SN681 – Global Sumud Flotila: Akibat Kegagalan Sistem Dunia
Bil: SN681 (PDF/Print) – 30 Rabi’ al-awwal 1447 / 22 Sept 2025
Global Sumud Flotila (GSF) merupakan sebuah inisiatif antarabangsa yang diumumkan pada pertengahan tahun 2025. Inisiatif ini dipimpin oleh gabungan masyarakat sivil dengan tujuan utama memecahkan sekatan laut terhadap Jalur Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada penduduk yang terkepung. Menurut laporan, flotila ini mendapat sambutan luas daripada lebih 44 negara, dengan penyertaan lebih 15,000 peserta berdaftar yang terdiri daripada aktivis kemanusiaan, doktor, sukarelawan, serta wakil-wakil NGO antarabangsa (berita.rtm.gov.my, 2025). GSF bukan sahaja dianggap sebagai misi kemanusiaan, tetapi juga sebagai simbol penentangan terhadap kegagalan sistem antarabangsa yang hingga kini gagal menghentikan pembunuhan serta penindasan berterusan terhadap rakyat Gaza tanpa penyelesaian konkrit.
Selain itu, GSF turut menjadi cabaran besar kepada peradaban moden yang sering mendakwa menjunjung nilai demokrasi, hak asasi manusia, dan keamanan global, namun kenyataannya membiarkan rakyat Palestin terus menderita akibat dasar-dasar pemerintah Israel. Sautun Nahdhah (SN) kali ini akan mengupas empat dimensi penting: mengapa GSF dilaksanakan; bagaimana sistem dunia dikawal oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat; mengapa keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York tidak dianggap penyelesaian sebenar; serta apakah bentuk penyelesaian tuntas yang dapat ditawarkan terhadap isu Gaza hari ini.
“When Governments Fail, We Sail”
Sejak lebih 17 tahun lalu, Gaza berada di bawah sekatan darat, laut, dan udara yang dikenakan oleh Entiti Haram Yahudi dengan sokongan sekutunya serta bantuan langsung Amerika Syarikat. Sekatan ini membataskan akses kepada bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api, dan keperluan asas seperti elektrik serta air bersih. Ia juga menyukarkan kemasukan bantuan antarabangsa secara selamat, sekali gus mewujudkan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden (Al Jazeera, 2025; Spirit of Aqsa, 2025). Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih dua juta penduduk Gaza hidup dalam keadaan terdesak, manakala lebih separuh daripadanya bergantung sepenuhnya pada bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan (astroawani.com, 2025).
Sejumlah besar negara, termasuk Kesatuan Eropah dan PBB, telah berulang kali mengeluarkan resolusi, kenyataan, serta cadangan gencatan senjata. Namun, kelemahan struktur antarabangsa—seperti kuasa veto, kepentingan geopolitik, dan perhitungan strategik—menyebabkan tiada tindakan berkesan bagi menghentikan kekerasan. Hambatan inilah yang mendorong masyarakat global mengambil pendekatan sendiri. Mereka menyedari bahawa bergantung sepenuhnya kepada institusi antarabangsa adalah sia-sia kerana sistem tersebut terbukti gagal menghentikan pencerobohan dan pemusnahan (Al Jazeera, 2025).
GSF merupakan hasil gabungan beberapa pergerakan, antaranya Freedom Flotilla Coalition, Global Movement to Gaza, Maghreb Sumud Flotilla, dan Sumud Nusantara (antaranews.com, 2025). Kesemua mereka bukan sahaja menyumbang dana, tetapi juga turun menyertai pelayaran untuk menembusi sekatan secara langsung. Kehadiran mereka membuktikan solidariti global yang lebih konkrit—bukan sekadar kenyataan atau kutukan kosong, tetapi tindakan fizikal berisiko tinggi. Moto “When Government Fails, We Sail” menggambarkan bahawa apabila seluruh kerajaan dunia gagal—melalui diplomasi, undang-undang antarabangsa, dan institusi politik—maka masyarakat awam tampil menggantikan kekosongan itu dengan tindakan nyata.
