Pengajaran dari Indonesia: Masalahnya bukan hanya pada individu, tapi sistem

Buletin HTM – Perkembangan politik di Indonesia sekali lagi membuka mata umat Islam tentang realiti sebenar kehidupan di bawah sistem demokrasi di sana. Dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM pada 5 September 2024, Ustaz Abdul Hakim Othman menegaskan bahawa apa yang berlaku di negeri jiran itu tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya pada umat Islam sangat besar, dan tidak mustahil hal yang sama boleh berlaku di Malaysia atau negeri-negeri umat Islam yang lain.

Jurucakap HTM itu menggariskan sekurang-kurangnya lima pengajaran utama yang harus diambil oleh umat Islam dengan perkembangan terbaru di Indonesia. Rakyat bangkit dalam skala yang luar biasa kerana melihat betapa korupnya pemimpin di saat rakyat jelata menderita kesusahan mencari sesuap nasi. Jurang perbezaan ekonomi yang sangat besar, ditambah dengan perangai sesetengah anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyakitkan hari rakyat, telah mencetuskan api kemarahan rakyat yang tidak lagi dapat dibendung, kata beliau.

“Walaupun kita tidak setuju dengan kerosakan, kemusnahan dan pencurian yang dilakukan oleh orang ramai, tetapi kita memahami hati nurani rakyat Indonesia yang sudah sekian lama hidup tertindas dan tertekan dengan kezaliman pemerintah, sehingga mereka bertindak sedemikian rupa”, ujar Ustaz Hakim.

Namun, sayangnya masih ramai dalam kalangan mereka yang bangkit itu tidak sedar bahawa punca kepada segala kerosakan negeri yang paling umat Islam itu, dan korupnya pemerintah, adalah kerana sistem demokrasi yang diamalkan. Pemerintah boleh menaikkan gaji dan elaun mereka sesuka hati, boleh mengenakan cukai yang sangat membebankan rakyat, boleh merampas harta rakyat serta melakukan segala kezaliman lainnya, hanya dengan menggubal undang-undang. Melalui kelulusan DPR, maka segalanya menjadi sah di bawah sistem demokrasi. Demikian tegas Jurucakap HTM itu.

Atas dasar itu, katanya lagi, kebangkitan rakyat seharusnya bukan sahaja kerana marahkan pemimpin yang korup, tetapi juga kerana sistem yang korup, yang membenarkan pemimpin untuk melakukan sewenang-wenangnya kepada rakyat. Sistem demokrasi tidak pernah berpihak kepada rakyat, tetapi hanya menguntungkan elit pemerintah. Bahkan, ia menjadi perisai kepada elit yang berkuasa untuk terus mempertahankan kedudukan mereka, manakala rakyat ditipu dan dipermainkan habis-habisan atas slogan ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’.

Selagi kebangkitan tidak diarah kepada pertukaran sistem, tetapi hanya pertukaran individu semata-mata, maka rakyat akan terus menanggung penderitaan. Arab Spring telah membuktikan kepada kita bahawa biarpun rakyat bangkit secara besar-besaran hingga rejim berjaya ditumbangkan, namun sayangnya apabila sistem pemerintahan sekular tetap kekal, maka tidak ada apa-apa perubahan mendasar yang dialami oleh umat Islam di sana, dan kezaliman tetap menyelimuti umat Islam. “Ini pengajaran penting yang perlu kita ambil dari apa yang berlaku”, tegas Ustaz Hakim.

Beliau menutup kupasan dengan seruan kepada umat Islam untuk berjuang bukan sahaja menukar rejim, tetapi juga menukar sistem kufur yang diterapkan oleh rejim, yang kedua-dua perkara ini mesti ditukar serentak. Umat Islam hanya akan dapat mengecapi kesejahteraan dan keadilan yang sebenar di bawah sistem Islam (Khilafah) yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang bertakwa.