Turun Anwar, selesaikah masalah?
BULETIN HTM – Rancangan pembangkang untuk mengadakan satu demonstrasi besar-besaran dengan tema “Turun Anwar” pada 26 Julai ini nampaknya semakin mendapat sambutan. Demonstrasi ini dilihat sebagai manifestasi kemarahan rakyat terhadap Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sudah terbukti “cakap tak serupa bikin”.
Rakyat kini sudah merasa dizalimi dengan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan peluasan cukai, di samping isu-isu lain yang menunjukkan kegagalan Anwar mentadbir negara, termasuklah isu terbaru mengenai kemelut pelantikan hakim, yang semua ini telah menyumbang kepada gelombang kemarahan rakyat yang tidak lagi terbendung.
Demikian menurut Ustaz Abdul Hakim Othman dalam rancangan Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM, yang disiarkan secara live pada 18/07/2025. Menurut beliau, fenomena mendesak Perdana Menteri meletak jawatan ini sudah berlaku sejak lama, yang ketara sejak zaman Dr. Mahathir lagi, dan ia terus berlaku dari satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri hingga kini.
Malangnya, kata beliau lagi, masih ramai rakyat yang tidak nampak bahawa masalah rakyat tidak pernah selesai walaupun Perdana Menteri sudah jatuh dan diganti dengan yang lain. Ini kerana, masalah yang dihadapi rakyat dan negara bukan semata-mata diakibatkan oleh individu Perdana Menteri itu sendiri, tetapi yang lebih besar ialah akibat daripada “sistem” yang diterapkan oleh mereka yang berkuasa.
Atas dasar itu, masalah tetap berulang, kerana sistem yang membelenggu rakyat masih sistem yang sama, iaitu demokrasi sekular. Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa sistem inilah yang harus disasarkan sebagai punca sebenar. Katanya, demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan manusia, bukan di tangan Allah, menyebabkan hukum-hukum Allah dicampakkan daripada pemerintahan, diganti dengan hukum-hukum buatan manusia. Oleh itu, letaklah siapa pun di kerusi pemerintahan, hatta orang paling soleh sekalipun, selagi sistem itu adalah demokrasi, dia tetap akan hanyut dan tenggelam bersama sistem itu, dan rakyat pula tetap menderita, ujarnya.
Ustaz Hakim menjelaskan bahawa tidak ada salahnya untuk melakukan demonstrasi mendesak Anwar turun, tetapi niat hendaklah betul. Jadikan demonstrasi sebagai salah satu bentuk amar makruf nahi mungkar, bukannya berdemonstrasi atas dasar emosi semata-mata. Amar makruh nahi mungkar hendaklah berteraskan Islam. Kalau kita mahu Perdana Menteri meletak jawatan, ini kerana dia tidak menerapkan Islam dalam pemerintahannya, atau kerana dia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam, itulah niat yang sepatutnya,” tegas beliau.
Jurucakap HTM itu seterusnya menyeru umat Islam memfokuskan usaha mereka kepada pertukaran sistem, bukannya pertukaran individu semata-mata. “Solusi sebenar kepada masalah yang melanda rakyat dan negara ini adalah dengan menggantikan sistem demokrasi sekular kepada sistem Khilafah Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah secara menyeluruh,” ujar beliau.
Di akhir sesi, beliau mengingatkan mereka yang ingin menyertai demonstrasi bahawa selagi sistem demokrasi kufur warisan penjajah ini tidak ditukar, tetapi yang ditukar hanyalah pemimpinnya, maka mereka akan menyesal suatu hari nanti, sebagaimana peserta demonstrasi Bersih dan lain-lain demonstrasi sebelum ini, yang telah berusaha untuk menjatuhkan seseorang dan menaikkan seseorang yang lain, akhirnya yang naik itu sama sahaja, malah ada yang lebih buruk perangainya dengan yang telah jatuh. Untuk tidak menyesal di kemudian hari, berusahalah untuk menjatuhkan sistem demokrasi kufur ini dan menggantikannya dengan sistem Islam (Khilafah), nasihat beliau.