Sistem Dunia Dikawal oleh Amerika Syarikat: Sokongan Tidak Berbelah Bagi kepada Israel
Faktor utama yang menjadikan sistem dunia gagal ialah dominasi Amerika Syarikat (AS) dalam politik antarabangsa. AS secara konsisten memberikan sokongan ketenteraan, diplomatik, dan kewangan kepada Entiti Haram Yahudi. Lebih mengecewakan, kuasa veto AS di Majlis Keselamatan PBB sering digunakan untuk menggagalkan sebarang resolusi yang menekan Israel agar menghentikan serangan atau mematuhi undang-undang antarabangsa (Al Jazeera, 2025).
Menurut laporan, AS menyalurkan bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar setiap tahun kepada Entiti Haram Yahudi, menjadikannya salah satu penerima bantuan terbesar dalam sejarah hubungan antarabangsa (US News, 2025). Sokongan ini menjadikan Israel kebal daripada tekanan global, sekali gus membolehkan mereka meneruskan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Ungkapan “menukar kepada Jabatan Perang” boleh difahami sebagai metafora kepada dasar AS yang lebih mengutamakan pendekatan ketenteraan berbanding diplomasi. Hal ini jelas dilihat apabila AS membenarkan peningkatan serangan ke atas Gaza serta dikaitkan dengan operasi ketenteraan terhadap pemimpin Hamas di luar Gaza, termasuk di Qatar (El HuffPost, 2025; Cadena SER, 2025). Walaupun tindakan tersebut menimbulkan kontroversi diplomatik, ia menunjukkan peranan AS sebagai pelindung utama rejim Entiti Haram Yahudi.
Kedudukan AS sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan dengan kuasa veto telah menjadi penghalang utama kepada setiap usaha ke arah keadilan. Banyak resolusi yang sepatutnya melindungi rakyat Palestin gagal dilaksanakan kerana veto AS (UN Press, 2025). Hal ini semakin menegaskan bahawa sistem dunia tidak bersifat neutral, tetapi sarat dengan kepentingan geopolitik kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Keputusan PBB di New York Bukan Penyelesaian
Pada 12 September 2025, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan sebuah resolusi tidak mengikat, dikenali sebagai New York Declaration, yang menyokong penyelesaian dua negara (two-state solution). Resolusi ini mendapat sokongan daripada 142 negara, ditentang oleh 10 negara, manakala 12 lagi berkecuali (CNBC, 2025; Al Jazeera, 2025). Deklarasi tersebut turut menyeru Hamas menghentikan pemerintahan di Gaza, menyerahkan senjata kepada Kerajaan Palestin, serta melaksanakan langkah-langkah yang “tangible, time-bound, irreversible” ke arah perdamaian (themedialine.org, 2025).
Namun, deklarasi ini bersifat simbolik kerana tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. Walaupun mengandungi nilai moral, ia tidak dapat menghentikan realiti sekatan (blockade), serangan ketenteraan, dan pembinaan penempatan haram oleh Entiti Haram Yahudi. Tambahan pula, Israel dan Amerika Syarikat menolak resolusi tersebut dengan menganggapnya sekadar “theater politik” (CNBC, 2025). Sejarah juga membuktikan bahawa resolusi-resolusi PBB terdahulu, termasuk Resolusi 67/19 pada tahun 2012 yang memberikan status “Negara Pemerhati Bukan Anggota” kepada Palestin, tidak pernah menghasilkan perubahan praktikal yang nyata. Justeru, keputusan PBB di New York ini juga tidak dilihat sebagai jalan penyelesaian tuntas.
Khilafah ala’ Minhaj an-Nubuwwah dan Tentera Kepada Isu Gaza
Isu Gaza dan pelbagai isu lain yang melibatkan kaum Muslimin di dunia hari ini akan hanya dapat diselesaikan dengan menyatukan seluruh umat Islam di bawah payung kekhilafahan. Dalam isu sekatan terhadap Gaza, Khilafah ala’ Minhaj an-Nubuwwah akan membuka laluan laut antarabangsa di bawah pemantauan ketenteraannya secara berterusan. Inisiatif seperti GSF membuktikan bahawa sekatan laut boleh dicabar, dan dengan tekanan global ia berpotensi menjadi mekanisme penghantaran bantuan (Al Waie, 2025).
