Solusi Sebenar Kepada Masalah Cabang

Jenayah berat yang semakin berleluasa bukan sahaja memeningkan kepala dan menakutkan semua pihak, malah membebankan lagi pemerintah dan pihak berkuasa. Itulah kesimpulan awal yang dapat diperkatakan. Dalam hal ini, kita dapati semua pihak sudah mula bersuara dan memberikan pelbagai respon terhadap musibah yang sedang melanda ini.

Secara fitrahnya, tidak kira sama ada individu, masyarakat mahupun negara, sudah pasti semua pihak tidak senang melihat perkara buruk ini berlaku. Dalam keadaan Malaysia yang selama ini dikatakan sebagai negara yang aman, namun secara statistiknya telah membuktikan di sebaliknya di mana kadar jenayah terutamanya kes pembunuhan sudah semakin menjadi-jadi dan mencapai tahap kronik. Kenyataan penyejuk hati yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu nampaknya tidak dapat menutup kepincangan yang semakin terus menyerlah. Keperihatinan PAS dalam menanggapi isu jenayah adalah sesuatu yang sangat baik. Sebagai sebuah parti politik Islam, sudah menjadi peranan dan tanggungjawabnya untuk terus menerus memberikan muhasabah dan masukan idea kepada pemerintah bagi menyelesaikan masalah yang melanda dalam masyarakat. Akan tetapi, perlu diketahui dan disedari bahawa segala masalah yang muncul dan berlaku dalam negara pada saat ini adalah sebenarnya berpunca daripada sistem yang diterapkan oleh pemerintah di samping sikap pemerintah itu sendiri yang dengan nyata telah menolak Islam untuk diterapkan secara kaffah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Firman Allah SWT,

“Dan barangsiapa yang berpaling ingkar daripada peringatanKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”
 
[TMQ Taha (20): 124].

Selagimana sistem yang diterapkan adalah sistem kufur kapitalisme-sekular-demokrasi, maka selagi itulah segala bentuk tindakan yang dilakukan oleh mana-mana pihak tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul itu secara tuntas. Oleh itu, sebarang tindakan yang ingin diambil perlu diketahui terlebih dahulu apakah masalah utama dan apakah masalah cabang. Jenayah yang berlaku pada hari ini adalah masalah cabang yang mana ia muncul daripada masalah utama iaitu tidak diterapkannya sistem Islam secara kaffah di tengah-tengah kehidupan umat pada ketika ini. Adalah agak malang apabila  terdapat gerakan Islam hanya memberikan solusi kepada masalah cabang dan bukannya  masalah utama dan ini sekali-kali tidak akan menyelesaikan masalah sekalipun pihak kerajaan sekular pimpinan Najib mencuba cadangan yang diberi. Realitinya, bagaimana mungkin kes-kes jenayah (masalah cabang) ini dapat diselesaikan jika Najib sendiri melakukan masalah utama dalam pemerintahannya dengan melanggar segala perintah Allah SWT dan tidak diterapkan hukum-hakamNya?. Inilah perkara utama yang wajib dilakukan sebagai umat Islam dalam usaha membanteras segala jenayah yang ada.

“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa  dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” [TMQ al-Maidah (5) :2].

Sila baca: mykhilafah.com, harakahdaily.net