SN672 – Global South Untuk Susunan Baru Dunia – Satu Idea Fatamorgana

Bil: SN672 (PDF/Print) – 19 Zulkaedah 1446 / 17 Mei 2025

Sekembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua pada awal tahun ini telah menyaksikan pelaksanaan dasar-dasar drastik yang mencetuskan ketidakstabilan global. Situasi ini disuarakan oleh Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Mohamad Hasan, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Rakan Kongsi BRICS 2025 yang berlangsung di Brazil pada April lalu. Beliau menyatakan: “Kestabilan dan keselamatan ekonomi dunia yang selama ini dijanjikan oleh hegemoni kini semakin terhakis. Oleh itu, kita perlu merintis laluan baharu ke hadapan.”

Malaysia menggesa negara-negara Global South — yang merujuk kepada negara-negara membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin, dan Oceania — agar mengambil peluang untuk membina suatu susunan dunia baharu yang mampu menggantikan sistem global sedia ada [BH-29/04/25].

Sautun Nahdhah kali ini mengajak para pembaca untuk memahami konsep susunan dunia, menilai keupayaan negara-negara Global South dalam membentuknya, serta meneliti apakah sikap sebenar yang seharusnya diambil oleh umat Islam terhadap perubahan susunan dunia ini.

Apakah itu Susunan Dunia (World Order)?

Susunan Dunia atau  World Order merujuk kepada struktur kuasa dan aturan politik antarabangsa yang mengatur interaksi antara negara-negara di dunia. Ia merangkumi persoalan tentang siapa yang memimpin dunia, sistem nilai apa yang mendasari hubungan antarabangsa, mekanisme apa yang digunakan untuk menyelesaikan konflik, menetapkan peraturan perdagangan, dan menjamin keselamatan global.

Sekiranya dunia dipimpin oleh satu kuasa tunggal, ia dikenali sebagai susunan dunia unipolar. Jika terdapat dua kuasa besar yang saling mendominasi, maka ia dinamakan susunan dunia bipolar. Namun, sekiranya wujud beberapa pusat kuasa yang berkongsi pengaruh tanpa satu pun yang memiliki kuasa mutlak, maka struktur tersebut disebut sebagai susunan dunia multipolar.

Selepas Perang Dunia Kedua, dunia telah terbahagi kepada dua blok kuasa utama: AS  sebagai peneraju kapitalisme liberal di Blok Barat, dan Kesatuan Soviet sebagai pemimpin komunisme sosialis di Blok Timur. Pada ketika itu, dunia berada dalam susunan dunia bipolar, di mana AS dan Kesatuan Soviet bersaing dalam usaha memimpin dunia, menetapkan nilai-nilai yang mendasari hubungan antarabangsa, serta mempengaruhi penyelesaian konflik dan penentuan keamanan sejagat.

Kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991 telah membuka laluan kepada AS untuk muncul sebagai satu-satunya kuasa hegemonik global. Peristiwa ini menandakan permulaan kepada susunan dunia unipolar, di mana Amerika mendominasi hubungan antarabangsa, ekonomi global, ketenteraan, serta pelbagai bidang strategik yang lain.

AS mengeksploitasi institusi-institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Bank Dunia untuk memimpin dunia dan membentuk undang-undang antarabangsa yang sejajar dengan kepentingan serta nilai-nilainya. Antara nilai yang dipaksakan secara global termasuklah sekularisme, liberalisme, demokrasi, kapitalisme, dan globalisasi.

Selain itu, AS melancarkan agenda ‘Perang Melawan Keganasan’ (War on Terror) yang digunakan sebagai alasan untuk menyerang Islam dan nilai-nilainya, yang dilihat ketika itu sebagai satu-satunya ideologi yang berpotensi mencabar dominasi unipolar Amerika.

Akibatnya, dunia menyaksikan bagaimana AS secara terang-terangan melancarkan serangan yang brutal serta membunuh secara kejam, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas di negara-negara seperti Afghanistan, Iraq, Syria, Libya, Yaman, dan lain-lain — tanpa sebarang tindakan berkesan daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikannya. Ini termasuk sokongan yang diberikan AS ke atas entiti haram Yahudi dalam melakukan genosid ke atas penduduk Palestin.

Kemerosotan Unipolar Amerika

Dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, AS mula mengalami kemerosotan dari segi ekonomi. Melalui agenda globalisasi ekonomi yang didokongnya sendiri, banyak syarikat pembuatan dan teknologi dari AS telah memindahkan operasi ke negara-negara luar untuk mendapatkan kos buruh yang lebih murah. Akibatnya, AS mengalami defisit perdagangan yang semakin parah.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh peningkatan hutang negara yang berpunca daripada perbelanjaan besar terhadap peperangan di Timur Tengah dan Ukraine — konflik yang tidak membuahkan hasil strategik yang diharapkan. Sehingga kini, hutang negara AS telah mencecah lebih USD 34 trilion!

Akibat daripada kemerosotan pengaruh global, pentadbiran AS kini menyedari bahawa prinsip keadilan ekonomi yang selama ini dijajanya, serta susunan dunia ciptaannya seperti globalisasi, tidak lagi berkesan untuk mengekalkan hegemoni mereka. Justeru, nilai-nilai dan struktur tersebut mula ditinggalkan secara terang-terangan.

Akibatnya, Amerika Syarikat semakin dilihat tidak lagi layak memimpin dunia. Negara-negara lain mula mengalihkan perhatian kepada kuasa-kuasa atau gabungan kuasa alternatif seperti China, BRICS, Kesatuan Eropah dan kumpulan negara-negara Global South.

