Darurat: Selesaikah Masalah?

Beberapa hari selepas UMNO mengumumkan “gencatan politik” yang lebih dilihat sebagai tindakan untuk menyelamatkan diri, kini negara berhadapan pula dengan isu darurat hasil mesyuarat kabinet semalam, yang telah pun diserahkan keputusannya kepada YDPA. Pro dan kontra mula memanas di sosmed berkenaan isu darurat ini, yang menambahkan lagi kepanasan politik Malaysia yang sudah lama tidak menentu ini.

Tanpa perlu tenggelam kepada pembahasan dari segi undang-undang mengenai darurat, terdapat dua persoalan utama di sini iaitu pertama, adakah benar negara sekarang memerlukan pengisytiharan darurat, atau ia hanya keputusan politik untuk menyelamatkan diri dan parti? Persoalan kedua, dan lebih penting, adakah pengisytiharan darurat akan dapat menyelesaikan masalah kronik yang sedang melanda negara sekarang?

Untuk menjawab persoalan pertama, ia tidaklah susah dan sudah ramai pun yang menjawabnya dengan betul. Ringkasnya, orang politik sudah tentu tidak akan membuat suatu keputusan jika bukan untuk kepentingan politik mereka. Inilah sifir politik demokrasi yang cukup mudah, sebuah sifir berteraskan politik Machiavelli, yang asas kepada segalanya ialah manfaat. Apa yang penting ialah setiap keputusan mesti dibaluti dengan alasan ‘demi kepentingan rakyat dan negara’. Khalas.

Untuk persoalan kedua, jawapannya lebih subjektif dan tidak ramai yang dapat menjawabnya dengan betul. Ini kerana ia tergantung kepada apakah ‘bentuk penyelesaian’ yang akan diambil semasa darurat nanti. Jika penyelesaiannya tepat lagi benar, maka insya Allah sudah tentu masalah akan dapat diselesaikan. Namun jika penyelesaiannya sama sahaja seperti sebelumnya, atau lebih buruk dari sebelumnya, maka sudah pasti masalah tidak akan selesai.

Umum mengetahui bahawa darurat merupakan pilihan terakhir bagi kerajaan dalam sesebuah negara untuk menyelamatkan keadaan dalam negaranya. Dengan kata lain, jika semua kaedah penyelesaian telah pun diambil, tetapi gagal, maka pilihan terakhir ialah mengisytiharkan darurat. Jika darurat diisytiharkan, banyak perkara sudah tidak perlu mengikut perlembagaan atau undang-undang sedia ada. Inilah antara kepentingan darurat, yang salah satunya ialah untuk ‘survival’ politik pihak yang ingin mengisytiharkannya. Banyak perkara yang terlarang di sisi undang-undang akan menjadi ‘halal’, yang memberi kesempatan kepada pihak yang cuba menghalalkan segala perkara yang terlarang tersebut.

Maka berbalik kepada persoalan samada pengisytiharan darurat akan menyelesaikan masalah atau tidak – nah jika semasa darurat, kerajaan yang sama masih lagi memerintah, maka sudah pasti tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Ini kerana sebelum ini mereka sudah pun terbukti tidak dapat menyelesaikan masalah, dan atas dasar itulah mereka ingin mengisytiharkan darurat. Jadi, jika semasa darurat, kuasa tetap berada di tangan mereka, sudah pasti masalah tidak dapat diselesaikan!

Jika demikian, adakah sekiranya ada satu pihak (atau kerajaan) lain yang berkuasa semasa darurat, masalah akan dapat diselesaikan? Jawapannya tetap sama sekiranya pihak lain tersebut tetap mengguna pakai sistem yang sama. Apabila sistem dalam sesebuah kilang sudah usang, buruk dan rosak yang tidak dapat diperbaiki lagi, hingga menyebabkan banyak perkara lain tidak berfungsi dan menyebabkan kerosakan lainnya, maka pengurus yang paling baik sekalipun tidak akan dapat menyelamatkannya.

Penyelesaian sebenar bukan terletak kepada pengisytiharan darurat, atau siapa yang memerintah, tetapi terletak kepada sistem dan cara bagaimana masalah itu diselesaikan.

Sesungguhnya sistem demokrasi yang digunapakai di negara ini, yang bertentangan dengan wahyu, sudah lama rosak dan merosakkan. Sistem inilah yang menjadi punca kepada segala kemelut yang melanda, yang melahirkan para politikus yang gilakan kuasa dan saling berebut kuasa hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan satu sama lain. Sistem ini menggunakan akal manusia yang cetek lagi terbatas, dan bukannya wahyu, untuk menyelesaikan sebarang masalah. Kerana itu masalah tidak pernah dapat diselesaikan. Ia merupakan sebuah sistem yang tidak dapat diperbaiki lagi, malah ia telah melahirkan banyak kerosakan lainnya.

Negara ini bukan sahaja wajib diperintah oleh pemimpin yang baik, yang beriman lagi bertakwa, tetapi sistemnya juga wajib sistem yang benar. Undang-undangnya wajib undang-undang yang benar, dan cara penyelesaiannya wajib cara yang benar. Sistem dan undang-undang apakah yang benar, jika bukan yang datangnya dari Allah (swt)?

الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

“Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu” [Al-Baqarah (2): 147]

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka cari? Dan hukum siapakah yang lebih baik berbanding hukum Allah bagi mereka yang yakin?” [Al-Ma’idah (5): 50]

Kesimpulannya, cara yang wajib digunakan untuk menyelesaikan masalah hendaklah cara Islam. Undang-undang yang wajib digunakan untuk menyelesaikan masalah hendaklah undang-undang Islam. Sistem yang wajib digunakan untuk menyelesaikan masalah hendaklah sistem Islam…dan negara ini hendaklah menjadi Negara Islam yang berdiri di  atas jalan kenabian (Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah). Inilah penyelesaian sebenar kepada semua masalah.

Wallahu a’lam.