Jelaslah, isu Palestin tidak dapat dipisahkan daripada kerangka besar kegagalan sistem antarabangsa moden yang berasaskan peradaban Barat. Sistem negara-bangsa (nation-state), demokrasi liberal, kapitalisme, serta institusi antarabangsa seperti PBB telah terbukti gagal total dalam menghentikan penderitaan umat Islam di Gaza. Sebaliknya, sistem ini sering digunakan oleh kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat, untuk mengawal dunia Islam melalui perjanjian damai, normalisasi hubungan, serta mengekalkan Entiti Haram Yahudi sebagai entiti yang sah (Al Waie, 2025).
Islam menegaskan bahawa Palestin adalah tanah umat Islam yang haram diserahkan kepada musuh. Kedudukannya suci kerana di dalamnya terdapat Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam, dan ia tergolong dalam kategori ardh al-waqf—iaitu tanah yang wajib dipertahankan dengan darah dan nyawa. Oleh itu, penyelesaian kompromi seperti “two-state solution” atau rundingan damai dianggap tidak sah dalam perspektif syariah kerana bercanggah dengan kewajipan membebaskan seluruh tanah Palestin.
Al-Quran dan Sunnah menegaskan bahawa apabila umat Islam diserang atau ditindas, kewajipan berjihad terletak di atas bahu seluruh kaum Muslimin. Firman Allah SWT:
“Dan apakah sebabnya kamu tidak mahu berperang di jalan Allah, dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.” [Surah an-Nisa’: 75]
Jelaslah kewajipan umat Islam adalah menggerakkan tentera bagi menyelamatkan mereka yang dizalimi. Dalam konteks Palestin, penyelesaian sebenar bukan sekadar menghantar bantuan kemanusiaan, tetapi menggerakkan kekuatan ketenteraan umat Islam untuk membebaskan tanah Palestin daripada penjajahan Zionis.
Oleh itu, hanya institusi Khilafah-lah yang mampu melaksanakan kewajipan ini secara menyeluruh. Khilafah merupakan kepimpinan politik Islam yang mempersatukan seluruh umat di bawah seorang khalifah, mengurus urusan dalam negeri berasaskan syariah yang syumul, dan mengatur hubungan luar mengikut prinsip Islam. Khalifah pasti akan menggerakkan tentera bagi melindungi umat Islam di mana sahaja mereka ditindas. Realitinya hari ini, tanpa Khilafah, umat Islam berpecah kepada lebih 50 negara-bangsa dengan sempadan ciptaan kaum kuffar, masing-masing terikat pada kepentingan nasional sempit, sering tunduk kepada kuasa Barat, malah ada yang bersekongkol dengan Entiti Haram Yahudi demi keuntungan sendiri. Keadaan ini menjadikan umat Islam lemah, berpecah, dan gagal bertindak balas secara kolektif untuk membela Palestin.
Khatimah
Global Sumud Flotila menjadi bukti bahawa masyarakat dunia telah hilang kepercayaan kepada sistem antarabangsa moden hari ini. Ia lahir sebagai manifestasi kegagalan diplomasi, resolusi, dan undang-undang antarabangsa yang selama puluhan tahun gagal menghentikan penderitaan rakyat Gaza. Islam memberikan penyelesaian tuntas yang tidak hanya terhenti pada solidariti kemanusiaan atau rundingan diplomatik, bahkan memperlihatkan keberanian politik dan kekuatan ketenteraan di bawah kepimpinan Khilafah. Inilah satu-satunya mekanisme yang mampu menamatkan penjajahan Entiti Haram Yahudi, membebaskan seluruh Palestin, dan memulihkan maruah umat Islam.
GSF menjadi bukan sahaja simbol ketahanan (sumud), tetapi juga isyarat bahawa sudah tiba masanya umat Islam kembali kepada sistem Islam yang menyeluruh. Tanpa sistem ini, penderitaan Palestin akan terus berulang, sementara sistem dunia moden terus membuktikan kegagalannya.
Wahai umat Islam, Gaza memanggil kita, Masjid Al-Aqsa menjerit meminta pertolongan. Sahutlah seruan Allah SWT serta tingkatkanlah usaha dalam menuju kepada penyelesaian yang tuntas – mengembalikan penerapan total Deenul Islam di bawah payung kekhilafahan dan janganlah kita berlengah-lengah lagi. Sesiapa yang bangkit akan dihormati, dan sesiapa yang berundur akan dihina. Allah pasti akan menyokong orang-orang yang menyokong DeenNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa dan Maha Perkasa.
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah dan (sehingga) Deen itu semuanya untuk Allah.” [Surah al-Anfal: 39]