Diskusi Meja Bulat “Untukmu Gaza” tegaskan jihad dan Khilafah sebagai solusi Palestin
PUTRAJAYA 18 Mei 2025 – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan satu Diskusi Meja Bulat bertemakan “Satu Ummah, Satu Perjuangan – Menuju Pembebasan Palestin” di Putrajaya hari ini, yang menghimpunkan para aktivis, tokoh masyarakat dan wakil-wakil pertubuhan yang prihatin terhadap isu Palestin.
Diskusi dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Majlis Pimpinan Pusat HTM, Dr. Tarmizi Salleh, yang antara lain membangkitkan persoalan kenapa isu Palestin tidak dapat diselesaikan meskipun pelbagai bantuan telah diberikan kepada rakyat Palestin sejak sekian lama.
Majlis kemudian disambung dengan pembentangan khas oleh Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman bertajuk “Untukmu Gaza: Jihad Dan Khilafah”. Ustaz Hakim menegaskan bahawa masalah Palestin tidak pernah selesai kerana pengkhianatan dari para penguasa kaum Muslimin, yang tidak pernah berusaha untuk membebaskan Tanah Yang Diberkati itu dengan jalan yang benar.
Dalam masa yang sama, pelbagai bantuan yang dikirim ke Palestin hanyalah untuk membantu mangsa (kaum Muslimin) sedangkan pemangsa (Yahudi) dibiarkan. Pemangsa mesti dihapuskan, barulah masalah akan selesai, dan satu-satunya cara untuk menghapuskan pemangsa ialah dengan jihad fi sabillah yang dilancarkan oleh penguasa dan tentera kaum Muslimin, tegas Jurucakap HTM itu.
Abdul Hakim juga menekankan peranan para tokoh dalam merespons secara positif fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Sedunia berkenaan kewajipan jihad ke bumi Palestin, memandangkan para penguasa umat Islam terus membisu terhadap fatwa tersebut.
Jurucakap HTM itu seterusnya melahirkan keyakinan yang para penguasa dan tentera tidak akan bergerak, dan atas dasar itu beliau menyeru tokoh-tokoh yang hadir untuk bersama atau setidaknya mendukung perjuangan menegakkan Khilafah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir. “Hanya inilah satu-satunya harapan yang kita ada setelah melihat selama lebih 70 tahun, tidak ada seorang penguasa pun yang menghantar tentera untuk berjihad menghapuskan entiti Yahudi dan membebaskan keseluruhan Tanah Palestin Yang Diberkati”, tegas beliau.
Majlis kemudian dibuka kepada diskusi di mana para tokoh memberikan respons terhadap solusi yang dibentangkan. Pelbagai reaksi diberikan dengan sebahagiannya bersetuju, dan sebahagian yang lain melihat masih banyak masalah dan halangan yang perlu diatasi sebelum mencapai solusi yang ditawarkan.
Majlis kemudian ditutup dengan pembacaan deklarasi “Untukmu Gaza” oleh Jurucakap HTM dan diikuti dengan tandatangan oleh para tokoh ke atas plak deklarasi yang disediakan sebagai tanda sokongan terhadap deklarasi.
Walaupun kata sepakat tidak dapat dicapai dalam semua perkara, namun Diskusi Meja Bulat ini memberi mesej bahawa kita sentiasa prihatin terhadap isu Palestin, dan kita mahukan Tanah Palestin Yang Diberkati kembali ke pangkuan umat Islam suatu hari nanti.