selain memperbolehkan debat, dalam masa yang sama Islam telah menetapkan hukum dan panduan dalam berdebat agar mereka yang ingin melakukannya tidak terjerumus ke dalam perdebatan yang sia-sia dan lebih buruk, terjerumus ke dalam dosa, akibat melanggar hukum dan adab debat yang digariskan oleh Islam.

Perdebatan Yang Dilarang Dan Yang Dibolehkan

Walaupun Islam membolehkan debat, namun begitu terdapat debat yang dilarang dan dicela secara syarie sehingga menjadi satu bentuk kekufuran, seperti berdebat tentang Allah SWT dan ayat-ayatNya. FirmanNya, “(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (ke atas mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman” [TMQ Ghafir (40):35]. Berdebat tentang al-Quran untuk menetapkan bahawa al-Quran itu bukan mukjizat atau bukan berasal daripada Allah SWT juga merupakan kekufuran. Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah, “Berdebat tentang al-Quran adalah kekufuran” [HR Ahmad].

Debat yang diperintahkan oleh syarak adalah yang dilakukan berdasarkan dalil (hujah) atau syubhah al-dalil (yang disangka sebagai dalil). Selain daripada itu, ia dinamakan syaghab (penyimpangan) atau takhlith (mencampuradukkan yang hak dan batil). Ibnu Aqil mendefinisikan syubhah sebagai sesuatu yang disangka oleh satu mazhab sebagai suatu kebenaran, padahal kenyataannya tidak demikian. Manakala Ibnu Hazm mengertikan syaghab sebagai tindakan merekayasa hujah yang batil dengan menggunakan premis-premis yang rosak yang akan menggiring orang kepada kebatilan, yang juga disebut sebagai safsathah (mengelabui). Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa syaghab adalah berdebat tanpa menggunakan dalil mahupun syubhah al-dalil.

Seseorang Muslim itu tidak seharusnya suka mencari-cari perdebatan atau ingin terus terjun ke dalam perdebatan dalam setiap hal. Ya benar, al-Quran telah menjadikan debat sebagai salah satu uslub dalam menyampaikan kebenaran Islam, tetapi ini tidak bererti yang al-Quran memerintahkan kita untuk senang dalam berdebat atau bersikap suka mencari-cari perdebatan. Seorang Mukmin seharusnya memahami bahawa perdebatan hanyalah salah satu uslub (cara) dalam dakwah, tetapi bukan satu-satunya. Seharusnya debat dijadikan jalan terakhir dalam dakwah setelah dilakukan uslub-uslub lain yang lebih menyenangkan kedua-dua pihak, bukan sebaliknya mengawali dakwah dengan jalan perdebatan atau berbantah-bantahan antara satu sama lain. Firman Allah SWT, “Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar” [TMQ al-Anfal (8):46].

Sekiranya debat sudah menjadi jalan terakhir dalam usaha menegakkan hujah, maka amat penting untuk diperhatikan siapakah lawan debat kita. Hal ini penting kerana lawan debat seharusnya seorang yang kita kenali sebagai orang yang menginginkan atau mencari kebenaran, bukan seseorang yang jenis suka berdebat atau menjadikan debat sebagai jalan meraih agenda peribadi atau tujuan duniawi lainnya. Rasulullah SAW mengingatkan, “Tidak ada satu kaum yang tersesat setelah mendapat petunjuk, melainkan kerana mereka suka berdebat.’ Kemudian Rasulullah SAW membaca (Surah al-Zukhruf ayat 58), ‘Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar” [HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad].

Namun, jika sewaktu berdebat barulah diketahui bahawa lawan debat kita itu adalah termasuk orang yang bukannya ingin mencari kebenaran, maka segeralah meninggalkan orang seperti itu dan beristighfarlah kepada Allah SWT agar kita tidak terus larut ke dalam debat yang tidak bermanfaat yang boleh menjerumuskan ke dalam dosa. Firman Allah SWT, “Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu)” [TMQ al-An’am (6):68]. Dalam ayat lain, Allah SWT mengingatkan, “Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam” [TMQ al-Nisa’ (4):140].

Larangan Allah SWT agar kita tidak duduk berserta (bersama) dengan golongan tersebut, termasuklah duduk dalam satu forum, satu pentas, satu perbincangan dan seumpamanya, sehingga keberadaan kita dalam majlis tersebut seperti meredhai atau mengesahkan majlis yang memperolok ayat-ayat Allah. Maka, kita diperintahkan untuk meninggalkan majlis tersebut demi menjaga keimanan dan ketakwaan kita agar tidak turut terlibat dalam melakukan perbuatan dosa dan sia-sia seperti golongan tersebut. Daripada berdebat, melayani atau mendengar golongan seumpama itu, lebih baik kita melakukan amal soleh. Setengah jam dihabiskan untuk berdakwah kepada mereka yang mencari kebenaran, jauh lebih baik daripada setengah jam dihabiskan secara sia-sia berdebat dengan orang yang tidak menginginkan kebenaran.