Sebahagian besar pakar geopolitik, termasuk dalam Munich Security Report 2025, mentafsirkan keadaan dunia hari ini sebagai satu peralihan daripada susunan dunia unipolar kepada susunan dunia multipolar.

Mampukah Global South membina susunan dunia baru (new world order)?

Bagi membolehkan sesebuah negara membentuk susunan dunia, ia bukan sahaja perlu memiliki kekuatan ketenteraan dan ekonomi, bahkan juga memerlukan sebuah ideologi yang jelas serta mesej yang bersifat universal untuk dikembangkan ke seluruh dunia. Hanya dengan gabungan kekuatan ideologi, ketenteraan dan ekonomi, barulah sesebuah kuasa dapat membina pengaruh politik yang kukuh di peringkat global.

Sebagai contoh, Kesatuan Soviet berjaya menyaingi AS dalam susunan dunia bipolar kerana ia memiliki ideologi komunisme di samping kekuatan ketenteraan dan ekonominya. Begitu juga AS yang mendominasi dunia sehingga kini dengan menggabungkan kekuatan ideologi kapitalisme, keupayaan ketenteraan dan pengaruh ekonomi global.

Sebaliknya, Global South hanyalah sebuah gabungan longgar negara-negara membangun yang berkongsi kepentingan ekonomi bersama. Negara-negara ini masih bergantung kepada teknologi ketenteraan dari Barat, China atau Rusia, dan lebih penting lagi — tidak memiliki satu ideologi atau mesej universal yang mampu diangkat dan disebarkan ke seluruh dunia sebagai asas kepada kepimpinan global.

Justeru itu, seruan untuk Global South membentuk suatu susunan dunia baharu tanpa asas ideologi dan kekuatan tersendiri hanyalah merupakan retorik kosong yang tidak berpijak di bumi nyata.

Islam: Harapan Bagi Susunan Dunia Baharu

Susunan dunia yang dipimpin oleh Islam bukanlah satu idea utopis, sebaliknya merupakan suatu realiti sejarah yang tidak boleh disangkal. Islam memiliki seluruh resipi asas untuk membentuk sebuah susunan dunia yang adil, stabil, dan menyeluruh.

Pertama, kekuatan Islam terletak pada kebenaran aqidahnya yang datang daripada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur. Ia bukan sistem buatan manusia seperti kapitalisme atau komunisme, tetapi satu sistem Ilahi yang sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.” [Surah Ali ‘Imran (3): 19]

Berdasarkan aqidah dan ideologi ini, Islam telah melahirkan satu sistem pemerintahan yang dikenali sebagai Khilafah Islamiyyah, yang telah terbukti membentuk susunan dunia yang kukuh. Khilafah bukan sahaja menyebarkan mesej Islam ke seluruh dunia, malah membina sebuah tamadun yang unggul dan bertahan selama berabad-abad lamanya. Sejak abad ke-7 sehingga abad ke-16, dunia menyaksikan bagaimana sistem Islam mengatur urusan manusia — penggunaan mata wang dinar dan dirham, sistem ekonomi bebas riba, penguasaan jalur perdagangan antarabangsa, serta kemajuan ilmu dan sains — menjadi bukti kukuh bahawa Islam pernah memimpin susunan dunia yang paling berpengaruh dalam sejarah.

Kedua, negara-negara umat Islam hari ini memiliki sumber kekayaan bumi yang melimpah serta populasi yang besar — satu kelebihan untuk membentuk kekuatan ekonomi yang dominan. Ditambah pula dengan kedudukan geografi strategik di sepanjang laluan perdagangan dunia, umat Islam memiliki potensi ekonomi global yang sangat signifikan.

Ketiga, meskipun kekuatan ketenteraan umat Islam pada masa kini tidak sepenuhnya terintegrasi atau setanding kuasa besar dunia, namun apabila negara-negara umat Islam disatukan di bawah satu kepimpinan — Khilafah — gabungan kekuatan ini cukup untuk menyaingi mana-mana kuasa termasuk Amerika dan China.

Ketiga-tiga faktor ini — aqidah dan ideologi yang sahih, sumber ekonomi dan manusia yang melimpah, serta potensi ketenteraan yang boleh digabungkan — menjadikan Islam satu-satunya harapan bagi mengembalikan susunan dunia yang adil dan berperikemanusiaan. Ia mampu menghapuskan kezaliman yang sedang berlaku, menjamin hak setiap manusia, dan meletakkan umat Islam sebagai umat terbaik. Firman Allah SWT:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (faedah) umat manusia; (kerana) kamu menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah.” [Surah Ali ‘Imran (3): 110]

Kesimpulan

Kemerosotan hegemoni unipolar AS seharusnya membuka mata umat Islam bahawa hanya Islam merupakan satu-satunya ideologi yang benar-benar mampu membina semula susunan dunia yang adil, sejahtera dan berlandaskan fitrah manusia. Malangnya, para pemimpin umat Islam hari ini lebih cenderung menaruh harapan kepada Global South sebagai alternatif, meskipun mereka sendiri beriman dengan aqidah Islam. Tanpa asas ideologi yang sahih, segala usaha ke arah pembentukan susunan dunia baharu hanyalah akan menjadi retorik kosong — ibarat fatamorgana di tengah padang pasir.

Wahai umat Islam! Inilah saatnya untuk kalian meyakini kekuatan agama kalian sendiri. Islam bukan sekadar agama rohani semata-mata, bahkan ia merupakan satu sistem hidup yang menyeluruh. Maka marilah kita bersatu untuk menegakkan semula Khilafah Islamiyyah sebagai payung kepimpinan umat yang akan menjadi teras kepada susunan dunia baharu yang benar-benar adil dan membawa rahmat ke seluruh alam.