Adab Dan Etika Debat Dalam Islam

Sesungguhnya Islam telah menggariskan begitu banyak adab dan etika dalam berdebat yang dapat ditelaah daripada kitab-kitab yang telah ditulis oleh para ulama yang ikhlas. Antaranya yang utama ialah kita hendaklah meletakkan ketakwaan kepada Allah SWT yang bermaksud taqarrub (mendekatkan diri) kepadaNya dan mencari redhaNya dengan menjalankan perintahNya dalam setiap perdebatan. Niat berdebat hendaklah untuk mencari kebenaran dan melenyapkan kebatilan semata-mata, dan bukannya diniatkan untuk menang, mengalahkan, memaksa hujah dan mengaibkan lawan. Debat juga bukan dilakukan untuk mencari populariti, kebanggaan, kedudukan, meraih dukungan, sengaja mahu berbalah atau ingin dipuji. Debat mestilah diniatkan untuk memberikan nasihat kepada (mengingati) Allah SWT, agamaNya dan lawan debatnya. Ini kerana agama (Islam) adalah nasihat.

Apabila niat telah diluruskan, maka berdebatlah dan awali debat dengan memuji dan bersyukur kepada Allah SWT dan membaca selawat kepada RasulNya, seterusnya memohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar diberi taufik dan hidayah terhadap perkara yang diredhaiNya di sepanjang perdebatan. Berdebatlah dengan cara yang baik dan dengan pandangan serta suasana yang baik, sebagaimana pesan Rasulullah SAW, “Sesungguhnya petunjuk yang baik, cara yang baik dan tidak berlebih-lebihan adalah satu bahagian daripada dua puluh lima bahagian kenabian” [HR Ahmad dan Abu Daud]. Berdebatlah dengan singkat dan padat dalam perbicaraan iaitu berbicara sedikit, menyeluruh dan fasih. Terlalu banyak bicara akan mengundang kebosanan dan juga lebih mudah menimbulkan kekeliruan, kelemahan dan kesalahan.

Selain itu, amat penting untuk terlebih dahulu berpakat dengan lawan debat terhadap asas atau tajuk yang menjadi rujukan kedua-duanya dalam perdebatan tersebut dan berdebat dengan tidak lari atau terkeluar daripada asas atau tajuk tersebut. Asas perdebatan dengan orang-orang kafir hendaklah dibezakan dengan asas perdebatan dengan sesama Muslim, kerana perbezaan akidah antara kita dan mereka. Jangan merendah-rendahkan lawan diskusi atau memperlekehkan persoalannya. Dalam masa yang sama mesti menjauhi al-hiddah dan al-dhajjar (kebodohan) dalam berdiskusi. Seseorang pendebat juga tidak seharusnya emosi atau meninggikan suara dan hendaklah bersabar dengan lawan diskusi dan memaafkan kesalahannya. Tatkala berdebat, mesti berusaha memahami perkara yang disampaikan oleh lawan debat agar boleh membantahnya dan tidak sayugia meneruskan bicara sebelum lawan selesai bicara. Amat penting untuk sentiasa ingat bahawa seseorang Muslim itu tidak boleh berdebat dengan merasa riya’, hebat dan takjub terhadap pendapat sendiri dan tidak sombong atau ego untuk menerima kebenaran ketika kebenaran itu telah tampak pada lisan lawannya.

Khatimah

Fitnah ke atas Islam yang diakibatkan oleh golongan yang suka bersengketa dan berdebat memang berlaku sejak dulu. Ia berpunca daripada keegoan masing-masing yang tidak dapat menerima pendapat orang lain yang berbeza dengannya sehingga akhirnya berlaku tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, sesat-menyesatkan malah sampai ke tahap kafir-mengkafir dan saling berbunuhan. Mereka memilih untuk memusuhi sesama Muslim yang tidak sependapat dengan mereka, sehingga membenci dan memusuhinya dengan sungguh-sungguh dan dianggap jauh lebih berbahaya dari Amerika dan Yahudi, hanya kerana perbezaan pendapat! Walhal masing-masing mengaku diri mereka sebagai golongan yang paling mengikuti Sunnah! Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala persengketaan, keburukan dan perpecahan dan menyatukan hati-hati kita dan mempersatukan umat ini di dalam kebenaran dan di dalam sebuah negara yang diredhaiNya, al-Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Amin ya Rabbal alamin.